Jumaat, 22 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Korek pasir Bukit Inas dihenti

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 21 Nov. - Kerajaan Negeri mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir di kawasan Bukit Inas, Mukim Bujang, Merbok dekat sini, diberhentikan sementara waktu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang mungkin timbul terhadap penduduk akibat aktiviti tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati projek tersebut telah diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan kemudiannya diserahkan pula kepada kontraktor untuk mengeluarkan pasir.

"Walaupun syarikat ini mempunyai kebenaran untuk mengeluarkan hasil pasir, namun kerajaan negeri memandang serius impak yang berlaku terhadap penduduk.

"Kita telah mengarahkan PKB memberhentikan sementara projek ini sehingga langkah penyelesaian dibuat dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan penduduk terlibat di kampung tersebut, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di Bukit Inas merayu Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda segera menjalankan siasatan berhubung aktiviti mengorek pasir berhampiran kampung mereka yang didakwa dilakukan kira-kira sebulan lalu.

Penduduk mendakwa, aktiviti tersebut memusnahkan pelbagai pokok besar di tanah milik kerajaan untuk dijadikan tempat mengumpul pasir sebelum dikeluarkan bagi pasaran tempatan.

Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, satu perbincangan lanjut akan dijalankan pihaknya dengan PKB dan agensi terlibat seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda pada Ahad ini.

"Kita memandang serius aduan penduduk yang ditimpa masalah akibat kegiatan mengeluarkan pasir itu. Saya selaku ADUN kawasan terbabit sendiri juga berpandangan kita tidak berniat menghalang kegiatan ini tetapi ia perlu dijalankan secara berhemah dan tidak mendatangkan kesusahan kepada penduduk," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menasihatkan kepada para kontraktor yang terlibat dalam kegiatan mengeluarkan pasir agar memastikan sensiviti penduduk setempat semasa menjalankan kegiatan mereka.

Atasi masalah lambakan buah

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

Pegawai FAMA Perak, Sharuddin Adam (kanan) menerima dokumen perjanjian jual beli ladang kontrak dari seorang penanam sayur, Zulkarnain Sahuddin dengan disaksikan oleh Basri Jasmo (tengah) di Manong, Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

KUALA KANGSAR 21 Nov - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak memberi jaminan akan membeli buah-buahan tempatan jika berlaku lambakan pada musim buah-buahan di negeri ini yang sudah bermula ketika ini.

Pengarah FAMA negeri, Basri Jasmo memberitahu, tempoh musim buah-buahan kali ini mungkin panjang dan sudah bermula sejak bulan lalu dan dijangka berakhir Januari ini.

Beliau berkata, ketika ini musim durian sudah bermula di beberapa daerah di negeri ini seperti di Kuala Kangsar, Batu dan Kampung Gajah.

Kata beliau, musim durian secara berperingkat ketika ini memberi kebaikan kepada pemilik dusun durian kerana setakat ini tiada berlaku lambakan dan harga 'raja buah' itu masih berada pada paras yang baik.

"FAMA telah mewujudkan pusat-pusat pengumpulan buah-buahan tempatan seperti di Kampung Gajah bagi memudahkan pemilik dusun menjual hasil mereka kepada FAMA sekiranya berlaku lambakan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembangunan FAMA dan Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Daerah Kuala Kangsar di Dewan Orang Ramai, Manong dekat sini semalam.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong, Mohamad Kamil Shafiel.

Basri menjelaskan, FAMA akan membeli buah-buahan melalui pusat-pusat pengumpulan di semua daerah sekurang-kurangnya pada harga yang lebih mahal daripada harga yang ditawarkan oleh pemborong lain.

"Sebenarnya FAMA terlibat secara langsung sama ada pada musim lambakan buah-buahan atau tidak.

"Kita aktif dalam aktiviti pembelian atau pemasaran buah-buahan tempatan, juga memberikan kemudahan kepada pemilik dusun menjual terus pada harga lebih mahal daripada FAMA," katanya.

Sementara itu, beliau menjangkakan musim kali ini tidak berlaku lambakan buah-buahan lain seperti langsat dan manggis kecuali rambutan yang dijangka berlaku lambakan mulai bulan depan.

Sayangi hutan pesisir pantai - Raja Muda Perlis

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menunjukkan buku Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perlis 2013-2022 selepas melancarkan buku tersebut pada Program Kerjasama Sempadan Malaysia-Thailand melalui Penanaman Pokok Bakau di Kampung Seberang Jaya, Kuala Perlis, Perlis, semalam. Berangkat sama, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua dari kanan). - BERNAMA

KANGAR 21 Nov. - Jabatan atau agensi-agensi kerajaan serta badan-badan tertentu seharusnya menitikberatkan usaha mempertingkatkan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan pesisiran pantai di negara ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha tersebut boleh dijalankan secara bersepadu dan berterusan oleh pihak berkenaan.

"Ini termasuk pelaksanaan aktiviti inventori di semua kawasan hutan untuk mengetahui status dan komposisinya bagi memudahkan lagi perancangan pengurusan hutan," titah baginda ketika merasmikan program Kerjasama Sempadan Malaysia (Perlis) -Thailand Melalui Aktiviti Tanaman Pokok Bakau di Kampung Seberang Jaya, Kuala Perlis di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir pada program sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2013 itu ialah Exco Kerajaan Negeri, Bakri Ali; Pengarah Perhutanan Perlis, Ridzuan Salleh dan Gabenor, Satun, Thailand, Nuachai Jiraapirak.

Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan melancarkan buku Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perlis 2013-2022.

Titah baginda, tumpuan juga perlu diberikan terhadap beberapa aspek seperti berikut:

n Pelaksanaan perancangan pembangunan dan penggunaan tanah yang lebih baik serta pengurusan dan kawalan di kawasan alam sekitar yang sensitif.

n Mempelbagaikan kajian dan penyelidikan melalui institusi pengajian tinggi (IPT) serta agensi-agensi penyelidikan serta mengadakan lebih banyak forum-forum perbincangan dan kerjasama di peringkat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

n Mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menjana nilai tambah berimpak tinggi.

n Mengadakan program-program peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi memelihara dan memulihara hutan pesisiran pantai.

Baginda turut yakin pihak berkenaan termasuk kerajaan negeri akan sentiasa menyokong usaha-usaha positif memastikan hutan pesisiran pantai dipelihara dan dipulihara secara lestari.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved