Ahad, 3 November 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Batal lesen: Iktibar, amaran semua syarikat keselamatan

Posted: 03 Nov 2013 02:11 AM PST

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Pembatalan lesen syarikat kawalan keselamatan baru-baru ini adalah sebagai iktibar, amaran dan pengajaran kepada syarikat lain supaya tidak melakukan kesalahan atau melanggar peraturan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua syarikat kawalan keselamatan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan KDN bagi mengelak sebarang kejadian atau insiden buruk berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Oktober lepas, KDN mengumumkan pembatalan lesen syarikat kawalan keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, pada 23 Oktober.

Syarikat berkenaan didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan pengendalian serta pengurusan agensi persendirian di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

KDN adalah kementerian bertanggungjawab mengeluarkan Lesen Agensi Persendirian kepada semua syarikat kawalan keselamatan.

Pada masa ini, terdapat 751 syarikat kawalan keselamatan telah diberikan Lesen Agensi Persendirian (Kawalan Keselamatan) dan jumlah pengawal keselamatan warga tempatan di seluruh negara sehingga 28 Oktober 2013 adalah seramai 226,368 orang.

Alwi berkata, KDN tidak akan berkompromi apabila berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan dan syarat dengan tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan akan diambil.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan syarikat kawalan keselamatan berlesen agar tidak terlalu mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan matlamat penubuhan syarikat iaitu menyediakan pengawalan dan perlindungan terhadap keselamatan diri, harta serta perniagaan orang lain. - BERNAMA

Gaji minimum RM900 dilaksana sepenuhnya Januari 2014

Posted: 03 Nov 2013 01:47 AM PST

LABUAN 3 Nov. - Setelah ditangguh dan diberi kelonggaran sejak Januari tahun ini, gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan, akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot berkata, kerajaan mengambil kira semua perkara yang boleh menjejaskan pelbagai sektor di negara ini sebelum melaksanakan dasar berkenaan.

"Sebahagian besar majikan daripada hampir semua sektor di negara ini memberi penjelasan tentang ketidakmampun mereka (melaksanakan dasar itu) dan meminta penangguhan, maka kami menangguhkannya hingga 31 Disember tahun ini. Gaji minimum akan dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara mulai Januari tahun depan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sijil kepada lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini.

Riot berkata, pelaksanaan gaji minimum ini terpakai bagi semua majikan, tanpa mengira lokasi perniagaan mereka.

"Sama ada perniagaan yang mereka jalankan di bandar atau di mana saja, mereka tidak terkecuali daripada melaksanakannya," kata beliau.

Riot berkata, pelaksanaan dasar itu terpaksa ditangguh kerana beberapa sebab, termasuk berkaitan kemampuan kewangan syarikat atau majikan.

Perintah Gaji Minimum 2012 sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013, dengan kadarnya dikaji setiap dua tahun. Bagaimanapun, ia ditangguh bagi memenuhi permintaan 400 syarikat agar tarikhnya ditunda kepada 31 Dis.

Pelaksanaan dasar gaji minimum itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April tahun lepas dan diwartakan pada 16 Julai.

Riot berkata, ia ditangguhkan berikutan kajian teliti oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.

"Kajian dibuat mengikut kes...dan penangguhan serta kelonggaran hanya diberi selepas majlis itu yakin terdapat keperluan untuk berbuat demikian," katanya.

Menurut beliau, setakat ini, tiada permintaan secara bertulis diterima daripada pengusaha tanaman sawit untuk menangguhkan pelaksanaan dasar itu berikutan penurunan harga minyak sawit dunia.

"Kebanyakan pekerja dalam sektor perladangan adalah warga asing. Rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung tidak berminat bekerja dalam sektor ini...sama ada kita suka atau tidak, inilah isu yang terpaksa kita hadapi," katanya.

Laporan sebelum ini memetik ketua setiausaha kementerian berkenaan Zainal Rahim sebagai berkata sejumlah 247 "syarikat mikro" dan 743 syarikat besar memohon penangguhan pelaksanaan dasar itu.

Syarikat mikro merujuk kepada sesebuah syarikat yang mempunyai tidak lebih lima pekerja. Syarikat yang tergolong dalam kategori ini sepatutnya melaksanakan dasar berkenaan mulai hari ini.

Syarikat besar yang mempunyai lebih 150 pekerja dalam bidang perkilangan atau lebih 50 pekerja dalam bidang pembuatan perlu mula membayar gaji minimum pada 1 Januari tahun ini. - BERNAMA

PRK DUN Sungai Limau: Dr. M puji semangat jentera BN

Posted: 03 Nov 2013 01:26 AM PST

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

JERAI 3 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, semangat jentera Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan cukup tinggi untuk membantu parti itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beliau berkata, keadaan itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan 1969 yang mana ada kawasan langsung tidak boleh ditembusi BN.

Menurut beliau, ini menunjukkan penduduk Sungai Limau dapat menerima kehadiran BN dan sanggup mendengar penjelasan yang ingin dibuat oleh parti itu terhadap kawasan tersebut atau berkaitan isu semasa.

''Tidak seperti 1969, ada kawasan yang saya hendak masuk pun tidak boleh. Namun sekarang sudah boleh masuk, orang yang dahulu bagi tentangan sanggup mendengar penjelasan daripada BN,'' katanya pada majlis karnival rakyat di Sungai Limau di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau yakin apabila penduduk mendengar penjelasan daripada BN, mereka akan berani untuk menyokong parti itu yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Katanya, rakyat dapat membuat pembandingan apabila pembangkang diberi peluang selama satu penggal untuk mentadbir negeri ini.

''Semasa pembangkang memerintah, tiada kemajuan. Saya yakin dengan adanya kerajaan BN di Kedah, kita akan dapat melihat kemajuan Kedah yang pesat dengan peluang pekerjaan bertambah di samping pendapatan penduduk meningkat,'' katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved