Sabtu, 16 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Teksi sapu jejas pendapatan

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Oleh MOHAMAD HANIPAH TEH
utusanperak@utusan.com.my

Hentian teksi yang jaraknya hanya 10 meter dari hentian bas di Gerik ini kehilhatan 'sunyi' tanpa kehadiran penumpang yang 'dicuri' oleh kereta sapu yang beroperasi secara haram di kawasan berkenaan.

GERIK 15 Nov. - Pemilik kereta sewa berdaftar di daerah ini mendakwa pendapatan mereka terjejas teruk akibat aktiviti kereta sewa tidak berdaftar atau teksi sapu yang semakin berleluasa.

Pemandu mendakwa pendapatan mereka pernah hanya RM6 sehari kerana tiada penumpang yang mahu menggunakan khidmat mereka akibat saingan daripada teksi sapu.

Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa bandar Gerik, Hairudin Janapan, 52, berkata, masalah itu berlarutan kerana terlalu banyak teksi sapu yang 'mencuri penumpang' sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Menurutnya, mereka kesal kerana aktiviti teksi sapu tidak dipantau dan dibanteras oleh pihak berkuasa.

"Teksi sapu ini bebas mengambil penumpang di mana-mana sahaja termasuk di stesen bas di sini. Lebih menghairankan ada teksi sapu dari selatan Thailand yang berani masuk ke stesen bas di sini dan mengambil penumpang untuk ke sempadan Thailand di Pengkalan Hulu.

"Kegiatan mereka semakin berleluasa sehingga menjejaskan pendapatan pemandu kereta sewa berdaftar," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang pemandu, Soaid Hamid, 53, dari Kampung Pahat di sini berkata, dia tidak mempunyai sumber pendapatan lain, selain daripada membawa kereta sewa bagi menampung perbelanjaan harian yang semakin tinggi terutama persekolahan anak-anak.

"Namun, sejak kebelakangan ini, pendapatan saya semakin merosot kerana kekurangan penumpang yang lebih gemar memilih teksi sapu dengan alasan tambangnya lebih murah," katanya.

Sementara itu, Ishak Sirun, 67, dari Kampung Baru Lawin dekat sini kecewa kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak bertindak terhadap sikap pemilik motosikal dan kereta persendirian yang meletakan kenderaan di tapak yang dikhaskan untuk kereta sewa berdaftar di stesen bas di sini.

Sebaliknya, dia mendakwa pemandu kereta sewa berdaftar tidak dibenarkan meletakkan kenderaan mereka di kawasan berkenaan.

"Masalah ini pernah diajukan kepada pihak yang berkenaan tetapi tindakan mereka ibarat melepaskan batuk di tangga sahaja," katanya.

Tinggal di flat Simpang Kuala digenangi air najis

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Halipah Abdul Ghani (kiri) dan Suhara Shukur Ahmad Saad terpaksa tinggal di dalam rumah yang digenangi air kumbahan akibat paip kumbahan tersumbat di Rumah Pangsa Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 15 Nov. - Seorang ibu dan anaknya yang menghidap penyakit mental terpaksa tinggal dalam keadaan tidak terurus dan menyayat hati terutama selepas paip kumbahan rumah mereka di Rumah Pangsa Simpang Kuala di sini tersumbat sejak dua minggu lalu.

Air daripada kotoran kumbahan melimpah sehingga ke ruang tamu rumah yang diduduki oleh Halipah Abd. Ghani, 57, dan Shuhara Shukur Ahmad Saad, 36, sehingga menyebabkan bau busuk, namun di situ juga mereka memasak, makan dan tidur kerana tiada lagi tempat tinggal untuk dua beranak itu.

Bekalan air di rumah mereka telah dipotong kerana bayaran bil lebih RM200 tidak dijelaskan dan jika mereka mahu menggunakan air, dua beranak ini akan mengambil air di surau rumah pangsa tersebut dan untuk mengisi perut pula, mereka hanya mengharapkan ihsan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Pangsa Simpang Kuala, Zakeri Hassan berkata, jiran-jiran turut bersimpati dengan nasib dua beranak itu dan berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu Halipah dan Shuhara Shukur dengan membawa mereka berdua tinggal di tempat yang lebih baik.

Zakeri berkata, dua beranak itu telah tinggal di rumah pangsa itu sejak 20 tahun lalu dan keadaan mereka bertambah teruk selepas kematian suami Halipah, Ahmad Saad Mat kira-kira lapan tahun lalu.

"Anak Halipah, Shuhara Shukur ini akan menjadi agresif apabila penyakitnya datang, dia akan menghempaskan semua barang-barang, berlari keluar dalam keadaan berbogel sehingga menyebabkan semua jiran takut untuk keluar dari rumah.

"Dia hanya akan pulih apabila menerima suntikan dan ubat daripada jururawat yang akan dipanggil oleh jiran-jiran apabila penyakitnya datang," katanya ketika ditemui di Rumah Pangsa Simpang Kuala di sini hari ini.

Menurutnya, paip kumbahan rumah anak-beranak ini selalu tersumbat dan kali ini lebih dua minggu air kumbahan meleleh keluar.

"Saya sendiri telah telefon banyak pihak untuk membantu keluarga ini, namun malangnya masih tiada maklum balas diterima, kami sangat berharap mereka ini dapat tinggal di tempat yang lebih baik," jelasnya.

Kata Zakeri, mereka mendapat wang bantuan bernilai RM300 sebulan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), namun disebabkan penyakit, Shuhara Shukur tidak dapat hidup dengan normal seperti orang lain.

Seorang jiran dua beranak itu, Norlaila Said, 45, berkata, sekarang ini penyakit Shuhara Shukur kerap menyerang dan dalam seminggu lebih, tiga kali dia akan berkelakuan tidak normal.

"Saya memang takut jika penyakitnya datang kerana dia akan bertindak agresif dan pernah dia memecahkan pasu bunga saya. Bila dia sakit saya akan kunci pintu rumah saya.

"Saya harap mereka dua beranak akan ditempatkan di tempat yang lebih sesuai untuk mereka, saya sendiri kasihankan dan berharap pihak yang bertanggungjawab akan membantu mereka dengan segera," jelasnya.

Dalam pada itu, Suhara Shukur ketika ditemui berkata, dia baru sahaja mendapatkan suntikan untuk penyakitnya itu daripada jururawat hospital kelmarin.

"Saya dah lama sakit dan mak pun sakit juga, ayah pula dah meninggal dunia," katanya.

Ibu tunggal bakal duduki rumah baru

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Aznel Ibrahim ( tengah ) dan Ismail Saffian menyatakan sesuatu berhubung pembinaan rumah baru kepada M. Sandra (kiri) ketika meninjau keadaan rumah usang yang diduduki wanita tersebut sejak sekian lama di Pengkalan Hulu, Perak, semalam.

PENGKALAN HULU 15 Nov. - Setelah hampir 30 tahun tinggal dalam serba kekurangan dan kedaifan nasib seorang wanita akhirnya terbela apabila bakal menerima sebuah rumah baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, isu mengenai halangan membina sebuah rumah akan selesai tidak lama lagi apabila Pejabat Daerah Pengkalan Hulu meluluskan pembinaan baharu menggantikan sebuah rumah daif di Jalan Betong.

"Permohonan untuk membina sebuah rumah telah dilakukan sejak sekian lama tetapi masalah tanah yang menjadi rizab jalan menyebabkannya memakan masa yang lama untuk diproses bagi mendapatkan taraf TOL untuk melayakkan pemohon membina rumah di tanah tersebut.

"Saya mengharapkan Pegawai Daerah memberi kelonggaran untuk membina sebuah rumah di tanah tersebut bagi membantu kehidupan keluarga ini," katanya ketika meninjau keadaan rumah tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Bina Upaya (YBU), Datuk Ismail Saffian yang turut hadir berkata, YBU turut memberi sumbangan bagi menyiapkan rumah satu bilik itu.

"YBU adalah sebuah yayasan yang ditubuhkan sejak 2009 bertujuan membantu rakyat miskin dan daif untuk membina kehidupan lebih sempurna dan selesa, sehingga kini sudah empat buah rumah baru telah dibina.

"Selain itu, YBU juga menyediakan dana untuk pinjaman perniagaan bagi golongan peniaga kecil yang memerlukan pinjaman dana tanpa faedah bagi menjalankan perniagaan mereka," katanya.

Bakal penghuni rumah baharu tersebut, M. Sandra, 50, berkata, dia amat terharu dengan keprihatinan wakil rakyat membela nasib rakyat yang miskin dan daif sepertinya.

"Saya amat terharu apabila wakil rakyat sendiri turun padang meninjau keadaan saya yang serba kekurangan ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN dan YBU," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved