Isnin, 29 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Beraya di kawasan hutan

Posted: 28 Jul 2013 11:04 PM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NASIRRUDDIN YAZID

SELAIN mempromosikan produk Yakult, Fara Fauzana juga menjadi pengacara pada majlis berbuka puasa bersama warga tua Rumah Al-Ikhlas.

HARI Raya Aidilfitri bukan setakat suatu perayaan yang disambut pada setiap tahun oleh umat Islam di seluruh dunia, malah ia juga boleh dijadikan platform bagi merapatkan lagi hubungan dalam sesebuah keluarga dan juga sesama rakan taulan.

Penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana misalnya, menggunakan kesempatan setiapkali cuti Hari Lebaran bagi mengumpulkan sanak saudaranya dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi mencapai hasrat murni itu.

Menurut selebriti berusia 33 tahun ini, sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 1434 hijrah ini, dia sudahpun merencana rancangannya yang tersendiri bagi meneruskan tradisi itu dan Raub di Pahang adalah lokasi pilihannya.

Malah, jelas penyampai radio yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu, kali ini dia mahu membuat kelainan dengan merancang mahu mengadakan majlis perjumpaan dengan saudara maranya dalam sebuah hutan di sana.

"Kalau tiada aral melintang, saya mahu mengumpulkan seberapa banyak anggota keluarga saya yang dekat dan jauh dalam sebuah majlis perjumpaan sempena hari raya di salah sebuah kawasan hutan rekreasi di Raub.

"Saya akan menjemput mereka dan kalau boleh saya mahu menyewa sebuah bas yang boleh membawa dalam 40 saudara mara saya ke Raub. Selain itu, saya juga bercadang mahu menjemput kawan-kawan rapat saya pada majlis itu nanti.

"Macam-macam aktiviti boleh dilakukan pada majlis itu seperti barbeku yang mana sambil makan dan minum kami boleh berborak-borak panjang sambil bertanya khabar masing-masing," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Fara ditemui sewaktu majlis berbuka puasa bersama warga tua Rumah Al-Ikhlas anjuran minuman kesihatan Yakult di Petaling Jaya yang mana dia merupakan jurucakap produk itu.

Tambah anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu, sesi perjumpaan ahli-ahli keluarganya itu bukan asing lagi buat mereka, sebaliknya telah menjadi acara tahunan dengan lokasi yang berbeza-beza.

Apa yang pasti katanya, kebanyakan lokasi majlis perjumpaan sempena menyambut perayaan di bulan Syawal itu diadakan di luar Kuala Lumpur bagi mencari kelainan, sekali gus seperti sebuah percutian buat anggota-anggota keluarganya.

"Sebelum ini, majlis itu pernah diadakan di rumah sepupu saya dan lokasinya berubah-ubah setiap tahun. Contohnya sebelum ini, kami telah mengadakan majlis itu di Hotel Avalon, Port Dickson, Negeri Sembilan sambil menginap di sana.

"Malah, empat tahun lalu kami juga telah mengadakan majlis ini di London (United Kingdom). Kali ini kami akan berbincang dan cari tarikh yang sesuai. Tahun lalu kami mengadakan majlis ini pada minggu kedua raya.

"Pada majlis itu adik saya yang ketika itu bekerja di Philadelphia (Amerika Syarikat) turut terbang ke London dan beraya bersama-sama kami di sana," ujarnya menceritakan tentang kebiasaan sambutan raya keluarganya itu.

Muncul pertama kali

Posted: 28 Jul 2013 11:04 PM PDT

ROSLAN Shah bersama barisan produksi program bual bicara terbaharu, Diva De Vida.

BIASANYA, Roslan Shah terkenal untuk mengacara program-program di luar. Kini buat pertama kalinya dia akan muncul sebagai pengacara televisyen bagi sebuah program terbaru, Diva De Vida.

"Sememangnya inilah peluang yang saya nantikan. Setelah 12 tahun berkecimpung dalam dunia seni hiburan, saya diberi tanggungjawab untuk memikul tugas sebagai pengacara. Di sinilah laluan saya untuk mencuba dalam bidang pengacaraan.

"Memang saya tidak ketahui rezeki saya akan ke tahap mana. Tetapi dengan adanya peluang sebegini saya akan buktikan yang saya boleh buat.

"Saya akan memberi fokus sepenuhnya sebagai pengacara. Sudah tiba masanya saya menunjukkan bakat dalam bidang ini," katanya dengan nada gembira kerana diberi ruang untuk mengacara.

Roslan mengaku, banyak produksi yang tidak nampak bakatnya dalam bidang pengacaraan dan berharap para peminatnya dapat menerima penampilan baharunya secara terbuka.

"Saya sememangnya berhasrat untuk menjadi seorang pengacara hebat, lincah dan dapat menghiburkan semua peminat pada suatu hari nanti," katanya yang akan muncul dalam program tersebut terbitan AFS Pictures Sdn. Bhd. milik Boy Iman.

Berkenaan program bual bicara Diva De Vida, Roslan menjelaskan, program tersebut akan bersiaran setiap hari Isnin pukul 9.30 malam bermula 26 Ogos ini. Para penonton juga dapat menyaksikan siaran ulangan program tersebut pada setiap Sabtu pukul 4.30 petang.

Selama 13 episod bersiaran, program tersebut akan membawakan segmen bicara molek, rawat cantik dan chewah Pamoga.

Program itu bukan sahaja berkongsi tip-tip kecantikan untuk golongan wanita, malah golongan lelaki juga dapat memperoleh sedikit sebanyak manfaat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved