Selasa, 19 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


JCorp manfaat untuk semua

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

NUSAJAYA 18 Nov. - Kerajaan negeri menafikan dakwaan bahawa Johor Corporation (JCorp) hanya memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja.

Sebaliknya, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, perbadanan itu banyak membawa perubahan kepada sosio-ekonomi rakyat di negeri itu.

Beliau juga menyangkal persepsi yang menyatakan kerajaan negeri sentiasa memayungi serta memberi keistimewaan kepada JCorp dan menyifatkannya sebagai tidak tepat.

Beliau berkata, kewujudan JCorp terbukti apabila organisasi tersebut berjaya menyediakan lebih 70,000 peluang pekerjaan dan lebih 10,000 daripada jumlah itu bekerja di Johor.

"Melalui aktiviti pembangunan kawasan perindustrian yang diterajui sejak 1972, JCorp sudah membuka lebih 30 kawasan perindustrian yang sehingga kini mewujudkan lebih 150,000 peluang pekerjaan dan menjana lebih RM60 bilion jumlah pelaburan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, di dalam sektor perumahan pula, JCorp berjaya membangunkan lebih 26,000 unit kediaman untuk rakyat negeri ini dengan 40 peratus terdiri daripada rumah kos rendah dan sederhana.

Beliau berkata, dari segi komersial pula, JCorp terbabit dengan projek pembangunan semula bandar raya Johor Bahru dengan menaik taraf dua bangunan milik mereka iaitu Galleria@Kotaraya dan Komtar JBCC.

"Apabila projek ini siap sepenuhnya kelak, sejumlah 4,600 peluang pekerjaan bakal diwujudkan selain ribuan peluang perniagaan akan terus diwujudkan melalui rantaian nilai hasil aktiviti yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri sudah mengarahkan semua Pegawai Daerah dan wakil rakyat untuk mengenal pasti lokasi sesuai di kawasan masing-masing untuk dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik.

Katanya, tapak yang dikenal pasti itu akan dicadangkan untuk dibangunkan sama ada menerusi Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) atau skim perumahan yang bersesuaian.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas perumahan di peringkat negeri dan daerah bagi memantau serta merancang keperluan perumahan mampu milik mengikut kawasan.

"Melalui jawatankuasa ini, kerajaan negeri mengarahkan setiap pegawai daerah serta wakil rakyat untuk mencari lokasi sesuai untuk pembangunan projek perumahan mampu milik di kawasan mereka," katanya.

Polis metropolis seiring kemajuan Iskandar Malaysia

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

MOHAMED Khaled Nordin menyampaikan Surat Penghargaan kepada salah seorang pegawai polis sambil diperhatikan oleh Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff pada majlis Malam Penghargaan Menteri Besar Johor kepada PDRM Kontinjen Johor 2013 di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU 18 Nov. - Kepolisan metropolis adalah pendekatan yang perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor supaya institusi keselamatan tersebut dapat bergerak seiring dengan perubahan bandar raya ini kepada status metropolis.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sumber manusia yang kompeten dan prasarana yang lengkap adalah penting dalam usaha polis untuk menepati kehendak masyarakat yang mahukan kadar jenayah yang rendah.

"Gunakan aplikasi terkini dan manfaatkan gajet-gajet terbaharu supaya masyarakat lebih dekat dengan polis kerana ini tidak menuntut falsafah PDRM diubah. Kepolisan metropolis yang menepati ciri metropolitan perlu terus berkembang selari dengan perkembangan negara.

"Kawasan bandar yang dulunya kecil, kini semakin membangun dan sotisfikated seperti kepesatan pembangunan yang dialami Iskandar Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan Menteri Besar Johor kepada PDRM Kontinjen Johor 2013 di Berjaya Waterfront Hotel, di sini semalam.

Yang turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohamad Aziz; Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsuddin; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff pula diiringi isterinya, Datin Bibi Zakiah Meraslam yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Kontijen (Perkep) Johor. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim bersama ketua-ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Ketua-Ketua Polis Daerah dan pegawai-pegawai polis negeri.

Terdahulu, Mohamed Khaled turut menyatakan penghargaan kepada pengorbanan polis dalam membendung jenayah dan mengekalkan keamanan, malah menyifatkan majlis yang diannjurkan beliau sebagai terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jasa anggota PDRM Johor.

"Umum semuanya mahu tiada jenayah tetapi kita tidak boleh lari daripadanya kerana negara bebas jenayah memang ideal tetapi realitinya tidak mudah dicapai. Keadaan bertambah parah dengan persepsi buruk masyarakat terhadap polis namun di sebalik tohmahan segelintir pihak, sebahagian besar menghargai peranan polis.

"Kerajaan negeri akan terus mempertahankan polis daripada sebarang tindakan yang mencemar dan memperlekeh institusi penting negeri dan negara ini," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Mokhtar berkata, polis Johor sedar masyarakat kini lebih maju dan memerlukan pendekatan menyeluruh supaya rakyat menikmati kesejahteraan seiring dengan kemajuan yang dikecapi seperti mana yang disebutkan sebagai strategi kedua dalam Bajet Johor 2014 yang dibentangkan baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved