Selasa, 17 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Tujuh PPR dibina di Melaka

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

SEBAHAGIAN pengunjung melihat model rumah pangsa semasa Majlis Pecah Tanah PPR Ayer Panas, Bemban, Melaka, kelmarin.

JASIN 16 Dis. - Kerajaan negeri mengenal pasti tujuh lokasi berpotensi untuk memajukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan sebanyak 3,200 unit bermula pada tahun hadapan sehingga 2018.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kesemua projek PPR berkenaan bakal dibangunkan untuk memenuhi keperluan memiliki rumah terutamanya bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini.

"Semua tujuh lokasi yang dikenal pasti itu termasuklah PPR Lipat Kajang (500 unit), PPR Pulai Fasa II (400 unit), PPR Kampung Tun Kudu (500 unit), PPR Ayer Molek Darat (400 unit), PPR Bukit Rambai (400 unit), PPR Sungai Putat Fasa II (400 unit) dan PPR Sungai Udang sebanyak 600 unit," katanya ketika berucap dalam majlis Pecah Tanah PPR Ayer Panas, Bemban di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd. Sadique; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Yusof Ghazali.

PPR Ayer Panas yang dibangunkan Jabatan Perumahan Negara dan Lembaga Perumahan Melaka itu merupakan projek ketiga di negeri ini selepas PPR Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam dan PPR Paya Rumput di Krubong.

Menurut Idris, projek PPR Ayer Panas melibatkan pembinaan 500 unit rumah merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta pelbagai kemudahan serba lengkap berharga RM35,000 seunit dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2015.

"Selain PPR Ayer Panas, Kerajaan Persekutuan baru-baru ini turut meluluskan dua lagi projek PPR termasuk 600 unit di Paya Rumput serta 200 unit lagi di Kampung Tun Razak, Bukit Katil," ujarnya.

Sementara itu, jelas beliau, kerajaan negeri juga mengenal pasti sebanyak 14,656 unit rumah kos rendah yang telah diluluskan tetapi masih gagal dibina oleh pemaju perumahan swasta sejak 2000 hingga 2012 melibatkan kawasan seluas 259 hektar.

Tambahnya, Melaka turut bercadang menaikkan taraf perumahan kos rendah di negeri ini kepada Rumah Mampu Milik (RMM) selaras dengan kuasa membeli penduduk yang majoritinya mampu memiliki rumah pada kadar harga di bawah RM150,000.

"Perumahan mampu milik kini menjadi Indeks Prestasi Utama (KPI) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta mempertingkatkan infrastruktur asas penduduk luar dan pinggir bandar," katanya.

Lintas Budaya Payakumbuh-Seremban meriah

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

SEREMBAN 16 Dis. - Seramai 40 tetamu dari Sumatera Barat, Indonesia menyertai Majlis Lintas Budaya Payakumbuh-Seremban yang dilangsungkan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini semalam.

Majlis yang menggabungkan kebudayaan antara Negeri Lima Puluh Kota dan Negeri Sembilan itu, nyata menyaksikan himpunan persaudaraan yang kuat, selain perkongsian budaya yang sama.

Pegawai Pejabat Bupati Kabupaten Lima Puluh Kota, Dr. Alis Marajo berkata, beliau berusaha supaya hubungan Minangkabau antara Sumatera Barat dan Negeri Sembilan diteruskan sehingga generasi akan datang.

''Saya begitu menyayangi hubungan ini kerana kita berkongsi Adat Perpatih dan bahasa yang mirip.

''Mengikut sejarahnya, rombongan dari Sarilamak atau Payakumbuh yang diketuai oleh Datuk Putih dan Sutan Sumanik merupakan perintis yang telah membuka sebuah perkampungan di Negeri Sembilan ini.

''Datuk Putih terkenal sebagai pawang mempunyai ilmu kebatinan, malah beliau yang memberi nama Seri Menanti bagi tempat istana raja yang sekarang sehingga menyebabkan berlakunya asimilasi budaya," katanya di Paroi dekat sini semalam.

Sementara itu, peserta Indonesia selaku pengacara majlis itu, Tesi Febrina, 29, berkata, dengan adanya lintas budaya Indonesia dan Malaysia, hubungan antara dua negara seberang dapat dieratkan lagi.

''Kita akan lebih mengenali dengan lebih dekat lagi kebudayaan masing-masing terutama dalam seni tari dan budaya. Saya harap hubungan itu akan diteruskan lagi.

''Seronok melihat persembahan tarian gabungan dua budaya dari Lima Puluh Kota dan Negeri Sembilan, seperti satu semangat yang luar biasa," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ikatan Kekeluargaan Warisan Minang Negeri Sembilan (IKWAMNS), Datuk Khairuddin Hassan berkata, program itu merupakan permintaan Bupati Kabuputen Lima Puluh Kota sendiri setelah lama tidak diadakan dengan kali terakhir diadakan di Balai Labu.

''Kami telah berbalas surat antara pemerintah dan bersetuju menggiatkan program selain menarik minat pelancong walaupun banyak masalah yang tidak dapat dielakkan namun diusahakan agar dapat berjalan lancar," katanya.

Majlis lintas budaya berkenaan telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Abu Ubaidah Redza.

Program itu mendapat kerjasama Angkatan Seni Baru Yayasan Negeri Sembilan, Anstech Services Sdn. Bhd, Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan dan Institut Perhotelan dan Pelancongan Negeri Sembilan serta Tourism Malaysia.

Kerajaan BN utamakan rakyat

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

SEREMBAN 16 Dis. - Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin dalam projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat, malah tidak pernah mengamalkan sikap 'pilih bulu' dalam melaksanakannya biarpun kawasan terbabit dimenangi pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua projek berkenaan dijalankan secara adil kerana rakyat diutamakan.

''Apa yang kita mahu ialah rakyat hidup sejahtera dan mereka tidak diabaikan," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di sini hari ini.

Menjawab soalan Ng Chin Tsai (DAP-Temiang), Mohamad memberitahu, dalam soal membantu rakyat fahaman politik harus diketepikan dan sebab itulah BN sentiasa peka dalam isu rakyat.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias memberitahu, sebanyak 37 projek Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah dijalankan dalam tempoh dari 2008 hingga 2013 yang menelan belanja lebih RM5.9 juta.

''Pada tahun 2008 sejumlah 14 projek dilaksanakan di Temiang. Pada tahun 2009 sebanyak lapan projek, 2010 iaitu tiga projek, 2011 adalah sebanyak empat projek, manakala 2012 sebanyak tiga projek dan tahun ini sebanyak lima projek," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved