Jumaat, 22 November 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Apa sebenarnya Pas mahu?

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

Zulkifli Noordin

Apakah pakatan bersama pembangkang DAP-PKR membawa Pas kepada keredaan Allah?

PAS mengadakan Muktamar Tahunan Ke-59, dengan pemilihan jawatan utama termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pusat semalam, Jumaat 18 Muharram 1435 bersamaan 22 November 2013.

Sekali lagi berlaku pertembungan antara kumpulan pro-agamawan dan pro-Anwarinas. Saya tidak berminat membuat spekulasi mengenai pemilihan semalam, kerana pada saya yang lebih penting ialah hala tuju, dasar dan landasan perjuangan Pas dalam senario politik masa kini sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Setiap ahli akar umbi Pas, khususnya para muktamirin perwakilan tiap kawasan yang hadir dan mengundi dalam pemilihan kali ini harus bertanya dan boleh menjawab soalan-soalan berikut.

Soalan utama yang perlu ditanya dan dijawab ialah; apa sebenarnya yang Pas mahu?

Adakah Pas menyertai politik kepartian dan terlibat dalam pilihan raya umum untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan syariat Islam dan mencari keredaan Allah? Atau;

Adakah Pas menyertai politik kepartian dan terlibat dalam pilihan raya umum dengan menggunakan Islam demi mendapat kuasa dan bermahkota di Putrajaya?

Dan untuk membantu menjawab soalan tersebut, saya bariskan di bawah beberapa fakta untuk direnung dan dimuhasabahkan oleh para muktamirin.

1. AKIDAH

RASULULLAH SAW diutus untuk memperbetulkan akidah manusia yang sudah terpesong. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, manusia sudah pun menjadikan Allah sebagai Tuhan. Tetapi ada yang syirik mendakwa Allah ada anak (seperti Yahudi dan Kristian), Allah ada sekutu (seperti Musyrikin), atau terus kufur kepada Allah dengan menyembah matahari (seperti Majusi). Maka diutus Nabi Muhammad SAW dengan ketegasan bahawa Allah itu Satu, Allah tidak bergantung dengan sesiapa, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tiada sekutu yang setara dengan Allah!

Jadi kalau Pas benar-benar mempunyai hala tuju, dasar dan perjuangan untuk melaksanakan Islam, mengapakah apabila Lim Guan Eng mendesak Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam bentuk syirik, Pas boleh bersetuju bersama dengan PKR dan DAP pada 08.01.2013 untuk Kristian mengguna pakai kalimah Allah walaupun tidak menepati syariat Islam?

Dan mengapa apabila Majlis Syura memutuskan menolak tuntutan Kristian itu, ia tidak dihormati malah terus dipertikaikan dikalangan ahli Pas pun.

2. UKHWAH

MENGAPA apabila umat Islam bersatu melalui NGO-NGO menentang cubaan Kristian menggunakan kalimah Allah, Pas mengambil sikap tidak mahu bersama? Malah umat Islam berjuang tanpa Pas apabila pihak Perwakilan Vatican menyokong Kristian menggunakan kalimah Allah. Langsung tidak kedengaran suara Pas, apatah lagi melihat kehadiran pimpinan Pas. Yang kedengaran suara-suara sumbang daripada Pas yang menyokong Kristian mengguna kalimah Allah walaupun bertentangan dengan ketetapan Majlis Syura; dan sehingga hari ini suara-suara sumbang ini tidak dikenakan sebarang tindakan langsung!

Malah apabila terbongkar kegiatan mendakyah dan cubaan memurtadkan umat Islam oleh Damansara Utama Methodist Church (DUMC), dan Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Hasan Ali mengambil tindakan termasuk mengadakan Himpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, bukan sahaja beliau tidak disokong dan dibantu, malah Pas akhirnya memecat beliau tanpa diberi hak membela diri.

Begitu juga nasib yang menimpa tokoh ulama muda dan bekas Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Beliau dipecat daripada Majlis Syura hanya kerana dituduh terlampau mesra UMNO. Malah apabila gambar beliau bersama Datuk Seri Najib Tun Razak semasa bersama ulama Masjidil Haram, mahupun bersama pimpinan Hamas di Gaza terpampang di dada media, beliau menerima cemuhan dan kutukan.

Pas sepatutnya berbangga dengan pemimpin mereka yang mampu membawa ukhwah dan kesatuan umat bukan sekadar peringkat negara, malah ke peringkat antarabangsa khususnya di dunia Islam. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Pas menganggap tindakan Ustaz Nasharudin memperkukuh ukhwah Islamiyah antara pemerintah Malaysia dengan pimpinan dunia Islam termasuk Palestin sebagai satu liabiliti politik, nauzubillah!

3. HUDUD

SEPANJANG saya bersama Pas selama lebih 12 tahun termasuk duduk di kepimpinan, isu hudud selalu menjadi modal politik untuk menyemarakkan semangat ahli dan menyemai benih kebencian kepada UMNO. Kompang hudud sentiasa dipalu terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) dan semasa pemilihan Pas Pusat.

Baru-baru ini Ketua Hakim Syarie Kelantan telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakan hudud. Bermakna dari segi kehakiman mereka sudah bersedia. Sepatutnya pengumuman itu disambut dengan takbir gemuruh memecah langit. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Pas sendiri menyatakan belum bersedia walaupun sudah diberi amanah memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun. Dan yang paling sedih, Pas menuding jari kepada UMNO seolah-olah UMNO menghalang dan melarang.

Di mana logiknya fitnah dan tohmahan tersebut. Jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal Islam termasuk perundangan syarie adalah di bawah bidang kuasa Sultan dan Kerajaan Negeri. Malah Dewan Undangan Negeri Kelantan sudah pun menggubal Enakmen Jenayah Syariah I & II termasuk hudud. Undang-undang itu telah diluluskan, dan Tuanku Sultan telah pun menandatanganinya. Bermakna Enakmen Jenayah Syariah Kelantan I & II sudah boleh dilaksanakan. Dan sekarang Ketua Hakim Syarie sudah menyatakan Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakannya.

Jadi tidak timbul soal UMNO menghalang atau melarang. Soal sama ada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan I & II itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak, langsung tidak timbul kecuali jika sesiapa yang dituduh di bawah enakmen tersebut nanti mencabarnya di Mahkamah Persekutuan. Kalau Orang Kena Tuduh tersebut tidak mencabarnya, malah reda dan menyerah kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah, tidak timbul langsung soal Perlembagaan. Sama macam undang-undang lain yang diluluskan di Parlimen atau DUN.

Jadi bila Pas mula berdolak-dalik menuding jari kepada orang lain, ia menimbulkan persoalan serius; adakah Pas benar-benar mahu melaksanakan hudud atau ia sekadar menjadi bahan air liur politiking sahaja?

4. NEGARA ISLAM

SEJAK dilahirkan semenjak tahun 1951 gendang Pas ialah mahu menubuhkan Negara Islam. Itulah retorik yang Pas kompangkan untuk membezakan Pas dengan UMNO. Tetapi sejak bersekongkol dengan DAP dan PKR, perjuangan tersebut telah diketepikan. Kemuncaknya dalam Muktamar Tahunan 2011, Presiden Pas sendiri menyebut dengan jelas Negara Islam itu tidak disebut di dalam al-Quran, tetapi Negara Berkebajikan ada!" Dengan hanya senafas ayat, perjuangan Negara Islam hilang ghaibul-ghuyub daripada kamus perjuangan Pas!

Jadi yang Nabi Muhammad SAW buat di Madinah itu apa? Bukan Daulah Islamiyah? Menyatakan Negara Islam tidak ada dalam al-Quran bermakna menafikan kewujudan Negara Islam Madinah!

Dan bertambah mengelirukan apabila Memorandum Persefahaman Pembangkang DAP-PKR-Pas dan Manifesto PRU-13 langsung tidak menyebut tentang penubuhan Negara Islam. Sebaliknya kepimpinan pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas berkali-kali menyebut bahawa penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan syariat hudud-qisas-takzir tidak termasuk dalam agenda persefahaman mahupun manifesto, dan tidak akan dilaksanakan jika ditakdirkan pembangkang DAP-PKR-Pas memenangi PRU!

5. DOMINAN

KEPIMPINAN Pas ada yang menyebut bahawa konon Pas adalah parti dominan dalam pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas. Persoalannya adakah itu benar? Lihat sahaja di Pulau Pinang. Kenyataan terbaru Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang mendesak Pas diberi tempat dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang, membuktikan bahawa Pas bukan sahaja tidak dominan, malah tidak dihormati langsung oleh rakan sekongkol.

Kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh bahawa Pas wajar dibatalkan pendaftaran kerana menjadikan Islam sebagai label nama kepartian sekadar membuktikan DAP langsung tidak menghormati dan menghargai sumbangan Pas!

Dan apabila Majlis Syura Pas, badan paling tinggi dan utama dalam Pas membuat ketetapan pada 13.01.2013 bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh Kristian kerana ini soal akidah, fatwa itu langsung tidak dihormati. Pimpinan pembangkang DAP-PKR-Pas memperlekehkan fatwa tersebut dengan kenyataan seperti Majlis Syura hanya sayap sahaja dalam Pas, bahawa ketetapan Majlis Syura bukan wahyu yang wajib diikuti, malah dengan lantang dan tegas kepimpinan pembangkang DAP-PKR-Pas menyatakan akan tetap mengikut resolusi dan persefahaman 08.01.2013 yang membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah walaupun tidak menepati kehendak Islam!

Jadi di mana yang kata Pas itu sebagai dominan? Sebaliknya DAP-PKR mengaut undi simpati orang Melayu yang terpedaya dengan kompang serban dan jubah yang sinonim dengan Pas!

6. AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

APABILA NGO-NGO propembangkang membawa satu agama baru dikenali sebagai HAM - Hak Asasi Manusia, termasuk di peringkat antarabangsa seperti dilakukan di UPR Geneva baru-baru ini, Pas langsung membisu tidak bersuara.

Tidakkah Pas menyedari perjuangan petualang hak asasi tanpa batas ini bercanggah sama sekali dengan syariat Islam?

Tuntutan supaya Artikel 18 Universal Declaration of Human Rights (UDHR) yang membenarkan murtad, tuntutan Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) yang menghalalkan seks luar tabii dan gejala LGBT serta kahwin sesama jenis jantan-jantan dan betina-betina, tuntutan supaya Seksyen 377A Kanun Kesiksaan berkaitan liwat dihapuskan, tuntutan supaya peruntukkan Enakmen Syariah berkaitan khalwat, zina, arak dimansuhkan, tuntutan kalimah Allah dibenarkan Kristian menggunakannya, dan pelbagai lagi tuntutan yang akan membawa tamadun kemanusiaan ke lembah yang lebih hina daripada haiwan sepatutnya membangkitkan semangat jihad dan perjuangan dalam kalangan ahli Pas!

Kalau subsidi petrol dikurangkan Pas sanggup berdemo tengah panas, kalau konsert K-POP Pas sampai sanggup protes, adakah wajar Pas membisu bila tuntutan luar tabii dan songsang yang bercanggah dengan syariat dibuat oleh NGO-NGO propembangkang? Adakah patut segelintir pimpinan Pas memberikan jawapan, kami hanya bersekutu dengan mereka dalam hal yang ada kepentingan Pas, tetapi dalam hal lain kami hanya membisu!

Di mana perjuangan amar makruf nahi mungkar yang sepatutnya menjadi teras perjuangan mana-mana haraki Islamiyah seperti yang Pas mengaku konon mereka termasuk di dalamnya?

RUMUSAN

SEMUA perkara yang saya sebut di atas akhirnya membawa kita kepada satu persoalan; iaitu ke mana hala tuju, dasar dan landasan perjuangan Pas sebenarnya?

Adakah Pas sudah terlalu taksub mengejar undi dan kerusi sehingga sanggup mengetepikan keseluruhan perjuangan menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hudud-qisas dan takzir? Adakah impian ke Putrajaya itu terlalu penting sehingga Pas sanggup mengetepikan Sunnah Rasulullah SAW, sehingga sanggup bersekongkol dengan kafir harbi yang terang-terang menentang Islam, sehingga Pas sanggup mendoakan kehancuran umat Islam lain semata-mata kerana berbeza siasah dan politik kepartian?

Inilah antara perkara yang perlu menjadi renungan dan muhasabah diri tiap ahli akar umbi dan muktamirin Pas yang bermuktamar hari ini.

Jadikanlah Islam itu matlamat, politik itu alat; bukannya kuasa politik itu sebagai matlamat, sedangkan Islam itu sekadar alat! Bantulah agama Allah dan Allah pasti akan membantu kamu insya-Allah.

Selamat bermuktamar.

Menjaga kerahsiaan maklumat dianggap kolot?

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

Rohimi Shafie

ADAKAH menjaga kerahsiaan maklumat adalah sesuatu yang kolot? Mungkinkah ketelusan itu lebih diutamakan berbanding menjaga kerahsiaan maklumat pada era moden berkiblatkan internet, laman-laman sosial dan blog? Soalan-soalan ini sengaja saya utarakan kerana sejak kebelakangan ini sudah menjadi satu trend dalam kalangan sebahagian rakyat Malaysia yang suka berkongsi apa sahaja maklumat dengan tidak mengambil kira sensitiviti ataupun kerahsiaan maklumat tersebut.

Sebagai contoh, ura-ura mengenai Kerajaan Negeri Johor untuk menukarkan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu pada tahun 2014, adakah wajar maklumat ini dibocorkan sedangkan belum ada lagi keputusan akhir? Perlukah ia dibocorkan kepada umum sedangkan ia adalah sulit? Maka, apabila ia dibocorkan sudah tentu ia akan diperdebatkan. Tidakkah ini akan mengundang polemik? Bukan semua perkara perlu dipolemikkan kerana ia boleh mencetuskan suasana yang kurang selesa dalam kalangan masyarakat walhal keputusan itu belum lagi diluluskan.

Begitu juga, apabila terdapat segelintir pihak yang membocorkan maklumat mahupun video ke laman-laman sosial berkaitan dengan kes jenayah pembunuhan, tidakkah pihak yang membocorkan video berkenaan memahami sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa? Adakah kerana terlalu teruja untuk berkongsi maklumat, kita abaikan perasaan orang lain? Setiap manusia ada maruah mereka. Usahlah terlalu beria-ria menjadi orang pertama yang berkongsi maklumat tanpa memikirkan kesannya ke atas orang lain. Menjaga maruah orang lain amatlah dituntut dalam agama Islam. Begitu juga, mengaibkan orang lain amat dilarang oleh agama Islam.

Berkongsi maklumat sulit juga akan mengganggu siasatan pihak berkuasa ke atas kes jenayah. Sebab itulah bukan semua perkara perlu dikongsi terutamanya melibatkan orang lain yang tiada kena mengena dengan maklumat berkenaan. Trend berkongsi maklumat menyebabkan banyak pihak sudah tidak kisah membicarakan hal-hal peribadi dan rumah tangga, baik diri sendiri mahupun orang lain. Tidak menghairankan, ia boleh mencetuskan pergaduhan dan peperangan di ruang siber hanya kerana berkongsi maklumat yang tidak sewajarnya dikongsi.

Sekecil-kecil rahsia juga boleh menyebabkan permusuhan berpanjangan jika ia tidak dijaga dengan baik. Lebih teruk lagi, jika sekiranya apa yang dikongsi itu satu fitnah, maka kesannya bukan kepalang.

Perkongsian maklumat peribadi di laman-laman sosial juga boleh memberi ruang kepada penjenayah membaham mangsanya. Maka, tidak menghairankan terdapat pihak yang ditipu oleh penjenayah-penjenayah siber.

Dalam keadaan lain, saya yakin ada kalangan kita dihubungi oleh pihak-pihak tertentu untuk menjual produk mereka sedangkan kita tidak pernah berhubung dengan pihak berkenaan. Siapakah yang membocorkan maklumat peribadi seseorang itu kepada pihak berkenaan? Tidakkah maklumat itu patut dijaga dengan baik oleh pihak yang diamanahkan kerana ia dikategorikan sebagai peribadi?

Dari sudut perniagaan misalnya, adakah maklumat sulit syarikat wajar dikongsi kepada pihak lain? Sebagai contoh, keputusan-keputusan penting dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah. Sudah tentu, bagi yang berniat jahat, keputusan-keputusan penting tersebut akan dimanipulasikan untuk kepentingan diri sendiri. Antara pihak yang boleh mengakses maklumat sulit syarikat ialah juruaudit luar. Apakah akan terjadi kepada syarikat jika maklumat sulit ini dibocorkan oleh juruaudit luar kepada pesaing syarikat? Sebab itulah juruaudit luar tidak boleh sesekali membocorkan rahsia sulit syarikat kecuali dikehendaki oleh pihak mahkamah.

Bagi seorang pegawai tertinggi kerajaan sekalipun, apa sahaja keputusan yang dibincangkan dalam mesyuarat tidak boleh sewenang-wenang dibocorkan hatta kepada keluarganya sendiri. Pokok pangkalnya pegawai berkenaan bertanggungjawab menjaga kerahsiaan kecualilah maklumat berkenaan diklasifikasikan sebagai umum.

Apabila diklasifikasikan sebagai umum dan selalunya merujuk kepada kepentingan awam barulah istilah ketelusan itu membawa erti kepada masyarakat. Masyarakat menuntut agar ketelusan itu boleh memberi kesan baik kepada mereka. Bukannya ketelusan itu membawa padah kepada mereka.

Sebagai contoh, sekali lagi dari sudut perniagaan, pelabur-pelabur memerlukan maklumat yang tepat dan dipercayai bagi membuat keputusan pelaburan. Justeru, syarikat perlu mendedahkan maklumat yang berguna untuk pelabur dan maklumat itu boleh dikongsi dan tidak pula diklasifikasikan sebagai sulit.

Perkongsian maklumat pelaburan secara telus akan menjadikan pasaran pelaburan kita lebih cekap kerana semua pelabur memperoleh maklumat berkenaan. Pasaran pelaburan menjadi tidak cekap apabila hanya segelintir sahaja pihak memperoleh maklumat penting yang membolehkan pelabur ini mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Umpamanya, apabila terdapat segelintir pelabur mengetahui bahawa sebuah kawasan baru akan dimajukan secara besar-besaran, maka pelabur berkenaan akan mengambil peluang mengaut keuntungan dengan membeli hartanah di kawasan tersebut sebelum menjual kembali apabila harga hartanah tersebut meningkat dengan begitu tinggi sekali.

Inilah yang dikatakan sebagai golongan yang menguasai maklumat demi kepentingan diri sendiri dan akhirnya yang sengsara adalah rakyat bawahan. Sebab itulah dalam aspek ini, ketelusan itu amat dituntut bagi menutup ruang pihak-pihak yang tamak haloba demi kesejahteraan rakyat.

Jadi, bukan semuanya perkara perlu dirahsiakan dan sebaliknya bukan semua perkara perlu dikongsi untuk tatapan semua orang. Ketelusan melawan kerahsiaan, kedua-duanya perlu ada hadnya berpaksikan tanggungjawab dan amanah untuk menjaga atau menguar-uarkan sesuatu maklumat kepada orang awam.

Dalam konteks sekarang, meskipun ketelusan menjadi tuntutan dunia moden, namun demikian, tidaklah bermaksud bahawa menjaga kerahsiaan maklumat adalah sesuatu yang kolot. Ia perlu diseimbangkan demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved