Sabtu, 16 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


552 premis judi internet diserbu

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
Nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 16 Nov. - Polis telah melakukan sebanyak 552 serbuan ke atas premis yang menjalankan aktiviti perjudian internet di daerah ini dengan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM5.2 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 14 November lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, daripada serbuan itu, sebanyak 5,115 set komputer telah dirampas.

"Kita juga berjaya menahan seramai 1,896 orang manakala wang tunai yang dirampas sebanyak RM116,871," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam.

Menurut beliau, selain itu, sebanyak 32 premis juga telah dipotong elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana menjalankan aktiviti perjudian internet.

"Kita telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memotong talian internet di 15 premis," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 67 kes juga telah dituduh di mahkamah dengan 29 kes masih dalam perbicaraan.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik premis yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini dan kita akan ambil tindakan sewajarnya.

"Selain itu, orang ramai juga diingatkan jangan sesekali datang ke premis judi kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Manfaat skim bantuan perniagaan dalam talian

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

Shahaniza Shamsuddin (bertudung putih) dan Nor Azhar Hasan (depan, dua kanan) bergambar bersama petugas Pusat Internet 1Malaysia selepas perasmian pusat itu di Felda Jengka 2 di Maran, semalam.

MARAN 16 Nov. - Usahawan wanita di negeri ini diseru memanfaatkan geran skim Bantuan Perniagaan Dalam Talian yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengarah SKMM Wilayah Timur, Nor Azhar Hasan berkata, geran tersebut antara lain bagi membantu usahawan kecil membina laman web dalam mempromosi produk secara dalam talian.

Menurutnya, mereka yang berhasrat mengembangkan perniagaan memerlukan mekanisme lebih interaktif untuk mempromosi produk barangan ke pasaran lebih luas yang boleh dilakukan melalui kaedah tersebut.

''Geran ini untuk membantu peniaga membina laman web khususnya peniaga kecil mengeksploitasi internet bagi membolehkan hasil keluaran mereka dipasarkan terus kepada pengguna.

''Lebih menarik dana ini tidak terhad untuk perbelanjaan internet semata-mata tetapi boleh digunakan untuk menambah modal tetap perniagaan seperti komputer dan latihan kemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Felda Jengka 2 yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Oleh itu, ujarnya, usahawan kecil perlu merebut geran RM1,000 yang disediakan di bawah Skim Bantuan Perniagaan Dalam Talian bagi memajukan perniagaan mereka menerusi penggunaan internet.

Beliau berkata, penggunaan internet secara efektif dapat membantu usahawan kecil meluaskan rangkaian perniagaan sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

''Kaedah konvensional dalam memasarkan sesuatu produk menyebabkan pasaran menjadi terhad berbanding secara dalam talian," katanya.

Sedangkan melalui internet katanya, para pengguna dapat mengakses maklumat dengan mudah dan boleh membeli barangan yang diperlukan secara dalam talian.

Kenaikan elaun Setiausaha JKKK bukti kerajaan prihatin

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

MARAN 16 Nov. - Langkah kerajaan menaikkan elaun Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kepada RM300 sebulan berkuat kuasa awal tahun depan membuktikan keprihatinan kerajaan kepada golongan tersebut.

Setiausaha JKKK Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim, 55, berkata, tambahan RM100 itu walaupun bukan jumlah yang besar namun cukup bermakna dalam menyuntik semangat mereka untuk bekerja lebih kuat.

"Inisiatif kerajaan ini juga membuktikan JKKK adalah organisasi penting dalam sistem pentadbiran yang dapat membantu kerajaan menyampaikan apa sahaja maklumat kepada masyarakat," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pembentangan Bajet 2014 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan lebih 15,000 setiausaha JKKK di seluruh negara akan menerima kenaikan elaun sebanyak RM100 kepada RM300 sebulan.

Kenaikan tersebut melibatkan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM18.63 juta setahun.

Setiausaha JKKK Kampung Anggerik Jengka 1, Abdullah Ani, 57, pula menyifatkan kenaikan elaun kepada RM300 sebulan sangat wajar kerana tanggungjawab yang dipikul adalah berat termasuk membuat laporan berkala kepada kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Daerah.

"Di samping itu, tugas lain yang merangkumi pengurusan bilik mesyuarat, carta organisasi, perhubungan luar dan sebagainya juga bukan sesuatu yang mudah," katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Felda Jengka 1.

Sementara itu, Ketua Felda Kampung Awah, Asri Mat Dahan, 62, memuji keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap peranan penting setiausaha dalam menggerakkan organisasi di peringkat akar umbi.

"Setiausaha JKKK sangat penting kerana berperanan sebagai penggerak bersama pengerusi dalam memastikan organisasi berfungsi selari dengan objektif penubuhan," katanya.

Pengerusi JKKK Felda Bukit Tajau, Norazhar Abdul Latif, 54, pula berpendapat, kenaikan elaun setiausaha itu akan memberi semangat baharu bagi mengukuhkan organisasi demi kemajuan kampung dan penduduk.

Ujarnya, JKKK merupakan organisasi penting yang mencermin kekuatan kerajaan dalam menghadapi tohmahan pihak tertentu.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Kuala Sentol, Mohd. Asri Mat Piah, 52, dengan kenaikan elaun sebanyak RM300 kepada setiausaha dan RM800 kepada pengerusi membuktikan JKKK organisasi penting sebagai ejen memakmurkan masyarakat dan negara.

"Jika JKKK kuat dan aktif, ini memberi mesej yang sangat bermakna kepada kerajaan untuk terus mendapat sokongan rakyat khususnya di luar bandar.

"Walaupun jawatan Setiausaha JKKK merupakan tugasan sukarela yang dilantik kerajaan negeri tetapi fungsinya sangat penting dan mencabar membantu kerajaan memakmurkan negara," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved