Selasa, 19 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


UMP bantu mangsa banjir di Bertam

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

Sukarelawan membersihkan lantai sebuah rumah mangsa banjir di Lembah Bertam, Cameron Highlands, baru-baru ini.

CAMERON HIGHLANDS 19 Nov. - Seramai 33 penuntut dan kakitangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan program sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Lembah Bertam, di sini baru-baru ini.

Mereka yang tiba pukul 8 pagi itu turut melawat kawasan dilanda banjir sebelum bertemu enam keluarga mangsa yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin, keluarga yang masih tinggal di penempatan itu tidak mempunyai rumah kerana dihanyutkan air dan rosak teruk semasa banjir.

"Sukarelawan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk membantu memasak, membersihkan kawasan dan memberikan motivasi serta semangat kepada kanak-kanak yang masih bersekolah.

"Penuntut lelaki dalam kumpulan sukarelawan itu dibawa kedua-dua rumah transit mangsa banjir untuk dibersihkan kerana ditenggelami air semasa kejadian tersebut," katanya selepas meninjau kawasan penempatan tersebut.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan menjadi rumit memandangkan keadaan rumah yang begitu teruk dengan kerosakan barang, berlumpur dan tiada bekalan air.

Yuserrie berkata, pihaknya berjaya mendapatkan sebuah generator bagi membolehkan air disalur kembali ke sungai berdekatan dan kerja pembersihan berjaya diselesaikan dalam tempoh lima jam melibatkan dua rumah transit terbabit.

Dalam pada itu, seorang sukarelawan UMP, Muhammad Naqiuddin Naim Juman, 19, berkata, dia teruja kerana dapat menyertai misi tersebut walaupun terpaksa mengorbankan hari cuti umum.

"Saya berharap bantuan yang kecil ini dapat membantu meringankan beban mereka. Kita turut menyumbang barangan keperluan serta makanan kepada keluarga mangsa terlibat," katanya.

Inovasi, kreatif jadi tanda aras negara maju

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Zainab Ahmad (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Inovasi dan Simposium Penyelidikan Pendidikan Kolej Komuniti Wilayah Timur di Genting Highlands, kelmarin.

BENTONG 19 Nov. - Rakyat negara ini perlu menjadikan inovasi dan penyelidikan sebagai sebahagian daripada aspek kehidupan jika mahu melihat negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Pengarah Bahagian Dasar Dan Pembangunan Kurikulum, Jabatan Pengajian Tinggi Kolej Komuniti, Zainab Ahmad berkata, rakyat yang berfikiran inovasi dan kreatif menjadi tanda aras sesebuah negara diiktiraf sebagai maju.

Menurutnya, inovasi dapat mengubah persekitaran yang membolehkan rakyat menikmati pembangunan sosioekonomi dengan lebih meluas.

"Kita boleh mengambil contoh seperti rakyat Jepun dan Korea Selatan yang menjadikan inovasi sebahagian daripada kehidupan serta berjaya membawa mereka menjadi sebuah negara maju di Asia.

"Begitu juga dengan syarikat automotif nombor satu di dunia iaitu pengeluar kereta Toyota. Asalnya adalah syarikat keluarga yang menjalankan perusahaan pokok kapas. Namun, anak pengasas syarikat ini bernama Toyoda berfikiran inovasi berjaya mengubah haluan syarikat tersebut menjadi pengeluar kereta," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penutup Pertandingan Inovasi dan Simposium Penyelidikan Pendidikan Kolej Komuniti Wilayah Timur di Institut Aminuddin Baki Genting Highlands, di sini semalam.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan antara individu yang melihat kesungguhan dan budaya rakyat Jepun boleh dicontohi jika mahu melihat Malaysia menjadi negara maju.

Menurutnya, antara inti pati Wawasan 2020 yang diilhamkan bekas Perdana Menteri itu adalah dengan melihat inovasi dan disiplin kehidupan rakyat Jepun.

"Saya berharap rakyat negara ini mempunyai pemikiran sama seperti rakyat Jepun. Inovasi dan penyelidikan sebenarnya menjadi titik tolak bukan sahaja kepada kemajuan sesebuah negara tetapi menjadi tunjang penting bagi meningkatkan maruah rakyat di mata dunia," ujarnya.

Beliau berkata, penuntut Kolej Komuniti dapat menjadi inovasi dan penyelidikan sebahagian daripada perubahan seterusnya mencipta pelbagai produk yang boleh membantu mensejahterakan kehidupan rakyat.

Dua warga PSDC terima Anugerah Belia Negara

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Adnan Yaakob (tengah) dan Khairur Rizal Ramli (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Belia Negara peringkat negeri di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 19 Nov. - Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) mencatat sejarah tersendiri apabila dua warga kerjanya menerima Anugerah Belia Negara peringkat negeri yang diadakan di daerah ini baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Khairur Rizal Ramli berkata, dua warga kerja tersebut iaitu Zairi Suhardi Mamat dan Mohamad Zakry Hashim menerima anugerah berkenaan sekali gus menaikkan imej institusi itu di negeri ini.

Menurutnya, PSDC menghantar dua penyertaan bagi anugerah tersebut iaitu Projek Inovasi Sistem Semakan dan Pemantauan Online dikenali sebagai Sistem Sepadu serta Projek Inovasi Sistem Pemantauan Pintar yang dikendalikan kedua-dua kakitangan tersebut.

Katanya, penyertaan turut disaingi tiga belia daripada institusi pengajian tinggi (IPT) lain namun kemenangan berpihak kepada mereka menerusi projek Sistem Pemantauan Pintar.

"Anugerah tersebut membolehkan mereka membawa pulaang sijil, plak dan wang tunai berjumlah RM3,000 yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam majlis itu," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, kejayaan itu merupakan kebanggaan kepada warga PSDC sepanjang 17 tahun penubuhannya di negeri ini.

"PSDC menggalakkan kakitangan dan penuntut mencipta inovasi bagi membuktikan keupayaan mereka dalam kemahiran berfikir serta mereka cipta sesuatu produk," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved