Selasa, 17 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Modul Keluarga Sakinah dikaji semula

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

ABD. Mutalip Abd. Rahim (kanan) beramah mesra dengan peserta kursus perkahwinan sambil diperhatikan oleh Berhan Abdul Rahman (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam Versi 3 Daerah Johor Bahru di Hotel Selesa, Pasir Gudang, Johor, kelmarin.

JOHOR BAHRU 16 Dis. - Modul Keluarga Sakinah yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim akan dikaji semula agar lebih memberi tumpuan kepada semua peringkat umur, terutama belia dalam usaha mengurangkan kadar perceraian di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, isu perceraian hari ini tidak sama dengan suatu masa dahulu kerana cabaran yang dihadapi sekarang memerlukan pendekatan yang lebih berkesan untuk menanganinya.

"Perceraian yang berlaku pada masa kini bukan sahaja disebabkan faktor kemiskinan atau pengetahuan agama, malah orang yang berkereta dan berkedudukan juga menghadapi situasi sebegini. Sebelum ini Modul Keluarga Sakinah memberi tumpuan kepada kelompok tertentu dan banyak menyentuh bab seperti kekeluargaan sahaja.

"Hari ini kita mahu pergi kepada belia melalui 10 modul yang ada di bawah program tersebut iaitu dari usia tujuh tahun hingga 14 tahun, 15 hingga 21 tahun, 22 hingga 40 tahun dan warga emas," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam (PPI) Versi 3 Daerah Johor Bahru di Hotel Selesa Pasir Gudang, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Pulai Utama Management, Datuk Berhan Abdul Rahman.

Kursus praperkahwinan sehari anjuran Pulai Utama Management itu dihadiri seramai 265 bakal pengantin yang turut melibatkan penambahan masa dan penambahbaikan modul melibatkan tayangan video untuk meningkatkan kefahaman peserta.

Menurut Abd. Mutalip, kehidupan masyarakat dahulu tidak banyak melibatkan cabaran kepada rumah tangga seperti yang berlaku pada hari ini di mana pada suatu ketika adalah normal bagi sesebuah keluarga hidup bahagia dengan pasangan suami isteri mempunyai sehingga lebih sembilan orang anak.

"Tetapi hari ini arus kemodenan menuntut kepada kesabaran yang tinggi. Jadi saya nasihatkan suami isteri hari ini agar memupuk sikap sabar kerana sabar itu adalah 'rempah' nombor satu dalam perkahwinan selain menghidupkan sunah Rasulullah dengan solat berjemaah dan membaca al-Quran," katanya.

Bandar Koperasi bakal dibina di Iskandar Malaysia

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

ABDUL Fattah Abdullah (tengah) beramah mesra dengan peserta Konvensyen Pengukuhan Audit Dalam Pengurusan Risiko Koperasi dan Sistem Pengurusan Berkomputer Angkasa di Hotel New York, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 16 Dis. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal memperkenalkan satu projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan koperasi negeri ini dikenali sebagai Bandar Koperasi.

Projek yang pertama seumpamanya dibangunkan oleh koperasi di negara ini dijangka dibangunkan di Iskandar Malaysia, sekali gus bersama mengambil bahagian dalam kerancakan pembangunan di kawasan berkenaan.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, cadangan pembinaan Bandar Koperasi itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Angkasa yang bertindak sebagai koordinator.

Menurutnya, cadangan tersebut adalah baik terutama dalam usaha memastikan ahli koperasi dapat merebut peluang yang ada di Iskandar Malaysia dan bersama-sama memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

"Angkasa melihat pembangunan Bandar Koperasi itu sebagai satu cadangan yang sangat baik, sekali gus menyeru kepada kerajaan negeri lain untuk mengikut langkah yang diambil kerajaan negeri Johor.

"Justeru, projek itu diharap dapat dilaksanakan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengukuhan Audit Dalam Pengurusan Risiko Koperasi dan Sistem Pengurusan Berkomputer Angkasa (SPBA) di sini kelmarin.

Beliau berkata, Bandar Koperasi ini bakal menempatkan antaranya pusat perniagaan, perumahan dan hotel yang kelak diharap dapat memberikan ruang untuk ahli koperasi menjalankan perniagaan mereka di situ.

Tambahnya, buat masa ini, pihak terlibat sedang membuat perancangan bagi membangunkan Bandar Koperasi termasuk mengenal pasti tapak sesuai di Iskandar Malaysia untuk dibangunkan projek berkenaan.

Sementara itu, Abdul Fattah menyeru setiap pemimpin koperasi supaya memberikan perhatian kepada bidang pengauditan dalam usaha memastikan setiap aktiviti dibuat dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Selain itu, tambahnya, pengurusan risiko juga perlu diberi tumpuan dengan mengambil kira semua faktor yang boleh memberi ancaman dan menghalang pencapaian pelbagai projek dijalankan oleh koperasi.

Justeru, beliau meminta mana- mana koperasi yang belum memohon untuk mendapatkan pakej SPBA yang disediakan Angkasa.

"Angkasa membekalkan SPBA yang dianggarkan bernilai RM30,000 secara percuma dan maklum balas kita terima telah membantu melancarkan urusan seperti senarai pendaftaran ahli dan sistem pengurasan serta perakaunan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini sebanyak 1,780 koperasi didaftarkan dengan Angkasa sudah menggunakan sistem tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved