Sabtu, 16 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Nelayan pantai mohon pampasan

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Piah Hashim

JASIN 15 Nov. - Sebanyak 57 nelayan di Pantai Siring, Kampung Pulai dekat sini meminta kerajaan negeri mempertimbangkan bayaran sagu hati sebanyak RM5,000 seorang ekoran pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik ke Pulau Besar tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Pantai Siring, Mohd. Piah Hashim berkata, bayaran sagu hati sebanyak RM5,000 dianggap tidak setimpal kerana pendapatan nelayan dijangka terjejas teruk sepanjang tempoh dua tahun apabila projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM30 juta mula dilaksanakan.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, nelayan akan menghadapi kesukaran untuk menangkap ikan kerana gangguan daripada projek membina menara kabel elektrik merentasi laut dari Pantai Siring ke Pulau Besar.

''Pada perbincangan sebelum ini, semua pihak termasuk TNB telah bersetuju pembayaran sagu hati RM5,000 tetapi sebaliknya hari ini (semalam) pembayaran sagu hati yang ingin diberikan hanyalah RM1,400.

''Sebahagian besar nelayan tidak bersetuju dengan bayaran sagu hati yang dicadangkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kerana tidak berbaloi ekoran daripada kesan projek itu yang menjejaskan pendapatan nelayan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran dan Kenduri Projek Bekalan Elektrik ke Pulau Besar di Jeti Nelayan Pantai Siring, Kampung Pulai dekat sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Zaidi Atan dan Pengurus Besar TNB Melaka, Baderul Sham Saad.

Menurut beliau, mereka adalah nelayan pantai yang menggunakan bot kecil dan pembinaan menara kabel elektrik itu menyebabkan sumber ikan tidak ada di kawasan yang sering kita menangkap ikan.

''Jumlah keseluruhan bayaran sagu hati ialah RM285,000 jika hendak dibandingkan dengan projek yang bernilai RM30 juta," katanya.

Beliau menambah, nelayan di Pantai Siring tidak pernah membantah sebarang bentuk pembangunan termasuk pembinaan projek bekalan elektrik merentasi laut ke Pulau Besar.

''Apa yang kami minta ialah biarlah bayaran sagu hati itu setimpal dengan kedudukan punca rezeki kami menangkap ikan di perairan yang terlibat dengan projek TNB ini kerana bakal terjejas sepanjang dua tahun nanti," katanya.

Sementara itu Baderul Sham berkata, pihak TNB menunggu sebarang keputusan daripada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu tuntutan sagu hati daripada nelayan di Pantai Siring.

''Projek ini sepatutnya sudah boleh dimulakan tetapi apabila masalah bayaran sagu hati tidak diselesaikan, maka terpaksa ditangguhkan sementara waktu sehingga semua dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

SDSI 2013 sasar kontrak jualan RM12 juta

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

HASAN Rahman (tiga dari kiri) melekatkan tanda pelekat di cermin hadapan teksi sambil diperhatikan oleh Bahria Mohd. Tamil (dua dari kiri) sebagai tanda prapelancaran pengiklanan SDSI di badan bas dan teksi di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 15 Nov. - Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang menghimpunkan lebih 500 usahawan dari 13 buah negeri menyasarkan kontrak jualan bernilai RM12 juta bagi penganjuran kali kelapan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 19 November hingga 1 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, pameran SDSI tahun lalu telah menghasilkan jualan kontrak sebanyak RM11.3 juta dan dijangka meningkat pada pameran kali ini.

Menurutnya, penganjur turut menyasarkan jualan sebanyak RM5.5 juta pada tahun lalu dan dijangka mencecah RM6 juta dalam showcase yang bakal berlangsung selama tiga hari itu.

''Peningkatan kontrak jualan dan jualan tunai dijangka meningkat dalam showcase kali ini berikutan pertambahan pempamer dari 584 usahawan tahun lalu meningkat kepada 590 usahawan dari 13 buah negeri yang akan mengambil bahagian.

''Penganjur turut meramalkan kehadiran pengunjung daripada 120,000 tahun lalu dijangka mencecah 200,000 pengunjung pada SDSI terbesar yang menghimpunkan ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Roadshow Showcase SDSI peringkat negeri di Seri Negeri di sini semalam.

Pada majlis tersebut, bas Panorama dan Persatuan Teksi Negeri Melaka akan menjadi duta mempromosikan Showcase SDSI ke setiap daerah di negeri ini.

Yang turut hadir, Pengarah Sekyen Pembangunan Perniagaan Bumiputera, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bahria Mohd. Tamil.

Showcase SDSI itu adalah anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Hasan berkata, showcase yang dianjurkan itu bertujuan membantu usahawan PKS memasarkan produk dan perkhidmatan SDSI yang berkualiti di peringkat domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, selain itu, pameran tersebut dapat memberi pendedahan umum kepada orang ramai bahawa keluaran SDSI adalah berpotensi dan berkualiti.

''Lebih penting, usahawan PKS dapat mewujud dan memperluaskan rantaian perniagaan antara usahawan, pembeli, pengedar, ejen pemasaran, stokis, pengimport, pasar raya besar dari dalam dan luar negara," katanya.

Justeru katanya, pengisian utama SDSI ialah pameran produk dan perkhidmatan, seminar keusahawanan, pemadanan perniagaan, klinik usahawan dan menu Malaysia.

Beliau menambah, antara yang menjadi tumpuan dalam showcase kali ini ialah jem strawberi dari Pahang, jus mangga (Kedah), kraf tangan (Sarawak), minuman herba (Melaka) dan sebagainya.

Kekurangan keluarga jadi pendorong kejayaan

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

NOR Syakirah Abd. Rahman menunjukkan keputusan 5A UPSR kepada ibunya,Noryahati Ahmad di Bukit Baru, Melaka, kelmarin.

MELAKA 15 Nov. - Hidup dalam keluarga yang serba kekurangan bukanlah menjadi halangan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Palembang, Syakirah Abd. Rahman, 12, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Sebaliknya, anak bongsu dari enam beradik itu menjadikan faktor tersebut sebagai pendorong serta pemangkin semangat untuk berjaya dalam pelajaran demi mengubah nasib keluarganya.

Bapanya, Abd. Rahman Abd. Ghani, 52, seorang pesara tentera manakala ibunya, Noryahati Ahmad, 50, hanyalah seorang suri rumah serta tidak mampu memberikannya kemewahan kepada anaknya seperti orang lain.

Namun, perkara itu langsung tidak mematahkan semangat Syakirah malah kerana sudah terbiasa dengan disiplin tinggi serta ketegasan bapanya mendidik menjadikan dia mampu meraih kecemerlangan yang membanggakan diri serta keluarganya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan, Syakirah memberitahu, dia hanya belajar seperti biasa semasa di sekolah tetapi banyak membuat ulang kaji serta latihan semasa di rumah.

"Saya jarang keluar bermain dengan kawan-kawan jika ada waktu lapang dan tidak mengikuti kelas tambahan di luar waktu sekolah.

"Saya hanya belajar sendirian dengan bantuan ayah di rumah dan boleh menghabiskan masa sehingga lebih lima jam untuk membaca, membuat ulang kaji serta latihan semasa di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Ikan, Bukit Baru di sini.

Katanya, selain sering belajar semasa di rumah, dia juga kerap bertemu guru-gurunya jika tidak memahami sesuatu tajuk yang diajar.

"Guru-guru juga amat mengambil berat dan sedia membantu saya walaupun di luar waktu kelas untuk memastikan saya dapat memahami segala yang dipelajari,' ujarnya.

"Kejayaan ini amat bermakna kepada saya dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang demi mencapai cita-cita menjadi saintis.

"Selain itu, saya juga bercita-cita menyambung pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), namun terpaksa melupakannya kerana keluarga tidak mampu," tambahnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved