Selasa, 19 November 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Nyawa-nyawa ikan

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KEKECEWAAN jelas terpancar di wajah pemain negara, Safee Sali selepas kalah 0-1 kepada Qatar dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

SHAH ALAM - Peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia ibarat nyawa-nyawa ikan selepas tewas kepada Qatar 0-1 dalam aksi kelayakan di Stadium Shah Alam, semalam.

Sebaliknya, Qatar dan Bahrain mengesahkan dua tempat teratas Kumpulan D untuk layak ke pusingan akhir.

Secara matematik, Malaysia masih miliki peluang tipis jika berjaya mengalahkan Yemen dalam saingan terakhir di tempat lawan, 5 Mac tahun depan, namun pada masa yang sama terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan lain untuk menamatkan cabaran selaku pasukan ketiga terbaik.

Dalam pada itu, janji ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mahu memberi kelainan ketika menentang Qatar tidak menjadi.

Jaringan tunggal pemain gantian Qatar, Al-Ali pada minit ke-64 memberi tamparan hebat buat pasukan Harimau Malaya yang dilihat semakin terdesak untuk mencari slot ke Piala Asia 2015.

Pada 20 minit separuh masa pertama berlangsung, jelas sekali Malaysia seperti kehilangan arah. Dua hantaran lintang S. Kunanlan langsung tidak menepati sasaran, manakala Safiq Rahim pula seolah gagal berfungsi sebagai perancang.

Jika menyentuh tentang percubaan berbahaya pula, tidak banyak cubaan menguji penjaga gol Qatar, Saad Al Sheeb, sedangkan pasukan lawan dilihat lebih mengancam dengan kehebatan penyerang naturalisasi, Sebastian Soria.

Safee Sali yang diturunkan dalam kesebelasan utama juga gagal membuktikan kepada pengkritik bahawa dia mampu membantu Malaysia mencatat kemenangan, sementara Norshahrul Idlan Talaha juga tenggelam punca.

Pujian mungkin boleh diberikan sedikit kepada pertahanan negara yang diketuai oleh Aidil Zafuan Abd. Radzak kerana masih mengekalkan corak berdisiplin seperti mana yang dipamerkan ketika tewas kepada Bahrain 0-1, Jumaat lalu.

Bagaimanapun mereka tetap dibolosi lawan pada minit ke-64 apabila Al-Ali berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat selepas menerima hantaran Soria.

Kekalahan ini bermakna Malaysia terpaksa melupakan slot untuk mara antara dua pasukan terbaik Kumpulan D dan perlu bergantung harap menjadi pasukan ketiga terbaik dalam kempen kelayakan ini.

Tetap positif peluang Malaysia

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

SHAH ALAM - Walaupun kekalahan 0-1 kepada Qatar seakan hampir menutup peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015, namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal enggan mengibarkan bendera putih, sebaliknya percaya, peluang anak-anak buahnya untuk beraksi di Australia masih ada.

Kalau dihitung secara realistik, kekalahan pada perlawanan kedua terakhir Kumpulan D di Stadium Shah Alam itu hampir melenyapkan harapan Malaysia untuk memburu tiket ke Australia, tetapi Rajagobal menegaskan, selagi peluang masih ada, selagi itu pasukannya akan terus berjuang.

Rajagobal bagaimanapun mengakui, selain perlu menang dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Yemen di tempat lawan pada 5 Mac, 2014, Malaysia juga perlu mengharap ihsan daripada pesaingnya dalam kumpulan lain.

Kami perlu positif dengan setiap yang berlaku. Selagi belum berakhir saingan peringkat kumpulan, saya percaya peluang untuk ke Piala Asia tetap ada.

Memang saya akui kekalahan ini amat menyakitkan, namun kami tetap menerimanya kerana bagi saya pasukan telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini," kata Rajagobal.

Rajagobal turut mengakui, Harimau Malaya mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua, namun tidak dapat dimanfaatkan dengan baik.

Mereka (Qatar) bermain dengan baik dan perlu diingat bahawa mereka tidak meraih kemenangan ini dengan mudah.

Perlawanan ini amat sengit, malah kami turut berjaya menafikan beberapa percubaan untuk mendapatkan jaringan daripada pihak lawan dengan baik," kata Rajagobal.

Biarpun Malaysia mengalahkan Yemen 2-1 dalam aksi pertama, namun perlawanan seterusnya tidak mudah kerana ia berlangsung di tempat lawan.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak meraih tempat ke Piala Asia 2015 dan satu slot ditawarkan buat pasukan ketiga terbaik daripada lima kumpulan yang ada.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved