Selasa, 17 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Terabai dan menyedihkan

Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Keadaan bangunan Pangsapuri PKNS Jalan SS8 Kelana Jaya, Selangor yang usang dan suram. - utusan/MOHD AZIM ABD RAHMAn

PETALING JAYA 17 Dis. - Keadaan Pangsapuri PKNS di Jalan SS8, Jalan SS3/39, Sungei Way di sini begitu menyedihkan dan menyakitkan mata.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pangsapuri milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu mendapati pangsapuri berusia 29 tahun sudah terlalu usang dan menakutkan walaupun berada di lokasi yang strategik dan boleh dilihat dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Walaupun terletak dalam kawasan bandar raya malangnya tahap fizikal pangsapuri setinggi 15 tingkat itu sangat tidak memuaskan.

Pangsapuri dua blok itu dilengkapi kemudahan surau, sebuah dewan serbaguna dan beberapa buah kedai namun, banyak yang perlu diberi perhatian serius khususnya dalam aspek penyenggaraan infrastruktur.

Penghuninya yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan mengharapkan pihak bertanggungjawab melaksanakan perubahan segera seperti kerja-kerja mengecat semula bangunan, menggantikan lif, bumbung dan memperbaiki anak tangga.

Penduduk turut mendakwa, kerja-kerja mengecat bangunan itu yang dilaksanakan oleh pihak PKNS juga telah tergendala kira-kira awal tahun lalu tanpa diketahui sebabnya.

Tinjauan juga mendapati, tangga di pangsapuri itu memerlukan pembaikan dilaksanakan dengan segera kerana keadaannya yang begitu usang dan berkarat, malah beberapa anak tangga berlubang sehingga boleh mengundang bahaya kepada penghuni.

Keadaan lif juga begitu uzur dan perlu digantikan dengan yang baharu setelah tidak pernah ditukar. Kemudahan tersebut yang sering rosak sudah tentu menyusahkan penduduk jika berlaku kes kecemasan seperti jika penghuni mahu segera ke hospital dan sebagainya.

Hanya satu perkara yang boleh dipuji iaitu walaupun keadaan pangsapuri itu kelihatan usang, namun faktor kebersihan sehingga kini boleh dikatakan memuaskan kerana pengutipan sampah dilaksanakan secara berkala oleh pihak kontraktor.

Bagaimanapun, itu di persekitarannya sahaja. Di bahagian atas, terdapat segelintir penduduk yang membuang sampah di atas anak tangga.

Penduduk minta PKNS baik pulih pangsapuri

Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST

PETALING JAYA 17 Dis. - Penduduk Pangsapuri PKNS Jalan SS8 meminta pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membaik pulih semula tempat mereka berteduh dengan segera.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri PKNS Jalan SS8, Mohd. Kassim Abbas, 62, berkata, pangsapuri yang dibina pada 1985 itu dahulunya merupakan 'kawasan panas'.

"Selepas tertubuhnya JMB di sini pada tahun lalu telah dapat mengurangkan masalah sosial seperti vandalisme, ragut, pecah kereta dan rumah dengan kawalan ketat daripada anggota keselamatan.

"Selain itu, kami juga mengambil inisiatif untuk membina pagar di sini kerana dahulu tiada pagar yang memudahkan orang luar untuk memasuki kawasan pangsapuri ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Mohd. Kassim, pihak JMB telah beberapa kali membuat permohonan kepada PKNS untuk menyelesaikan beberapa masalah di situ namun dia mendakwa PKNS umpama 'lepas tangan', maka semua beban terpaksa ditanggung oleh JMB dan penghuni.

"Pihak PKNS telah menggantikan sebahagian daripada bumbung pangsapuri ini tetapi tidak kesemuanya. Kami juga tidak mempunyai peruntukan yang banyak untuk menggantikan lif-lif itu selain alat gantinya yang sukar diperoleh kerana jenama lif adalah versi lama.

"Apabila kami mahu menaikkan yuran penyenggaraan, penghuni sudah tentu tidak bersetuju. Saya mohon pihak PKNS mempertimbangkan permohonan kami sebelum pihak JMB mentadbir pangsapuri secara 100 peratus selepas ini," ujarnya.

Seorang penduduk Mohd. Suffian Mohd. Sani, 35, pula berkata, dia berharap pihak PKNS dapat membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi penghuni pangsapuri berkenaan.

"Sudah 29 tahun pangsapuri ini tidak dicat semula. Selain itu, saya berharap lif-lif di sini dapat ditukar kepada yang baharu kerana kerap kali kami menggunakan tangga yang usang apabila lif rosak," jelasnya.

Selain itu, dia juga meminta semua penghuni bekerjasama dalam memastikan pangsapuri itu bebas daripada gejala vandalisme selain menjaga keamanan dan kebersihan di situ.

Hanya nilai sewa hartanah naik

Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar (kanan) melihat kemudahan pejalan kaki di tempat letak kereta bertingkat atau 'Park and Ride' di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A.Chandrakumanan.

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Hanya 80,000 daripada jumlah keseluruhan penerima notis yang menghantar surat bantahan terhadap keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menguatkuasakan kadar baharu cukai taksiran mulai 1 Januari depan, setakat pagi hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, angka itu tidak besar jika dibandingkan dengan lebih 500,000 jumlah keseluruhan pemegang hartanah di ibu kota yang menerima notis cukai pada kadar baharu itu.

Menurutnya, kebanyakan bantahan yang dikemukakan itu mengemukakan alasan yang sama iaitu keliru mengenai penilaian semula cukai tersebut.

"Sudah berkali-kali kita beritahu bahawa tidak perlu risau tentang kenaikan cukai ini kerana yang naik hanyalah kadar nilai sewaan hartanah dan bukan kadar cukai itu sendiri.

"Saya amat kesal dengan pihak-pihak yang cuba mengelirukan orang ramai termasuk meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur meletak jawatan, bagi saya itu kerja tidak berfaedah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan kemudahan Park n Ride Bandar Tasik Selatan, di sini hari ini.

Semalam, satu perhimpunan diadakan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran DBKL bagi membantah kenaikan kadar cukai pintu itu, yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Tambah Tengku Adnan, ramai keliru dengan notis yang dikeluarkan oleh DBKL sebelum ini dan beliau meminta pemegang hartanah terlibat menunggu kadar baharu yang akan diputuskan kelak.

"Sebagai contoh, ramai yang ingat mereka perlu membayar RM100,000 selepas penilaian semula dilakukan terhadap nilai sewaan hartanah yang pada asalnya RM40,000, itu tidak betul dan tunggu kadar yang akan tetapkan nanti," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved