Selasa, 17 Disember 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Karya seni insan istimewa

Posted: 17 Dec 2013 06:32 AM PST

Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor (kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelukis, Mohd. Khairuddin Che Rani sambil diperhatikan Siti Aishah Yaacob, di Pameran Nukilan Jiwa.

MELUKIS menggunakan jari-jari kaki bukan sesuatu yang pelik bagi Siti Aishah Yaacob, 28, malah hasil ketekunan dan kesabarannya dia berjaya menyiapkan beratus-ratus lukisan hasil sentuhan kakinya.

Lebih penting sudah banyak lukisannya dibeli oleh peminat yang menghargai karya seni golongan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya.

Semangat Siti Aishah dalam bidang seni lukis tidak pernah terpadam, malah dari hari ke hari dia berusaha mempelajari pelbagai teknik baharu bagi menghasilkan karya seni yang cantik dan menarik.

Dia mengakui minat melukis sejak di bangku sekolah rendah lagi biarpun tidak memiliki sepasang tangan yang sempurna sebagaimana orang lain.

Kekurangan itu langsung tidak memadamkan semangat, malah terus digilap lebih-lebih selepas dia berjaya menguasai teknik melukis menggunakan kaki yang sudah berfungsi umpama sepasang tangan.

Malah lukisan menjadi antara subjek pilihan ketika di sekolah menengah.

"Ingat lagi, masa mula melukis dahulu saya menggunakan pensil untuk melakar di atas kertas-kertas kosong. Ketika itu apabila melihat sahaja benda menarik di sekeliling, saya akan mula melukis sampai lukisan itu siap dan berpuas hati dengannya.

"Di sekolah menengah saya mengambil mata pelajaran Pendidikan Seni dan dari situ saya mempelajari teknik mewarna dan melukis dengan lebih terperinci," katanya yang ditemui pada pameran lukisan Nukilan Jiwa membabitkan 24 pelukis OKU di Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebanyak 48 buah lukisan yang bertemakan Kebebasan dapat disaksikan sepanjang pemeran yang berlangsung dari 16 hingga 20 Disember ini.

Tambah anak kelahiran Guar Chempedak, Kedah, itu lagi, selepas tamat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dalam keadaan masih kabur dengan hal tuju hidupnya, dia terpilih memasuki Pusat Latihan Perindusterian dan Pemulihan (PLPP) khusus bagi OKU di Bangi, Selangor.

"Di situ, saya mengasah bakat dalam bidang seni lukis dengan mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar profesional. Saya belajar pelbagai teknik lukisan dan cara mengadun warna sehingga saya mampu muncul sebagai pelukis seperti sekarang.

"Saya lebih senang menggunakan teknik lukisan menggunakan warna air, lukisan batik dan cat akrilik. Melukis menggunakan warna air lebih mudah berbanding cat akrilik yang sedikit mencabar," ujar Siti Aishah yang menjadikan pelukis terkenal tanah air Raja Azhar Raja Idris sebagai idola.

Menurut Siti Aishah lagi, buat masa ini dia lebih suka menghasilkan lukisan bermotifkan alam semula jadi seperti pemandangan, flora dan fauna, serta lukisan-lukisan bercorak batik.

Mengulas cabaran yang dihadapi sebagai pelukis istimewa, dia mengakui antara halangan utama ialah mendapatkan kepercayaan daripada pada orang ramai bahawa individu OKU sepertinya juga berbakat dan mampu menghasilkan karya-karya yang setanding dengan pelukis biasa.

"Kekurangan diri dari segi fizikal juga menjadi cabaran pada kami golongan pelukis yang menggunakan kaki dan mulut. Pernah dahulu, jari kaki terkena lilin panas semasa menghasilkan lukisan batik sepanjang empat meter bersama-sama rakan lain dari Persatuan Kaki dan mulut.

"Tidak dinafikan, melukis mengunakan kaki kadang-kadang agak penat dan lenguh. Semasa melukis saya lebih suka posisi duduk kerana lebih mudah dan selesa," jelasnya.

Sementara itu, pelukis yang juga menggunakan kaki semasa berkarya, Khairuddin Che Rani, 34, yang berasal dari kelantan juga menjadikan bakat melukisnya sebagai mata pencarian.

Dia yang meminati pelakon Imuda sebagai pencetus semangatnya untuk terus berkarya, mengakui minatnya dalam bidang lukisan dikesan sejak berumur sembilan tahun lagi.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu mengakui sudah menghasilkan lebih 360 buah lukisan yang kebanyakannya bermotifkan batik, abstrak, alam flora dan fauna serta pemandangan.

"Kesemua lukisan ini dilukis menggunakan pelbagai teknik yang dipelajari semasa menuntut di PLPP pada tahun 2010 iaitu teknik menggunakan cat akrilik, lukisan minyak, warna air dan batik canting.

"Masa untuk menyiapkan sebuah lukisan pula bergantung kepada keadaan dan mood semasa melukis. Ada sebahagian lukisan yang boleh," jelasnya.

Sementara itu, pameran lukisan Nukilan Jiwa merupakan pameran yang bertujuan menyediakan peluang kepada insan kurang upaya dari United Voice dan Mouth & Foot Painting Artist Sdn. Bhd.

Program ini merupakan inisiatif yang digerakkan oleh kakitangan daripada Jabatan Pengurusan Risiko dan Kredit Kumpulan Maybank di bawah program sukarelawan 'Cahaya Kasih'.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor berkata, penghargaan kepada artis istimewa dan hasil karya mereka amat bermakna membuktikan tiada sempadan terhadap apa sahaja karya seni.

"Karya seni yang unik boleh dihasilkan tanpa mengira keadaan fizikal dan latar belakang seseorang. Melalui sokongan Majlis Pemulihan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, kami mendapat rakan usaha sama yang strategik untuk mengukuhkan misi menginsankan perkhidmatan di pasaran perkhidmatan kami," katanya.

Pameran ini turut menjual hasil kraf kepada orang ramai yang dihasilkan oleh Pertubuhan Kesihatan Mental Malaysia dan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia. - Siti Aishah Yusoff

Sambutan Hari AIDS Sedunia

Posted: 17 Dec 2013 06:32 AM PST

Rosmah Mansor melengkapkan logo Menuju Sifar Kematian Berkaitan AIDS sambil disaksikan Dr. Hilmi Yahaya (kiri) dalam gimik perasmian sambutan Hari Aids Sedunia peringkat kebangsaan di Terengganu, baru-baru ini.

PADA tahun ini, Terengganu menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat kebangsaan yang julung-julung kalinya dianjur bersama oleh Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia, serta disokong Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu. Lazimnya, Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun.

Bertemakan Menuju Sifar Kematian Berkaitan AIDS, sambutan tahun ini akan memberikan penekanan terhadap usaha meningkatkan pemahaman umum tentang keberkesanan rawatan anti-retroviral (ARV).

Begitu juga tindak-balas pelbagai pihak seperti kerajaan, masyarakat madani, komuniti, badan-badan keagamaan dan sektor korporat, dalam meningkatkan akses kepada rawatan ARV ini khasnya untuk manfaat komuniti yang terjejas dan terpinggir disebabkan stigma HIV.

Di negara ini, negeri-negeri di kawasan pantai timur antara yang tertinggi mencatatkan kes-kes baru jangkitan HIV khususnya dalam kalangan suri rumah dan isteri-isteri kepada pengguna dadah secara suntikan.

Pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah mencerminkan realiti ini, dan dengan membawa sambutan Hari AIDS Sedunia ke negeri ini pihak penganjur berharap agar kesedaran masyarakat setempat tentang risiko HIV serta peranan mereka dalam menangani isu-isu yang berkaitan dapat ditingkatkan.

Majlis pelancaran rasmi sambutan diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu.

Perasmian disempurnakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor dengan kehadiran Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya serta dif-dif kenamaan yang lain.

Majlis yang menghimpunkan lebih 2,000 orang penonton diserikan dengan persembahan Selebriti Sokongan Riben Merah, serta pendeklamasian sajak nukilan juara Pertandingan Menulis Sajak Sempena Hari AIDS Sedunia oleh Aaron Aziz.

Selesai majlis perasmian, satu lawatan khas ke dua buah rumah perlindungan Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu (Cakna) yang masing-masing menempatkan lelaki dan ibu tunggal serta anak-anak yang hidup dengan HIV diadakan.

Lawatan yang dianjurkan oleh Yayasan Sime Darby (YSD) ini merupakan sebahagian daripada pengisian tanggung jawab sosial korporat badan itu selain menyempurnakan upacara penyerahan van sumbangan YSD kepada Cakna, satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan di negeri Terengganu yang menjalankan kegiatan pencegahan, rawatan, jagaan dan sokong bantu untuk komuniti yang terjejas oleh HIV.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved