Ahad, 3 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Patuhi skim kawalan harga

Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Syed Kassim Syed Idris (tiga dari kiri) melakukan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013 di Pasar Bunga Cengkih Bandar Baharu Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 3 Nov. - Para peniaga diingatkan supaya terus mematuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013 melibatkan 14 jenis barangan keperluan yang hanya akan berakhir Rabu ini.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Jerantut, Syed Kassim Syed Idris berkata, pemeriksaan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.

Beliau berkata, skim kawalan harga ini dikuatkuasakan bermula 28 Oktober lalu, melibatkan 14 jenis barangan untuk melindungi hak pengguna daripada dimanipulasi oleh segelintir peniaga yang gemar mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan permintaan yang meningkat ketika ini.

"Sepanjang tempoh ini, semua peniaga termasuk urus niaga di pasar besar dan pasar tani di bandar ini yang menjual barangan harga terkawal perlu mematuhi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Tindakan berasaskan peraturan kawalan harga akan dikenakan kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab menerusi pemantauan dan pemeriksaan penguat kuasa PPDNKK cawangan ini," katanya selepas melakukan pemantauan dan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013 di Pasar Bunga Cengkih Bandar Baharu Lipis di sini kelmarin.

Menurut beliau, barangan yang turut dikategorikan di bawah skim berkenaan, antaranya ayam, daging kambing, telur ayam, tomato, bawang merah kecil, ubi kentang import dan kacang dal.

Sehubungan itu katanya, peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu kepada semua barangan terlibat dengan harga kawalan untuk memudahkan pengguna merujuk harga maksimum barangan terbabit.

"Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat peniaga yang memanipulasikan harga sepanjang tempoh penguatkuasaan skim kawalan harga supaya tindakan segera diambil," katanya.

Tambahnya, maklumat juga boleh disampaikan terus kepada kakitangan PPDNKK Jerantut menerusi talian 09-2601374 atau hotline KPDNKK 1-800-886-800 untuk pemantauan dan mengenakan kompaun berasaskan peraturan terhadap peniaga yang ingkar.

JKKK perlu ada buku panduan pentadbiran - MB

Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST

Adnan Yaakob melihat jualan hasil kampung ketika melawat Kampung Pagi, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 3 Nov. - Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diminta menyiapkan buku panduan pentadbiran masing-masing mulai tahun ini bagi memudahkan pengumpulan maklumat oleh agensi kerajaan terlibat.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dokumentasi pentadbiran termasuk sejarah lokasi, bilangan ahli keluarga, pendapatan isi rumah, ekonomi, projek pembangunan kampung dan maklumat penting lain wajar dimuatkan dalam naskhah dokumentasi berkenaan.

"Ini memudahkan saya dan ketua agensi kerajaan meneliti maklumat berkenaan berkaitan penduduk, ekonomi dan pembangunan lain bagi melestarikan perancangan dan peruntukan kewangan di lokasi berkenaan.

"Paling penting juga, maklumat keluarga berkenaan perlu lengkap bagi memudahkan ketua kampung membuat laporan keselamatan kepada pihak berkuasa tentang orang luar tidak dikenali menginap di kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini baru-baru ini.

Menurut Adnan, JKKK perlu bertindak menyusun dokumentasi tentang kampung masing-masing mulai sekarang dan pemantauan akan dibuat oleh wakil rakyat dan Pejabat Daerah masing-masing.

"Saya berpuas hati dan berbangga dengan pengurusan JKKK di sini (Kampung Pagi) kerana menyediakan maklumat yang terperinci, dilengkapi dengan isi rumah dan perancangan kampung tersusun. Tahniah, ini satu tanggungjawab yang baik," ujarnya.

Tambahnya, Pejabat Kemajuan Negeri Pahang telah dimaklumkan serta diminta membimbing pengurusan JKKK di semua daerah tentang dokumentasi lengkap masing-masing dan yakin pelaksanaannya akan berjalan lancar tahun depan.

500 masyarakat India terima sumbangan Deepavali

Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST

Ismail Sabri Yaakob menyerahkan bantuan kepada sebahagian penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali di Triang, semalam.

BERA 3 Nov. - Sebanyak 500 masyarakat India di daerah ini menerima sumbangan Deepavali berupa wang tunai dan hamper yang disampaikan oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Ismail yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sumbangan itu sebagai menghargai jasa kaum India yang berterusan memberikan sokongan kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) terutama pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, sokongan masyarakat India tidak pernah diragui dan beliau percaya di bawah pimpinan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel kaum itu akan terus menyokong kerajaan pimpinan BN.

"Apa yang penting, saya berharap masyarakat India tidak terpengaruh dengan pembohongan berterusan yang dilakukan pembangkang, kita mesti teguh dengan pendirian menyokong BN," katanya di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi MIC Pahang yang juga Ketua MIC Bera, R. Goonasegaran.

Ismail Sabri berkata, komitmen kerajaan untuk membantu masyarakat India juga dapat dilihat dalam pembentangan Bajet 2014 baru-baru ini yang mana pelbagai peruntukan disediakan kerajaan untuk kaum berkenaan.

Beliau berkata, antaranya RM100 juta bagi meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan kemahiran dan RM50 juta disediakan untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

"Turut disediakan RM50 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), tidak rugi masyarakat India menyokong kerajaan kerana kita akan terus memastikan kebajikan mereka terbela," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved