Ahad, 3 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


PRK DUN Sg. Limau beri kesan penting

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

Mukhriz Mahathir memberi cek bernilai RM300,000 kepada wakil Usahawan TEKUN Kawasan Parlimen Jerai, Robaain Abdullah (kiri) sambil diperhatikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Datuk Irmohizam Ibrahim (dua dari kiri), Exco Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaakob (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Operasi TEKUN Nasional, Adam Abd. Ghani dalam Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup dan Bantuan Khas Nelayan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau, Yan, Kedah, semalam. - MINGGUAN/SAFRIZAL AZMI

YAN 2 Nov. — Walaupun Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin ini tidak akan mengubah stuktur kerajaan negeri Barisan Nasional (BN), tetapi keputusannya memberi impak yang besar kepada BN dan Pas dalam jangka masa panjang.

Bagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, walau apa pun alasan dan persepsi PRK ini, kedua-dua parti tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk menang.

"BN mahu menang kerana kemenangan ini akan memberi impak besar kepada BN kerana DUN Sungai Limau adalah kubu kuat Pas dan kawasan bekas Menteri Besar dari Pas iaitu Tan Sri Azizan Abdul Razak," kata Dr. Mohd. Azizuddin yang juga Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

"Kalau Pas kalah ia satu tamparan besar kepada parti itu. Pemimpin Pas dan ahlinya akan lemah semangat. Ini beri kekuatan dari segi psikologi kepada BN dan rakyat akan beri pernyataan sah yang lebih mantap lagi khususnya kepada agenda pembangunan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu," katanya.

Dr. Mohd. Azizuddin berkata, walaupun kempen kedua-dua pihak dilihat kurang agresif selepas proses penamaan calon pada 23 Oktober lepas, sebenarnya ia agresif tanpa tidak ditunjukkan kerana kedua-dua parti menyedari akan sentimen tempatan dan kerana itu penampilan calon-calon dilihat sederhana.

"Ini kerana penduduk di DUN Sungai Limau agak konservatif dan cara hidup bersederhana. Jadi penampilan calon perlulah bersederhana. Yang saya bimbang orang luar yang berkempen cara agresif tapi tak faham pendekatan dan cara hidup di DUN Sungai Limau. Kesopanan dan tatasusila kena jaga ketika berkempen di sana," katanya.

Menurut beliau, peluang kedua-dua parti pada PRK kali ini dilihat seimbang walaupun DUN Sungai Limau dikatakan kubu kuat Pas sejak 1995.

"Peluang untuk BN menang ada dan BN kena tumpukan kempen kepada pengundi muda yang berada di luar, serta pengundi Cina di pekan. Ada kecenderungan mereka kembali menyokong BN," katanya.

Untuk rekod daripada 27,222 pengundi, kedua-dua parti iaitu Pas dan BN mempunyai anggota yang hampir sama banyak sebagai pengundi dan pengundi atas pagar pula kira-kira 24 peratus yang akan menjadi penentu pada Isnin ini.

DUN Sungai Limau mungkin dilihat sebagai kubu kuat Pas kerana diwakili oleh Azizan sejak 1995 dan merupakan Menteri Besar Kedah bagi tempoh satu penggal iaitu dari 2008 hingga Mei lepas.

Namun fakta menunjukkan DUN Sungai Limau, sebelum Pilihan Raya Umum 2004 dikenali sebagai DUN Sala, bukan hak milik mutlak mana-mana parti kerana wakil rakyat di kawasan itu sering silih berganti antara wakil BN dan Pas.

Pas dalam usahanya mengekalkan kerusi DUN itu telah memainkan hubungan calonnya, Mohd. Azam Abd. Samat sebagai anak didik Azizan dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya, malah telah menggunakan gambar dan nama Azizan dalam kempennya.

Dalam ketaksuban mereka mempamerkan hubungan yang akrab antara Azizan dan Mohd. Azam sehingga sanggup mengeluarkan risalah calon dengan menggunakan gambar calon menggantikan wajah seorang daripada dua wartawan kanan akhbar Sinar Harian yang mengunjungi Azizan pada 2011.

Calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, walaupun bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris dilihat tidak menonjolkan diri dan menjalankan kempen lebih kepada bersemuka yang memenuhi 'selera' penduduk tempatan.

Bagi Dr. Mohd. Azizuddin, strategi calon BN berkesan berbanding strategi Pas yang 'lebih menampakkan macam mereka terdesak kerana masih gunakan Ustaz Azizan.'

Mukhriz, yang juga Pengerusi BN Kedah, baru-baru ini menyatakan keyakinannya yang BN akan diterima penduduk DUN Sungai Limau kerana hanya parti itu yang mampu membawa pembangunan ke kawasan itu.

"Walaupun BN kalah di DUN Sungai Limau sejak Pilihan Raya Umum 1995, rakyat perlu melihat kesungguhan BN untuk memajukan Kedah selepas kembali menerajui negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu.

"Kami parti yang menunaikan janji. Selepas menang, saya dan barisan Exco berusaha gigih untuk membangunkan Kedah. Ini (pembangunan) memang diperlukan dan dituntut oleh rakyat. Kami tawarkan (apa yang boleh dibuat), sekiranya boleh diterima rakyat di Sungai Limau," katanya.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, tinjauan terkini parti itu menunjukkan Pas mampu mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti yang kurang, iaitu hanya 500 undi.

PRK kali ini sebenarnya bukan sahaja, pertembungan antara BN dan Pas, bukan sahaja antara Dr. Ahmad Sohaimi dan Mohd. Azam, tetapi juga antara Mukhriz dan Mahfuz yang baharu sahaja dilantik mengetuai parti masing-masing di peringkat negeri selepas PRU-13, Mei lepas. — BERNAMA

Penduduk diancam bau busuk

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

Reezal Merican Naina Merican (kanan) bersama penduduk melihat kawasan pencemaran bau dan air yang didakwa berpunca daripada kilang memproses plastik kitar semula semasa melakukan tinjauan di Kampung Ekor Kuching, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/SAZALI CHE DIN

KEPALA BATAS 2 Nov. - Kira-kira 100 keluarga di Kampung Ekor Kuching di sini diancam bau busuk dan pencemaran air dari sebuah kilang memproses plastik kitar semula sejak tiga bulan lalu.

Pencemaran bau itu paling ketara pada waktu malam dan membimbangkan penduduk kerana turut menyebabkan sumber bekalan air telaga tiub dalam tanah tercemar.

Seorang penduduk Awang Dahaman, 79, mendakwa, bau busuk dari kilang itu amat ketara pada waktu hujan.

"Air dari sisa kilang itu juga dipercayai mencemarkan bekalan air telaga tiub yang digunakan penduduk di sini untuk membasuh pakaian dan mandi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kubang Menerong, Rahmat Idrus, 58, berkata, kilang itu juga didakwa membuang sisa air yang diproses ke dalam parit sehingga menyebabkannya mengeluarkan bau busuk.

"Kita bimbang dengan masalah yang dihadapi penduduk dan meminta pihak berkuasa mengatasi masalah ini kerana jika berlarutan mungkin boleh membahayakan kesihatan penduduk berdekatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika meninjau permasalahan penduduk di situ berkata, beliau akan melawat kilang berkenaan bersama-sama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sama ada operasinya sah ataupun tidak.

Mengenai rungutan penduduk kampung berkenaan terhadap lori pasir yang beroperasi tengah malam dan dipandu laju, beliau berkata, pihaknya akan membina bonggol di Jalan Pinang Tunggal-Padang Serai bagi mengatasi masalah tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved