Selasa, 29 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Siswa UMP bantu mangsa banjir lumpur

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Pelajar UMP yang menjalankan kerja sukarelawan membantu mangsa banjir Lembah Bertam bergambar di Dewan Orang Ramai Ringlet, Cameron Highlands, baru-baru ini. - utusan/Ali Mahmood

CAMERON HIGHLANDS 29 Okt. - Sebanyak 12 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) turun padang membantu keluarga mangsa banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet di sini baru-baru ini.

Pasukan sukarelawan itu diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMP, Abdul Na'em Suhaimee bersama-sama lima mahasiswa dan enam siswi.

"Kami berasa terpanggil untuk membantu mangsa yang terlibat dengan banjir lumpur itu dan mengikut perancangan awal kami akan membersihkan rumah-rumah mangsa.

"Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak membenarkan kami masuk atas sebab-sebab keselamatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Menurut beliau, ini berikutan kesemua struktur rumah mangsa telah musnah teruk dan tidak selamat untuk dimasuki.

Tambahnya, selepas itu beliau dan rakan-rakannya diminta membantu keperluan mangsa yang ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Ringlet.

Katanya, pada hari pertama lagi, walaupun letih kerana perjalanan mengambil masa enam jam dari Pekan untuk sampai ke lokasi kejadian tetapi semangat mereka tidak luntur bagi membantu mangsa.

"Pelajar lelaki menjalankan kerja-kerja pembersihan dewan termasuk membersihkan tandas untuk keselesaan mangsa yang menempatkan lebih 53 orang daripada 21 keluarga.

"Pelajar wanita pula membantu kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengemas, memasak dan menyediakan makanan," ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, mereka mempelajari banyak perkara antaranya mendapati ramai rakyat negara ini yang begitu prihatin kepada mangsa bencana.

"Banyak pihak tampil menghulurkan bantuan seperti makanan, minuman dan barang keperluan lain seperti pakaian, tikar, selimut, bantal, permainan kanak-kanak dan sebagainya," katanya.

80 pelajar sekolah menengah sertai program motivasi, kerjaya KKL

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Sebahagian daripada pelajar dan guru sekolah menengah yang menyertai program motivasi dan kerjaya sempena Pelancaran Duta Kecil Kolej Komuniti di IPGKTAA, Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 29 Okt. - Kolej Komuniti Lipis (KKL) menganjurkan program motivasi dan kerjaya untuk pelajar sekolah menengah sempena Pelancaran Duta Kecil Kolej Komuniti di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis, di sini baru-baru ini.

Sebanyak 80 pelajar tingkatan empat, lima dan enam daripada sekolah menengah sekitar bandar ini menghadiri program tersebut yang disampaikan guru kaunselor dari Pejabat Pendidikan Lipis (PPL).

Majlis tersebut dirasmikan Pengarah Pengambilan Penuntut, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, Mohd. Amin Ali.

Pengarah KKL, Anuar Ralib berkata, penglibatan kolej itu dalam program tersebut bagi menerangkan peluang pendidikan berasaskan kemahiran dan latihan keusahawanan.

"Menerusi kerjasama dengan pentadbir sekolah di daerah ini, pensyarah KKL mengadakan ceramah ke setiap buah sekolah menengah menerusi program motivasi di samping pemasaran kursus yang ditawarkan di institusi ini kepada pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Anuar, peranan kolej itu untuk melaksana pembinaan modal insan khususnya membabitkan peluang serta latihan dalam bidang keusahawanan atau perkhidmatan tertentu.

Sehubungan itu, katanya, majlis tersebut dengan kerjasama PPL secara tidak langsung mewujudkan perkongsian bijak dan kepakaran bidang tertentu.

Dalam pada itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lipis, Kamaluddin Ibrahim berkata, usaha KKL berkenaan akan mendorong golongan lepasan menengah yang berminat dalam sektor keusahawanan mengikuti kursus di kolej berkenaan.

"Lepasan dari Kolej Komuniti bukan sahaja berpeluang makan gaji dalam sektor kerajaan tetapi terbabit sebagai usahawan yang mampu bersaing sekali gus melonjak pendapatan keluarga masing-masing," ujarnya.

KKJ perkenal kursusJurulatih Kecergasan

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Seorang peserta mengangkat berat dalam Kursus Jurulatih Kecergasan anjuran Kolej Komuniti Jerantut di Taman Wawasan, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 29 Okt. - Matlamat kerajaan merealisasikan gaya hidup sihat berkonsepkan amalan Malaysia Cergas dalam kalangan rakyat memberi ilham kepada pengurusan Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) memperkenalkan Kursus Jurulatih Kecergasan di kolej tersebut di sini.

Kursus berkenaan menerusi kerjasama Al-Ihsan Gym, Kuala Krau melibatkan 50 peserta termasuk pensyarah, penuntut KKJ, belia dan warga emas yang berminat menimba kemahiran untuk diiktiraf sebagai seorang jurulatih gimnasium.

Fasilitator kursus selama dua hari itu dikendalikan jurulatih kecergasan, Datuk Ahmad Zaki Jinlapudin, Abu Zaid Hussein dan Diane Sera Farhanah Sedik.

Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat KKJ, Azhani Hasibah Ab. Karim berkata, KKJ kini mengalih tumpuan menganjurkan kursus kemahiran kecergasan dan kesihatan dalam kalangan komuniti daerah ini.

"Objektif kursus ini untuk melahirkan ramai jurulatih kecergasan bertauliah sepenuh masa dan sambilan berkhidmat di gimnasium selain melestarikan usahawan yang memiliki gimnasium sendiri yang boleh menjana pendapatan dalam bidang ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, KKJ berterima kepada Al-Ihsan Gym yang memperkenal tiga orang jurulatih dengan pengalaman lebih 10 tahun mengendalikan kemahiran kecergasan termasuk peralatan senaman canggih yang merintis untuk kolej itu melestarikan bidang sama pada masa akan datang.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, kursus berkenaan berasaskan teori dan amali untuk mendedahkan kaedah melaksana latihan dan rutin asas kecergasan.

"Kursus ini memfokus teknik yang betul untuk mengurangkan kecederaan dan menyuntik kecergasan di samping menitikberatkan peraturan keselamatan ketika menggunakan peralatan gimnasium yang perlu diketahui peserta," ujarnya.

Ahmad Zaki yang juga seorang ahli terapi senaman selama lebih 10 tahun berkata, sehingga kini, beliau melatih sebanyak 34 belia dari seluruh negara sebagai jurulatih gimnasium.

Peserta warga emas, Borhan Ali berkata, penyertaan dalam kursus berkenaan membolehkan beliau mendalami pengetahuan baharu mengenai kesihatan dan latihan kecergasan.

"Saya terbabit dengan latihan kecergasan sejak 1990 dan Alhamdulillah dalam usia emas ini, kesihatan saya masih baik tanpa komplikasi sebarang penyakit.

"Senaman dan kecergasan merupakan amalan awet muda dan tidak memerlukan produk tertentu atau makanan tambahan lain sama ada untuk mengekalkan kekuatan atau penuaan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved