Jumaat, 22 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Terap kepentingan cegah jenayah

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

Rajali Mudin (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang anggota Skim Rondaan Sukarela dalam majlis penutupan Seminar Keselamatan Kejiranan Peringkat Daerah Kota Tinggi di Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 21 Nov. - Sebanyak 120 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dari tiga Parlimen iaitu parlimen Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggara menghadiri Seminar Keselamatan Kejiranan Peringkat Daerah Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Program sehari yang melibatkan Ketua Peronda SRS pelbagai kaum dan peringkat usia itu bertujuan memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan masyarakat dalam mencegah aktiviti jenayah seterusnya hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Johor, Rajali Mudin berkata, program itu juga memberi penekanan supaya setiap anggota memahami peranan dalam SRS kerana agenda keselamatan kejiranan adalah elemen penting selain menggerakkan kerjasama dan persefahaman pelbagai kaum.

"Anggota SRS berperanan dalam menjaga dan menjamin keselamatan bagi memastikan penurunan kadar jenayah di kawasan mereka termasuk membantu mencegah gejala sosial yang sekarang merupakan antara cabaran besar.

"Tidak ada kerja murni seperti mana yang dilakukan anggota SRS ini kerana peranan anggota SRS melalui rukun tetangga telah banyak memberi sumbangan kepada komuniti dan masyarakat setempat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar tersebut.

Yang turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Tinggi, Rahmat Maulud dan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Supritendan Nik Azaham Nik Aziz.

Seminar itu turut melibatkan penerangan oleh polis kepada anggota SRS mengenai prosedur standard serta perkara yang boleh atau tidak boleh diambil dalam menghadapi sesuatu kejadian.

Dalam perkembangan lain, Rajali memberitahu, JPNIN Johor menyasarkan penubuhan sebanyak 500 unit SRS di seluruh negeri ini menjelang hujung tahun ini dan setakat ini jumlahnya adalah 490 unit.

"Jumlah tersebut sekali gus bakal menjadikan Johor sebagai negeri terbanyak mempunyai SRS, bagaimanapun ini bukanlah menjadi satu kebanggaan kerana apa yang penting adalah kualiti yang ditunjukkan setiap SRS yang ditubuhkan.

"Kita mahu kuantiti yang besar ini diselaras dengan kualiti dan standard yang tinggi," katanya.

1,000 benih ikan, 75 anak pokok di Taman Negara Gunung Ledang

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

PARA peserta menunjukkan tanda bagus selepas menanam pokok sempena program menanam pokok dan melepaskan benih ikan anjuran PLUS di Taman Negara Gunung Ledang dekat Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 21 Nov. - Sebanyak 75 batang pokok ditanam dan 1,000 benih ikan dilepaskan di Taman Negara Gunung Ledang menerusi program sosial korporat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di taman negara berkenaan baru-baru ini.

Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Taman Negara Gunung Ledang sempena PLUS Community Day yang diadakan serentak di seluruh negara.

Ketua Jabatan Keselamatan Trafik PLUS, Ahmad Fuad Shahimi berkata, menerusi program selama dua hari itu, PLUS Seksyen Selatan memilih sendiri program konservasi penanaman pokok dan pelepasan ikan di taman negara berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 90 kakitangan syarikat bersama pihak Taman Negara Gunung Ledang menyertai program berkenaan dengan membawa sendiri pelbagai jenis pokok, ikan serta kelengkapan lain untuk melaksanakan program yang julung kali diadakan itu.

"Kita mengadakan program ini selama dua hari dan menanam 50 batang pokok di sekitar kawasan Kolam Gajah manakala 25 lagi kita tanam di Bukit Botak sebagai simbolik 25 tahun penubuhan PLUS," katanya ketika ditemui pemberita dalam program itu.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya bersama renjer taman negara juga melepaskan sebanyak 1,000 benih ikan lampam sungai di Kolam Mahligai bagi membiakkan spesies berkenaan yang hampir pupus di situ.

Katanya, program berkenaan amat sesuai dilakukan memandangkan kepentingan alam sekitar yang semakin dilupakan oleh masyarakat masa kini.

Sementara itu, Pengurus Taman Negara Johor Gunung Ledang, Ilyas Razak berharap, kerjasama sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang dalam memastikan alam sekitar serta kepelbagaian flora dan fauna di kawasan berkenaan dapat dipelihara.

Katanya, PLUS turut menyalurkan bantuan sejumlah RM12,000 yang digunakan untuk membeli 500 pokok pelbagai jenis, 1,000 benih ikan serta membina tapak semaian di situ.

"Kita berharap program seperti ini tidak terhenti begitu saja dan syarikat korporat lain dapat bersama-sama kita menjaga alam sekitar terutama di kawasan taman negara seperti ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved