Selasa, 29 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perlis mampu jadi pengeluar batik

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

AHMAD Bakri Ali cuba mewarna batik sambil diperhatikan oleh Mohd. Noor Effendy Abdul Karim (kiri) dan Mohd. Nasir Ismail (tiga dari kiri) pada Majlis Pendidikan Kraf Batik Perdana di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar, semalam.

KANGAR 28 Okt. - Perlis mampu muncul sebagai pengeluar batik pada masa depan jika program melibatkan penyertaan generasi muda khususnya di peringkat pelajar sekolah dalam pembelajaran batik canting dilaksanakan secara lebih serius.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana, Ahmad Bakri Ali berkata, tidak mustahil jika suatu hari nanti Perlis bakal menyaingi pengeluar batik sedia ada iaitu Kelantan dan Terengganu.

''Menerusi program yang memberi pendedahan dan pengetahuan asas mengenai proses pembuatan batik canting secara praktikal, akan membantu mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan pada suatu hari nanti," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pendidikan Kraf Batik Perdana bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Perlis, Mohd. Noor Effendy Abdul Karim dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Syed Alwi, Mohd. Nasir Ismail.

Sebanyak 400 pelajar dari tingkatan tiga hingga enam pelajar sekolah berkenaan menyertai program tersebut yang pertama kali diadakan pada tahun ini dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.

Ahmad Bakri berkata, program itu juga dapat memupuk minat generasi muda untuk mewarisi seni batik yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini.

''Program seperti ini sedikit sebanyak akan membantu pelajar untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai pembuatan batik canting,'' katanya.

Beliau berkata, pengalaman dari program itu juga akan mencetuskan minat kalangan pelajar untuk menjadikannya sebagai jurusan yang bakal diceburi pada masa depan.

Katanya, Kraftangan Malaysia juga sentiasa memberi dorongan kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengusaha batik yang berjaya.

Naib kadi baca 300 buku setahun

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

KUALA KANGSAR 28 Okt. - Seorang naib kadi di daerah ini yang menjadikan amalan membaca buku sejak dari bangku sekolah mendapat penghargaan daripada Perpustakaan Negara apabila dipilih sebagai Pembaca Aktif Negeri Perak pada tahun ini.

Minat Hisham Ariffin, 63, terhadap buku membolehkannya membaca sebanyak 300 naskhah buku pada tahun lalu dan kecenderungan tersebut menyebabkan beliau dipilih sebagai penerima anugerah tersebut sempena Karnival Membaca 1Malaysia Dan Pemantapan Nilai-Nilai Murni 2013 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ketika ditemui, Hisham berkata, minat untuk membaca secara serius mula timbul sejak beliau aktif sebagai penulis sastera semasa bersekolah di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh pada 1963.

Pesara kerajaan itu berkata, hobi tersebut diteruskan sehingga sekarang kerana amalan membaca sudah menjadi satu kemestian baginya setiap hari bagi mendapatkan ilmu pengetahuan.

"Sebagai seorang penulis dan pembaca, saya banyak mengikuti kursus penulisan dan belajar daripada penulis-penulis terkenal tanah air. Walau di mana sekalipun saya bertugas, buku tetap menjadi teman setia saya setiap hari," katanya.

Menurut Hisham, disebabkan minat yang terlalu mendalam terhadap amalan membaca, beliau mewujudkan sebuah perpustakaan mini di rumahnya di Kampung Ketior di sini.

"Di samping membeli buku di kedai, saya meminjam buku di Perpustakaan Daerah Kuala Kangsar untuk dibaca. Biasanya, saya meminjam sehingga lapan buah buku setiap minggu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menghargai anugerah yang diberikan oleh Perpustakaan Negara itu dan menyifatkan pengiktirafan tersebut menjadikannya lebih bersemangat untuk membaca buku.

"Saya membaca bagi mencambahkan minda dan mendapatkan maklumat terkini. Amalan membaca ini bagus khususnya untuk golongan pelajar menimba ilmu pengetahuan lain yang tidak diajar di sekolah atau universiti," katanya.

Tunai cita-cita ibu jadi jururawat

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

MUSTAPHA Kamal Abu Bakar menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Pengambilan Tahun 2009 kepada Alim Hamzan sempena Majlis Konvokesyen ke-4, Bukit Merah Laketown Institute of Allied Health Sciences, Perak, kelmarin.

BAGAN SERAI 28 Okt. - Saya memang mahu menjadi seorang jururawat kerana ingin merealisasikan cita-cita ibu terdahulu yang tidak kesampaian kerana faktor kewangan keluarga.

Jadi, ini merupakan hadiah istimewa buat ibu yang telah membesarkan saya dari kecil setelah berpisah dengan bapa sejak 18 tahun yang lalu."

Demikian luahan seorang graduan Diploma Kejururawatan Bukit Merah Laketown Institute of Health Sciences (BMLIAHS), Alim Hamzan yang akhirnya berjaya dianugerahkan Pingat Tan Sri Mustapha Kamal dalam majlis konvokesyen kolej itu di sini semalam.

Pingat Tan Sri Mustapha Kamal merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada graduan BMLIAHS bagi mengiktiraf pencapaian dalam semua bidang meliputi akademik, kokurikulum dan kepemimpinan.

Menurut Alim, beliau berharap melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi selepas memperoleh pengalaman bekerja.

Di BMLIAHS, selain keluarga, para pensyarah dan kakitangan di sini banyak membantu saya untuk terus menguatkan semangat agar berjaya di masa hadapan," katanya yang kini berkhidmat sebagai jururawat di bilik pembedahan Hospital Fatimah di Ipoh, Perak.

Dia ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen BMLIAHS Kali Keempat yang diadakan di Bukit Merah Laketown Resort, di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengelola BMLIAHS, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan turut dihadiri Ketua Eksekutifnya, Salmah Awang.

Dalam majlis itu, Mustapha Kamal turut menganugerahkan Pingat Tun Mahathir dan Pingat Tun Siti Hasmah masing-masing kepada dua lagi graduan iaitu Fairuz Azmi dan Siti Zabedah Che Mazlan atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang akademik dan kepemimpinan.

Sementara itu, Siti Zabedah berkata, pengalaman mengikuti kursus praktikal setiap semester termasuk di Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang banyak membantu memahami profesion kejururawatan secara mendalam.

Anak sulung kepada pasangan Che Mazlan Awang Abu dan Rohani Husin yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu juga berjaya memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.74 dalam peperiksaan akhirnya yang lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved