Selasa, 29 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Segamat, Muar sesuai bina RTC

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Ayub Rahmat (tengah) menyerahkan peruntukan kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyampaian Peruntukan Projek-Projek Kecil di DUN Kemelah, Segamat, baru-baru ini.

SEGAMAT 28 Okt. - Pembangunan di negeri ini tidak seharusnya tertumpu di sesuatu kawasan sahaja malah kemajuan wilayah di sebelah utara Johor seperti Muar dan Segamat juga perlu diteliti supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, perindustrian baharu berskala besar dan pembangunan hebat seperti Iskandar Malaysia mampu membangunkan daerah-daerah terlibat terutama di Johor selatan.

"Saya dulu pernah mencadangkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dibina di Segamat tetapi UTC berkenaan dibina di Kulaijaya. Sepatutnya, daerah Segamat dan Muar adalah lokasi strategik untuk pembinaan RTC kerana Kulaijaya termasuk dalam pembangunan Iskandar Malaysia.

"Walau bagaimanapun, isu ini telah mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beliau juga sedia maklum mengenai perkara ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Projek-Projek Kecil di DUN Kemelah, di sini kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, kawasan yang diwakilinya juga banyak mengalami perubahan prasarana lebih baik berbanding beberapa tahun kebelakangan ini seperti Klinik 1Malaysia di Bukit Siput, pembinaan beberapa buah sekolah agama dan sebuah Maktab Rendah Sains Malaysia (MRSM) yang bakal dibina.

Menurutnya, dua buah sekolah agama telah siap dibina iaitu Sekolah Agama Pogoh dan Sekolah Agama Bandar Putra sementara Sekolah Agama Melayu Raya, Bukit Siput dan Taman Pelangi sedang dibina.

"Sekolah Agama Segamat Baru pula dalam proses mencari tanah menjadikan enam buah sekolah agama secara keseluruhan. Pembinaan MRSM pula dijangka bermula tahun hadapan dan sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah juga akan dibina di Bukit Siput bagi memudahkan penduduk di sekitar kawasan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Ayub memaklumkan sejumlah RM150,000 telah diperuntukkan Pejabat Menteri Besar ke DUN Kemelah untuk pembangunan projek-projek kecil dan peruntukan tahunan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Kumpulan Seri Putera juara Ghazal Terbuka Johor

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

Mohamed Khaled Nordin (tengah) menyampaikan replika cek kepada wakil kumpulan Seri Putera Ghazal selepas mereka muncul johan Pertandingan Ghazal Terbuka Johor 2013 di Pasir Gudang, Johor, malam kelmarin.

JOHOR BAHRU 28 Okt. - Kumpulan Seri Putera Ghazal dari Kluang berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Pertandingan Ghazal Terbuka Johor 2013 yang berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, di sini malam tadi.

Kejayaan mempertahankan kejuaraan bagi kategori Terbuka yang dimenangi dua tahun lalu itu melayakkan kumpulan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi pusingan Pak Lomak dan sijil penyertaan.

Wakil kumpulan tersebut, Zamri Zainir, 29, berkata, kemenangan dalam pertandingan dwi tahunan anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu amat bermakna kepada sembilan ahli kumpulan yang ditubuhkan pada 1999.

"Kami mengambil masa selama dua minggu untuk membuat latihan memandangkan sebelum ini kami sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Sudah semestinya kemenangan ini sungguh bermakna kerana usaha kami generasi muda yang turut memartabatkan seni ghazal dihargai," katanya.

Naib johan kategori Terbuka dimenangi Kumpulan Sri Muar Ghazal yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga diraih Kumpulan Aswarisan Ghazal dengan hadiah RM3,000 dan sijil penyertaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengarah YWJ, Muhamad Fuad Radzuan.

Tiga lagi kategori yang dipertandingkan pada pertandingan selama tiga hari itu ialah kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Harapan.

Juara kategori Sekolah Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Sri Tebrau, Johor Bahru yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi pusingan Mokhtar Zam Zam dan sijil penyertaan.

Kategori Sekolah Menengah pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sulaiman, Batu Pahat yang membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan Ahmad Jusoh dan sijil penyertaan, manakala kategori Harapan diungguli Kumpulan Seri Bayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membawa pulang RM4,000, piala pusingan S.A Aisyah dan sijil penyertaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved