Selasa, 17 Disember 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Isyarat ASEAN-Jepun kepada China

Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST

Oleh Ramli Abdul Karim

SIDANG Kemuncak Ulang Tahun Hubungan ASEAN-Jepun Ke-40 selama sehari di Tokyo, Jepun pada Sabtu lalu tidak seperti sambutan memperingati ulang tahun ke-30 di bandar raya sama pada 11-12 November 2003, yang mana ketika itu perbincangan lebih banyak tertumpu kepada isu-isu memakmurkan wilayah serantau.

Di Istana Akasaka pada Sabtu lalu, 10 pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, selain tidak mengesampingkan isu-isu ekonomi, sidang kemuncak itu sebahagiannya dibayangi oleh perbahasan dan pendirian mengenai tiga isu bukan tradisional yang saling berkait iaitu keamanan, keselamatan dan kestabilan.

Dalam dokumen pernyataan yang dikeluarkan selepas disepakati dan dipersetujui oleh kesemua 11 pemimpin terlibat iaitu Kenyataan Wawasan, Pelan Tindakan dan Kenyataan Bersama, ketiga-tiganya menyentuh mengenai kesedaran terhadap peri pentingnya keamanan, keselamatan dan kestabilan dipertahankan di rantau ini.

Paling menarik, walaupun ketiga-tiga pernyataan itu langsung tidak merujuk kepada China, namun banyak pihak khususnya media dan pemerhati Jepun serta antarabangsa mengaitkannya sebagai reaksi dan isyarat jelas tentang kebimbangan ASEAN-Jepun terhadap tindakan dan pengumuman negara komunis itu mewujudkan Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) di Laut China Selatan pada 23 November lalu.

Sebagai latar belakang, ketika mengumumkan ADIZ, China mengeluarkan satu peta dan koordinat bagi zon pertahanan udara tersebut yang mendapat reaksi negatif Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan. Ketiga-tiga negara tersebut menyatakan tidak mengiktiraf zon pertahanan udara berkenaan.

ASEAN-Jepun memberi reaksi dan isyarat jelas kepada China atas tindakannya itu, apabila empat daripada 15 perkara yang dinyatakan sebagai pendirian serta cabaran serantau dan global dalam Kenyataan Bersama adalah berkaitan keamanan, keselamatan dan kestabilan.

Malah, dua daripada pecahan isu keamanan, keselamatan dan kestabilan diletakkan pada tiga tempat teratas dalam senarai cabaran ASEAN-Jepun dan secara lebih khusus dinamakan cabaran serantau. Ia disebut secara spesifik sebagai cabaran serantau yang ketiga - Kebebasan dan Keselamatan Pelayaran Maritim serta Penerbangan.

Memperakui manfaat daripada peningkatan jaringan antara ASEAN dan Jepun, kami (pemimpin ASEAN-Jepun) bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam jaringan udara dan maritim.

Kita juga bersetuju meningkatkan kerjasama untuk memastikan kebebasan penerbangan lintas dan keselamatan penerbangan awam mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, dan piawaian yang relevan serta disarankan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," kata Kenyataan Bersama itu.

Kenyataan itu dibacakan dalam sidang akhbar bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi ASEAN semasa dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di Istana Akasaka.

Selain Kebebasan dan Keselamatan Pelayaran Maritim serta Penerbangan sebagai cabaran serantau yang ketiga, cabaran yang diletakkan di tempat pertama adalah Kerangka Kerjasama Serantau yang menekan keperluan dan kepentingan memperkukuh kerangka kerjasama serantau melalui organisasi ASEAN dan forum-forum cabangnya untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di rantau Asia Pasifik.

Cabaran serantau yang kedua pula ialah Keselamatan dan Kerjasama Maritim yang mana ASEAN-Jepun bertekad mahu mengekalkan keselamatan maritim, kebebasan pelayaran, perdagangan tanpa halangan, eksesais dan penyelesaian pertikaian secara aman mengikut prinsip sejagat dan undang-undang antarabangsa. Cabaran keempat atau terakhir untuk peringkat serantau bagi ASEAN-Jepun ialah - Isu Semenanjung Korea.

Kami sepakat meningkatkan kerjasama dan keselamatan maritim seperti perkongsian maklumat dan pembinaan kemampuan termasuk melalui Forum Serantau ASEAN dan Forum Perluasan Maritim ASEAN.

Pemimpin-pemimpin ASEAN juga menghargai inisiatif Jepun dan penyertaan aktif dalam usaha menggerakkan dialog bersama negara-negara anggota ASEAN. Jepun telah mengalu-alukan perundingan rasmi antara ASEAN dan China mengenai Kod Etika di Laut China Selatan," tambah kenyataan itu.

Ternyata, sebagai tuan rumah, Abe berjaya membawakan pendirian kerajaannya dalam Sidang Kemuncak tersebut berhubung perkembangan terbaru di Laut China Selatan, yang mengeruhkan hubungan Tokyo-Beijing.

Dalam liputannya terhadap Sidang Kemuncak itu, akhbar The Japan Times on Sunday pada 15 Disember lalu, dalam salah satu beritanya menyatakan:

Sasaran utama Abe dalam Sidang Kemuncak itu, yang memperingati 40 tahun hubungan ASEAN-Jepun, adalah meraih sokongan serantau terhadap pendirian kerajaannya bahawa ADIZ yang diumumkan China merupakan tingkah laku agresif dan paksaan. Ini kerana ia (ADIZ) meliputi Pulau Senkaku, yang mana ia ditadbir oleh Jepun sejak sekian lama."

Difahamkan, diplomat-diplomat Jepun telah menggesa rakan sejawat mereka dalam ASEAN untuk memastikan rujukan yang tepat terhadap ADIZ yang diumumkan oleh China itu dimasukkan dalam Kenyataan Bersama berkenaan.

Menanggapi isu keselamatan, keamanan dan kestabilan serantau, Najib dalam ucapan intervensinya mencadangkan dua langkah kerjasama strategik ASEAN-Jepun yang bersesuaian dengan Kenyataan Bersama tersebut, iaitu pertama memperkukuh usaha memperkuat pendekatan berasaskan peraturan bagi menguruskan hubungan antara negara di rantau ini dengan penekanan kepada pematuhan peraturan.

Kita perlu mengakui bahawa semua peraturan dan institusi di dunia tidak membawa keamanan jika ada pihak di rantau tersebut terus membangkitkan tentang sejarah yang berakar umbi. Isu ini perlu diselesaikan secara bijaksana, jujur dan rendah diri," katanya.

Cadangan kedua Perdana Menteri adalah kesepaduan kerjasama ASEAN dalam soal keamanan dan kestabilan bukan saja mengangkat kepentingan sendiri sebaliknya menyasarkan nilai-nilai bersama.

Selain isu keselamatan, keamanan dan kestabilan serantau, sidang kemuncak tersebut juga menyenaraikan 11 isu yang menjadi cabaran peringkat global iaitu Ekonomi Global; Sebuah Masyarakat dengan Semua Wanita Menyerlah; Isu-isu Masyarakat; Matlamat Pembangunan Milenium (MDG); Perubahan Iklim; Bantuan Kemanusiaan dan Bencana; Penggunaan Berterusan dan Pengurusan untuk Air dan Sumber Semula Jadi serta Perlindungan Alam Sekitar; Ancaman Rentas Sempadan; Isu Asia Barat; Pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); dan Sumbangan Proaktif Jepun Kepada Keamanan.

Sesungguhnya, Sidang Kemuncak bersempena memperingati empat dekad hubungan ASEAN-Jepun ini telah memberitahu secara jelas kepada dunia tentang pendirian ASEAN yang mahukan keamanan dan kestabilan berpanjangan di rantau ini.

Selain memberi isyarat tersebut kepada China dan negara lain yang berkepentingan di ASEAN, ia juga menunjukkan kesepakatan untuk menolak unsur-unsur provokasi dan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dalam soal keselamatan dan keamanan sejagat, khususnya di ASEAN.

Bagaimana meningkatkan kekuatan umat Islam?

Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST

Oleh Rohami Shafie

SAYA pernah bertanya dengan seorang blogger terkenal generasi Y mengenai filem-filem Melayu di Malaysia. Dia berpendapat kebanyakan filem Melayu di Malaysia bukanlah filem dalam erti kata sebenar. Hanya ingin mengejar keuntungan.

Sejak pengarah filem terkenal, Yasmin Ahmad meninggal dunia, tidak banyak filem Melayu yang berkualiti yang boleh merangsang pemikiran orang Melayu.

Yang ada, filem seperti tahyul, gengster, rempit, suami isteri bergaduh sampai bercerai berai, watak penggoda, kaki pukul, ragut, mabuk, berjudi, jual anak dan isteri, menagih dadah dan golongan elit yang angkuh.

Tidak terkecuali filem yang memaparkan penipuan, maki hamun, mengadu-domba, mengumpat dan memfitnah. Tidak banyak filem berunsur kekeluargaan yang berbentuk nasihat-menasihati.

Tetapi tidak buat pengarah filem seperti saudara Aflin Shauki yang sering memaparkan budaya kekeluargaan yang positif seperti filem Papadom dan Papadom 2. Filem-filem sebeginilah mampu merangsang minda dan tingkah laku orang Melayu.

Malangnya tidak ramai pengarah dan penerbit yang sanggup menerbit filem sebegini kerana kononnya tidak menguntungkan. Sedangkan filem sebeginilah boleh meningkatkan kekuatan umat Islam. Itu bab filem. Bagaimana pula dalam sektor korporat?

Diberitakan bahawa kemunculan semula seorang tokoh korporat Melayu yang suatu ketika dahulu senyap sepi selepas krisis kewangan tahun 1997/98 melanda negara. Ramai usahawan dan jutawan Melayu tersungkur ketika krisis kewangan tersebut.

Tokoh korporat yang dimaksudkan membuat kemunculan semula adalah Tan Sri Halim Saad. Siapa yang tidak kenal beliau, salah seorang tokoh korporat yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bumiputera tetapi juga antara tokoh korporat terhebat di era sebelum krisis ekonomi yang melanda Malaysia di penghujung 1990-an.

Kemunculan semula Halim menggambarkan bahawa beliau tidak pernah berputus asa dalam perniagaan. Beliau bercadang dan sedang melaksanakan strategi-strategi untuk menjadikan syarikat yang mana beliau merupakan pemegang saham utama iaitu, Sumatec sebagai sebuah syarikat yang berjaya.

Sifat keusahawanan beliau perlu dipelajari dan dijadikan contoh oleh usahawan-usahawan Melayu Islam yang lain.

Apabila berbicara mengenai kekuatan umat Islam, satu aspek yang perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh orang Melayu Islam ialah berkenaan dengan budaya keusahawanan, disiplin yang kuat serta menjadi seorang yang sentiasa mengejar ilmu pengetahuan.

Orang Melayu Islam tidak boleh sekadar berpuas hati apa yang mereka peroleh, tatkala dunia luar dan dalam Malaysia sendiri, perubahan berlaku dengan cepat sama sekali.

Ketika dunia luar berubah lebih jauh berbanding Malaysia dari segi pemikiran, pendidikan, ilmu pengetahuan dan cara bertingkah laku, umat Islam Malaysia pula masih dimomok-momokkan dengan pelbagai perkara negatif yang menjadi budaya mereka.

Tunjukkan perkara positif dalam kehidupan umat Islam. Yang negatif pula ditangani secara berhemah. Yang positif pula dibudayakan agar tingkah laku umat Islam dan Melayu Islam sentiasa ke hadapan atau sekurang-kurang berada di garisan sama dengan kaum lain.

Sebagai contoh, budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu wajib dipraktikkan supaya umat Islam tidak mudah ditipu oleh orang lain seperti skim cepat kaya, ajaran sesat dan pelbagai lagi penipuan yang berskala kecil sehinggalah besar.

Apabila fakta dan ilmu diperhebatkan, ia boleh merangsang seseorang itu berfikir di luar kotak. Malang sekali, sering kali berlaku dalam kalangan umat Islam yang mempercayai sesuatu membuta tuli dan akhirnya boleh membawa masalah kepada kekuatan umat Islam.

Perlu diingat, terdapat usaha berterusan sama ada secara kecil dan besaran-besaran untuk melaga-lagakan umat Islam Malaysia.

Banyak contoh yang boleh kita lihat sama ada tersirat atau tersurat tetapi masih ramai yang tidak sedar mengenai perkara ini.

Percayalah, usaha untuk melaga-lagakan sesama Islam tidak akan berkubur sehinggalah umat Islam di Malaysia ini benar-benar berpecah belah dan senang dicucuk oleh musuh Islam.

Lihatlah di negara-negara Islam di Timur Tengah, musuh-musuh Islam telah berjaya memecah belahkan kesatuan umat Islam. Adakah kita masih tidak nampak bahawa usaha ini sedang berlaku ke atas umat Islam Malaysia?

Atau kita terlalu lena dibuai kesenangan yang dinikmati oleh Malaysia sampaikan kita alpa untuk meningkatkan kekuatan umat Islam Malaysia?

Dibimbangi kita tidak dapat menikmati kesenangan ini apabila kita sendiri yang menyebabkan kesenangan ini dirampas oleh musuh-musuh Islam.

Mungkin perkara ini tidak berlaku kepada kita, tetapi kalau kita sayangkan generasi akan datang, anak cucu cicit kita, umat Islam tidak boleh memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam.

Persekitaran umat Islam perlu diperbaiki, sentiasa sokong-menyokong sesama sendiri, bersaing secara sihat, bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bersatu padu hanya kerana Allah SWT.

Jangan buang masa terlalu berhibur atau bercakap mengenai orang lain. Buang jauh-jauh dilema Melayu lama mahupun Melayu moden. Pepatah Inggeris ada menyatakan, Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people".

Begitu juga, nenek moyang orang Melayu Islam mengatakan jangan jadi seperti katak bawah tempurung. Ini bermaksud berbincang idea dan digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang luas akan berupaya untuk merealisasikan kekuatan umat Islam Malaysia.

Syaratnya umat Islam Malaysia perlu bersatu padu dalam apa jua perkara baik dan menentang perkara yang mungkar. Ia perlu dimulai oleh kepimpinan tertinggi umat Islam Malaysia dan disokong oleh media, pemimpin badan bukan kerajaan, cendekiawan, para guru, sistem pendidikan dan setiap individu Islam.

Kalau ini dapat direalisasikan, insya-Allah, musuh-musuh Islam tidak akan berani menyentuh sikit pun umat Islam Malaysia, malahan akan mengundang rasa hormat terhadap umat Islam Malaysia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved