Selasa, 29 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tiada modal, Pas 'serang' Mukhriz

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

Mukhriz Tun Dr Mahathir (tengah) bersalaman dengan warga pendidik ketika hadir pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Kedah bersama Warga Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dulang, Sungai Limau, Kedah semalam. Turut kelihatan Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Latt (dua, kiri). - BERNAMA

HARI INI genaplah seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau diadakan. Seperti biasa ketika Barisan Nasional (BN) berusaha bersungguh-sungguh untuk menyakinkan rakyat kenapa parti tersebut perlu menguasai kawasan berkenaan, Pas pula terus dengan kempen politik mereka.

Pas begitu yakin pengundi-pengundi Sungai Limau akan terus bersama dengan mereka sehinggakan soal apa yang hendak dilakukan bagi membela nasib penduduk di situ seolah-olah bukan menjadi agenda utama.

Sebaliknya apa yang boleh disaksikan ialah mereka menjadikan pemimpin-pemimpin BN sebagai sasaran serangan. Apa sahaja kenyataan oleh pemimpin-pemimpin tersebut semuanya akan dipolitikkan dengan tujuan meraih sokongan pengundi.

Bagaimanapun apa yang paling ketara berdasarkan maklumat, pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan adalah jelas Pas berusaha untuk memburuk-burukkan imej Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir habis-habisan.

Pelbagai hujah mereka tampilkan supaya ia boleh membangkitkan perasaan benci pengundi-pengundi Sungai Limau terhadap Mukhriz. Pas terpaksa melakukan demikian kerana mereka bimbang Menteri Besar Kedah itu semakin berjaya menambat hati rakyat termasuklah dalam kalangan pengundi Pas sendiri di Sungai Limau.

Apa yang meresahkan Pas, kehadiran Mukhriz termasuk di kawasan yang dianggap kubu kuat mereka turut mendapat sambutan sehingga ada yang mengaitkan pendekatan politik Mukhriz tiada bezanya dengan bekas Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Keadaan inilah yang memungkinkan Pas tidak boleh duduk diam dan harus mencari jalan bagaimana untuk menyekat pengaruh Mukhriz yang membolehkan BN merampas tampuk pemerintahan negeri Kedah tidak berulang pula di DUN Sungai Limau.

Justeru mereka melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Mukhriz termasuklah menuduh kononnya beliau mengkhianati amanah Azizan. Bagaimanapun Mukhriz tidak mudah melatah, beliau menganggap apa yang dilakukan oleh Pas itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana dalam PRK seperti ini, ia merupakan masa untuk perkara seperti itu disensasi atau dipolitikkan.

Tindakan menyerang Mukhriz dengan menuduh beliau mengkhianati amanah Allahyarham Azizan dianggap 'senjata' oleh Pas kerana memahami ramai penyokong tegar Allahyarham di Sungai Limau. Pas berharap dengan cara demikian penyokong-penyokong tersebut akan mengekalkan undi mereka kepada parti itu.

Atas hasrat itu juga Pas mengedarkan risalah yang menyerang Mukhriz habis-habisan dengan melemparkan pelbagai dakwaan dan tohmahan kepada beliau termasuklah menuduh beliau sibuk menguruskan karier politik peribadi dengan menghabiskan masa dan wang rakyat berkempen jawatan Naib Presiden.

Tohmahan ini tertera dalam risalah bertajuk 'Sinar Sungai Limau' yang jelas bertujuan menjatuhkan imej Menteri Besar Kedah itu kerana Pas tiada modal untuk menyerang Mukhriz dari segi peribadi.

Terdapat pelbagai lagi tuduhan dalam risalah itu termasuklah memperlekehkan tindakan Mukhriz mengekalkan beberapa langkah kerajaan negeri di bawah Allahyarham Azizan dahulu seperti kuliah agama di Sri Mentaloon, bantuan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), bantuan guru Quran dan bidan kampung.

Mereka menganggap Mukhriz tidak ada idea sedangkan Menteri Besar Kedah itu sudah menjelaskan dengan tegas apa sahaja dasar yang baik di bawah Allahyarham Azizan akan diteruskan.

Inilah perangai puak-puak Pas, tiada pujian dalam kamus politik mereka jika sesuatu perkara yang baik itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN, sebab itulah dalam isu Mukhriz ini, kalau sesuatu program atau rancangan itu tidak diteruskan mereka tuduh Mukhriz mengkhianati amanah Allahyarham Azizan tetapi apabila ia diteruskan mereka tuduh pula tidak ada idea baru, sikap inilah yang dikatakan orang 'buat pun salah, tak buat pun salah'.

Apa yang lebih memalukan dalam soal sikap politik pembangkang ini, Mukhriz bukan sahaja diserang dari segi pentadbiran malah mereka turut mencari jalan memburuk-burukkan beliau dari segi peribadi sehinggakan cara berpakaian beliau juga turut menjadi sasaran.

Ia terbukti apabila facebook dan blog pembangkang yang diwujudkan sempena PRK Sungai Limau mempersendakan tindakan Mukhriz menghadiri majlis-majlis keagamaan dengan memakai jubah dan berkopiah. Malah mereka juga memperlekehkan gambar Mukhriz berdoa.

Mungkin bagi kelompok-kelompok ini hanya tok-tok guru, ustaz dan pemimpin mereka sahaja yang layak berpakaian sedemikian kalau pemimpin UMNO berbuat begitu ia dianggap sandiwara politik.

Begitu juga dengan gambar berdoa, kalau memaparkan gambar tok guru mereka berdoa untuk memusnahkan UMNO itu tidak mengapa tetapi kalau gambar pemimpin UMNO berdoa biar pun dengan doa yang baik, ia dianggap tidak betul.

Demikianlah corak kempen Pas dan pembangkang di Sungai Limau, dalam keadaan tiada modal dan kehabisan idea untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut, segala-galanya sanggup mereka lakukan.

Mereka cuba meraih simpati dan merangkul sokongan dengan menimbulkan apa sahaja isu tetapi tidak ada satu pun yang bertujuan ikhlas untuk membela nasib pengundi Sungai Limau.

Dalam ceramah-ceramah mereka pula, selain serangan ke atas Mukhriz, mereka memutar belitkan isu-isu nasional bagi meracuni pemikiran pengundi Sungai Limau supaya membenci BN.

Bagaimanapun kita percaya, apa yang dilakukan oleh Pas sekarang bertentangan dengan politik berhemah yang diamalkan oleh Allahyarham Azizan sebelum ini, sebab itulah Mukhriz tidak berasa tergugat dengan serangan-serangan tersebut.

Apa yang penting bagi Mukhriz adalah berusaha bersungguh-sungguh untuk menerangkan kepada rakyat kenapa mereka perlu memberi peluang kepada BN di Sungai Limau.

Mukhriz tidak pernah gentar dengan apa juga hendak dilakukan oleh Pas termasuklah tuduhan beliau mengkhianati amanah Allahyarham Azizan kerana bak kata beliau, ''Ia langsung tidak berlaku. Kalau hendak cerita pasal khianat ini, saya ingat ada orang lain yang lebih mengkhianati."

Sudah tentu ramai pemimpin Pas Kedah memahami apa yang Menteri Besar Kedah itu maksudkan dan penyokong-penyokong Allahyarham Azizan juga pasti lebih mengerti siapakah di dalam parti itu yang sedang 'bersandiwara' apabila bercakap soal Allahyarham.

Dong Zong, Comango serupa sahaja?

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Orang ramai dan NGO yang berhimpun di hadapan Istana Kehakiman sejak awal pagi mengaminkan doa yang dibaca Presiden PERKID,Ustaz Masridzi Sat selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Majalah Mingguan Herald baru -baru ini - Utusan/Zaki Amiruddin

KALAU tidak silap penulis, sama ada hari ini Rabu 30 Oktober atau esok Khamis 31 Oktober, keputusan sama ada syor tuntutan-tuntutan 'tak masuk akal' Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Malaysia (Comango) di Geneva, Switzerland akan diumumkan.

Itu setelah melalui proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di bawah kendalian Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Itu hal Comango yang mahu memperlekehkan Malaysia menerusi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan. Dan pada masa sama, mencanangkan tohmahan Malaysia terlalu ekstrem dalam melaksanakan lunas Islam.

Dalam negara pun satu hal juga. Kita terpaksa berdepan pula dengan puak cauvinis seperti Dong Zong atau Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia. Terbaharu, puak ini bertelagah pula dengan

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan pengambilalihan tanah milik kerajaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Tanah milik kerajaan seluas 0.13 hektar itu yang terletak dalam kawasan sekolah tersebut mahu dibangunkan untuk dibina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur.

Namun, ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sekolah itu sejak 1938.

Mungkin ada tolak ansur dalam isu yang dicetuskan oleh Dong Zong ini. Kemungkinan ada 'tolak ansur' dan 'kompromi' di sini. Kita tak tahu sekiranya isu (SJKC) Chin Woo ini berlaku dalam konteks Pulau Pinang sekarang. Siapa antara dua pihak yang akan tunduk?

Dalam konteks Comango, ramai bertanyakan kepada penulis, mengapa kita terlalu 'bagi muka' kepada sebilangan besar NGO yang berada dalam gabungan Comango ini. Kalau dilayari NGO yang menganggotainya, kita pasti terkejut kerana mereka ini turut menerima biaya dan dana daripada kerajaan - sama ada suatu ketika dulu atau pun sekarang.

Di sebalik itu, satu iktibar yang perlu dipelajari di sini. Peranan UMNO dan Pas, dua parti yang mewakili umat Melayu.

Jika Comango dan Dong Zong 'memekak', UMNO dan Pas mesti berani dan bersatu menempelak mereka. Jika pengguna Internet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan.

Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, UMNO dan Pas mesti berani ke depan dan bertindak bagi pihak orang Melayu dan Bumiputera. Jangan teragak-agak apabila berdepan dengan sebarang pencabulan hak asasi kaum.

Seperti kata pakar perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim: "Kita mesti hidupkan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang."

Kita jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas, dan PKR tak lebih 600,000 secara purata tapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut. Bilangan sukarelawan parti, peguam dan profesional mereka lebih daripada yang dimiliki UMNO dan BN, walaupun ahli

mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan.

Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau calon boleh menang.

Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekalipun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura 7 orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.

Comango dan Dong Zong serta lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai fitnah, ugutan dan tuduhan. Tindakan Dong Zong tak akan akur kepada dasar pelajaran negara serta Comango yang mahu menuntut yang bukan-bukan - adalah langkah yang mengkhianati negara.

Kita pasti tidak akan lupa bagaimana pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mendapat tentangan hebat daripada Dong Zong yang sehingga kini masih mempertikaikan usaha murni tersebut dengan dakwaan kononnya akan mengancam kewujudan sekolah aliran serta menghapuskan bahasa Mandarin.

Padahal, setelah dikaji dan diteliti cadangan tersebut, tidak ada sedikit pun cacat-cela yang kononnya memartabatkan bahasa tertentu akan menghakis bahasa-bahasa lain. Malahan, PPPM bertujuan untuk pembangunan negara serta dalam masa sama mampu melahirkan pelajar bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi.

Merujuk khusus kepada tindak tanduk Comango, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad baru-baru ini menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan itu yang sering membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukannya sebagai agama Persekutuan.

Kata beliau, ini memandangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Comango bukan NGO berasaskan Islam selain tidak berdaftar secara rasmi.

Tuntutan yang dikemukakan Comango sebahagian besarnya menjurus kepada hak kebebasan orientasi seks lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.

"Kami (Pembela) turut mempersoal kenyataan jurucakap Comango, Honey Tan Lay Eand dalam portal propembangkang, The Malaysian Insider pada 17 Oktober lalu yang menafikan tuntutan mereka mengancam Islam dan mempromosi seks songsang.

"Tapi sesiapapun yang merujuk kepada laporan itu akan mengakui beberapa kandungannya mengancam Islam dan umatnya di negara ini.

"Comango juga secara jelas mempersoal perkara berkaitan agama Islam termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur yang dijadikan isu hak asasi manusia," katanya.

Sebab itu UMNO dan orang Melayu mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasi kita - sama ada parti dan orang Melayu sendiri dalam bidang ilmu supaya setanding dengan kaum Cina.

Generasi baru tidak harus idealis tak tentu haluan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved