Selasa, 17 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


RM188.84 juta urus Perlis 2014

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

Azlan Man

KANGAR 16 Dis. - Perlis memperuntukkan sebanyak RM188.84 juta untuk perbelanjaan mengurus pelbagai program dan projek kesejahteraan rakyat di negeri ini pada tahun depan.

Daripada jumlah tersebut, dengan anggaran hasil RM82.77 juta pada 2014, kerajaan negeri mengalami defisit tahunan yang dianggarkan berjumlah RM106.07 juta.

Menteri Besar, Azlan Man berkata, defisit tersebut menunjukkan pertambahan sebanyak RM0.54 juta atau 0.5 peratus berbanding tahun ini yang hanya berjumlah RM105.53 juta.

Bagaimanapun kata beliau, pertambahan defisit tersebut adalah kecil dan terkawal iaitu 7.5 peratus daripada keseluruhan pertambahan perbelanjaan mengurus yang berjumlah RM7.19 juta.

"Pertambahan perbelanjaan mengurus selari dengan pertambahan hasil negeri menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk mengawal defisit ke paras lebih mapan dan berdaya maju tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri," katanya ketika membentangkan Bajet Negeri Perlis 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, peruntukan RM188.84 juta itu merupakan pertambahan sebanyak RM7.19 juta atau 3.96 peratus dalam Bajet Negeri Perlis 2014 berbanding peruntukan RM181.65 pada tahun ini.

"Di bawah peruntukan mengurus, RM43.52 juta adalah untuk emolumen dan RM53.09 juta bagi perkhidmatan dan bekalan.

"Sejumlah RM87.75 juta diperuntukkan bagi pemberian dan pembayaran tetap manakala selebihnya iaitu RM4.23 juta bagi pembelian aset dan baki RM0.25 juta perbelanjaan lain," kata beliau.

Azlan menjelaskan, bagi pembangunan, sebanyak RM58.99 juta diperuntukkan termasuk RM33.49 juta yang dicarum oleh Kerajaan Negeri Perlis.

"Jumlah caruman kerajaan negeri meningkat RM0.55 juta atau 1.7 peratus berbanding 2013 bagi memastikan projek pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat," tambah beliau.

Beliau memberitahu, pengagihan peruntukan pembangunan dibahagikan kepada enam agensi pelaksana yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (RM20.28 juta), Jabatan Kerja Raya (RM20.38 juta), Jabatan Pertanian (RM4.97 juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM3.82 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM6.80 juta) dan Jabatan Perhutanan (RM2.74 juta).

Menurut beliau, hasil kerajaan negeri bagi 2014 dianggarkan berjumlah RM82.77 juta yang disumbangkan menerusi hasil cukai sebanyak RM14.01 juta.

"Hasil bukan cukai pula sebanyak RM40.58 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM28.18 juta," ujar beliau.

Azlan berkata, anggaran hasil kerajaan negeri pada tahun depan meningkat sebanyak RM6.65 juta atau 8.74 peratus berbanding tahun ini yang berjumlah RM76.12 juta.

"Peningkatan berlaku merupakan sebahagian besar sumbangan oleh pertambahan pemberian Kerajaan Persekutuan di bawah komponen Terimaan Bukan Hasil," ujar beliau.

Pelihara semula Istana Raja Bendahara Perak

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

PEMANDANGAN bahagian hadapan Istana Raja Bendahara Perak di Kuala Kangsar, Perak kelihatan sudah usang, berlumut dan terbiar begitu sahaja patut dipulihara. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT

KUALA KANGSAR 16 Dis - Kerajaan negeri diminta memulihara semula bangunan Istana Raja Bendahara Perak di Jalan Tun Razak di sini yang telah terbiar begitu sahaja sejak lebih 30 tahun lalu sebagai salah satu bangunan sejarah warisan kesultanan di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Keturunan Megat Terawis, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas mendakwa, istana terbiar kosong tanpa penghuni itu tidak dijaga dengan sewajarnya sebaik sahaja ditinggalkan selepas kemangkatan Raja Bendahara Perak, Raja Abdul Rashid Sultan Idris Shah I pada 1958.

"Bangunan istana itu amat bernilai dari segi sejarah kesultanan Perak dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja. Sudah tiba masanya dibangunkan sebagai sebuah muzium yang mungkin boleh menempatkan koleksi warisan Raja Bendahara itu sendiri.

"Istana ini mempunyai seni bina dan reka bentuk indah dan boleh dijadikan salah satu produk pelancongan di Kuala Kangsar. Sekurang-kurangnya, biarlah bangunan ini dicat semula, dibaik pulih agar nampak lebih menarik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati bangunan istana tersebut berada dalam keadaan mendukacitakan kerana catnya sudah lusuh dan berlumut, malah sebahagian daripada strukturnya yang dibina daripada kayu, telah rosak dan reput.

Biarpun rumput di sekelilingnya dipotong rapi, namun, keadaan bangunannya berada dalam keadaan tidak terurus.

Dalam pada itu, Megat Najmuddin mendakwa, Raja Bendahara merupakan waris ketiga takhta Kesultanan Perak selepas Raja Muda Perak dan Raja Dihilir Perak.

Namun beliau mendakwa, gelaran Raja Bendahara Perak telah dimansuhkan selepas kemangkatan Raja Abdul Rashid kerana mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, gelaran Bendahara adalah untuk orang kebanyakan dan bukannya keturunan diraja.

"Gelaran ini kemudiannya dikenali dengan nama Orang Kaya Bendahara dan pernah disandang oleh Laksamana Megat Terawis pada 1528," katanya.

BPA terima 46 aduan di Perlis

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

KANGAR 16 Dis. - Biro Pengaduan Awam (BPA) telah menerima sebanyak 46 aduan berkaitan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri dan kementerian atau agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari 1 Januari hingga 30 November tahun ini.

Pengerusi Hal-Ehwal Komunikasi Korporat dan Aduan Awam negeri, Datuk Mat Rawi Kassim memberitahu, daripada jumlah tersebut sebanyak 22 aduan adalah mengenai agensi-agensi di bawah kerajaan negeri manakala 24 lagi di bawah kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan.

"Antara aduan diperoleh BPA ialah menerusi laman web, panggilan telefon, program seperti aduan kaunter bergerak, borang aduan, lama sosial, emel dan sistem khidmat ringkas (SMS)," katanya ketika menjawab soalan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Menurut beliau, BPA akan mendaftarkan aduan dalam sistem 1-Aduan Berkomputer dan meminta agensi berkenaan untuk memberi maklum balas dalam tempoh lima hari bekerja.

"Jawapan tersebut akan menentukan sama ada kes itu berasas atau tidak berasas, maklum balas akan diberikan kepada pengadu dalam masa dua hari bekerja," tambah beliau.

Mat Rawi berkata, antara aduan diterima ialah berkaitan kelewatan, tindakan tidak adil, kekurangan kemudahan awam, kelemahan peraturan, salah guna kuasa, salah laku anggota awam, kegagalan mengikut prosedur, kegagalan penguatkuasaan dan kualiti perkhidmatan tidak memuaskan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved