Jumaat, 22 November 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pengetua sekolah ke tali gantung, isteri dipenjara

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

Kazem Hamidpoor Abolghasem (dua dari kanan) dan Soraiya Mosafer Mardali (belakang) dikawal oleh anggota polis selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 22 Nov. - Seorang pengetua sekolah warga Iran yang datang ke negara ini untuk berbulan madu dengan isterinya, menerima nasib malang hari ini apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengedar syabu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Asnawi memutuskan demikian terhadap Kazem Hamidpoor Abolghasem, 33, selepas tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Selain keterangan lelaki itu tidak boleh dipercayai, menurut hakim tersebut, tertuduh gagal membuktikan dia tidak mempunyai hak pemilikan terhadap dadah di dalam bagasi yang dibawanya.

Kazem didakwa mengedar 440.2 gram syabu di Tuntutan Bagasi D, Balai Ketibaan Aras 3, Bangunan Terminal Utama (MTB) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 4 petang, 6 Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, isteri tertuduh, Soraiya Mosafer Mardali, 32, dihukum penjara 14 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan pindaan memiliki 890 gram syabu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu dipinda oleh mahkamah selepas berpuas hati dengan pembelaan Soraiya yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap elemen pengedaran tetapi gagal menimbulkan keraguan dalam elemen pemilikan.

Hakim Ahmadi menyifatkan wanita itu seorang yang bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman gantung dan tidak dikenakan sebatan kerana seorang wanita.

"Jika undang-undang membenarkan, saya tidak teragak-agak memberi kamu hukuman sebatan 50 kali," kata beliau.

Soraiya didapati bersalah mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup serta sebatan sekurang-kurangnya 10 kali.

Terdahulu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Soraiya memohon hukuman ringan terhadap wanita itu memandangkan tertuduh masih muda dan ingin memulakan kehidupan baharu.

Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin sebaliknya memohon hukuman berat dikenakan terhadap suami isteri tersebut kerana pengedaran dadah oleh warga asing telah memberi akibat buruk kepada masyarakat dan imej negara ini.

Pemandu teksi Iran edar syabu digantung

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

Mikaeil Safari Ali bertindak memarahi jurugambar yang merakam gambarnya selepas dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

SHAH ALAM 22 Nov. - Seorang pemandu teksi warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 752.8 gram, tiga tahun lalu.

Mikaeil Safari Ali, 32, yang mendengar keputusan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi itu, dilihat tergamam dan terduduk di kandang tertuduh.

Terdahulu, Hakim Ahmadi dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah berpuas hati tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap kandungan beg (berisi dadah) tersebut," kata beliau.

Lelaki itu didakwa mengedar dadah tersebut di Laluan Keluar Kastam, Aras 3, Bangunan Terminal Utama (MTB), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 3.30 petang, 15 November 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Norazihan Adnan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil lapan saksi dan di peringkat pembelaan, hanya tertuduh tampil memberi keterangan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved