Ahad, 3 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pelihara bidang sastera - Khaled

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin menyampaikan hadiah kepada Othman Zainudin (berkerusi roda) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 2 Nov. - Bagi memastikan kelangsungan bidang sastera dalam masyarakat, sebuah pusat tamadun Melayu serantau dan penubuhan Galeri Persuratan Johor dicadang ditubuhkan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan pusat itu membolehkan pelbagai sejarah dikumpul, disimpan dan dipamerkan di galeri tersebut kelak terutama bagi rujukan masa depan.

Selain itu katanya, rekod perkembangan dan kegiatan organisasi bahasa serta sastera, tokoh penulis bersama karya yang dihasilkan sejak abad ke-17 sehingga hari ini juga dapat dipamerkan di situ.

"Umum mengetahui Johor merupakan sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya dan bangsa sama ada dari segi sistem politik, sosial, kesenian dan kebudayaan, malah bahasa dan sasteranya juga mempunyai keunikan tersendiri.

"Jadi, saya cadangkan supaya Yayasan Warisan Johor (YWJ) merangka satu pelan bagi menubuhkan pusat tamadun Melayu serantau dan Galeri Persuratan Johor dalam usaha memastikan kelangsungan bidang itu," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim Kesembilan bertemakan Muafakat Johor Melalui Kesusasteraan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini semalam.

Pada majlis itu, Othman Zainudin menjadi penerima hadiah Karyawan Sastera Johor, Wahyu Budiwa Rendra Abdul Wahid (Cipta Karyawan Muda Johor) dan Chong Chee Song (Karyawan Bukan Melayu Johor).

Mohamed Khaled berkata, rakyat negeri ini bukan sahaja harus berbangga dengan keunikan serta keistimewaan yang ada tetapi perlu berusaha memulihara bidang terlibat supaya hasilnya dapat diperluas kepada masyarakat terutama golongan belia.

Beliau berpendapat, sastera sebagai cabang kebudayaan yang mendukung nilai etnik dan estetik juga boleh memainkan peranan berkesan membentuk cara berfikir selain mampu mewujudkan semangat permuafakatan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Mohamed Khaled yakin, pengarang dan sasterawan dapat memainkan peranan masing-masing dalam usaha mentransformasikan masyarakat ke arah golongan lebih peka terhadap pembangunan serta berdaya saing dalam semua bidang kehidupan.

"Kreativiti dan imaginasi penulis serta sasterawan diperoleh daripada hasil pergaulan dalam masyarakat, mereka mengamati, merasakan suka duka dan merasai secara langsung kejadian atau peristiwa yang berlaku di sekeliling.

"Seorang penulis mempunyai keupayaan menceritakan sesuatu perkara dalam bentuk dan lenggok bahasa penceritaan yang mudah untuk difahami pembaca sekali gus kejadian dan peristiwa dapat disebarkan melalui penulisan," katanya.

TMM 2014: Penggiat pelancongan perlu sedia

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

PONTIAN 2 Nov. - Operator pelancongan di negeri ini perlu bersiap sedia bagi sama-sama menyambut kehadiran pelancong ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) agar manfaat daripadanya dapat dinikmati bersama.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong (gambar) berkata, persiapan bukan sahaja perlu dilakukan oleh sektor penginapan seperti hotel, resort atau inap desa tetapi juga sektor lain seperti pengangkutan awam, kebersihan tempat awam seperti tandas dan keceriaan kawasan.

"Begitu juga kepada agensi-agensi pelancongan, mereka diminta turut menyenaraikan tempat-tempat menarik untuk dilawati di Johor supaya para pelancong dapat merasai kelainan di negeri ini. Tanggungjawab sama juga perlu dipikul oleh pemandu pelancong yang tentunya mempunyai segala maklumat serta keistimewaan sesuatu tempat yang akan dikunjungi.

"Saya telah mempengerusikan dua mesyuarat bersama jabatan dan agensi kerajaan serta operator pelancongan untuk menjayakan TMM 2014 dan mesyuarat terakhir akan diadakan bagi mendengar maklum balas daripada jabatan dan agensi berkenaan serta yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas persiapan kerajaan negeri menghadapi TMM 2014 selepas majlis makan malam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chi Chih, di sini semalam

Menurut Siew Kiong, Johor mempunyai 13 pintu masuk dan setiap daripadanya terdapat agensi yang akan bertugas untuk meraikan ketibaan pelancong dan para pengusaha inap desa di negeri ini diminta mempersiapkan penginapan 'ala kampung' yang selesa kepada pengunjung.

"Dalam hubungan ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi dapat membantu pengusaha inap desa di kampung-kampung tradisional bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

"Begitu juga pengusaha cenderamata, kraf tangan, industri kecil dan sederhana (IKS) juga perlu diberikan maklumat dan pendedahan mengenai Tahun Melawat Malaysia supaya mereka turut menerima kesannya. Saya harap semua pihak dapat menjaga imej negeri dengan memberikan layanan baik kepada pelancong," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved