Selasa, 29 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Jangan terpengaruh maklumat bahaya radiasi di Internet

Posted: 29 Oct 2013 01:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Rakyat di negara ini dinasihatkan tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat tentang bahaya radiasi di Internet yang belum terbukti kesahihannya.

Ini kerana menurut Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektronik Universiti Sapienza, Rome, Prof. Michael Repacholi, kebanyakan maklumat di dalam internet itu berbentuk negatif dan disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab yang hanya untuk mengelirukan pengguna.

Selain itu katanya, tahap pengetahuan rakyat Malaysia tentang isu pendedahan radiasi masih di tahap rendah dan dikhuatiri mengakibatkan mereka mudah mempercayai apa sahaja maklumat negatif yang disebarkan melalui internet.

"Kebanyakan kes protes dalam kalangan orang awam di Malaysia melibatkan salah faham tentang peletakan stesen atau menara pemancar telekomunikasi di sesuatu kawasan.

"Rakyat perlu faham tahap pendedahan radiasi di negara ini mengikut standard piawaian dan syor yang dikeluarkan oleh International Commision on Non-Ionising Radiation Protection (ICNIRP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Persidangan Non-Ionising Radiation 2013 di sini hari ini.

Katanya, pertikaian berhubung isu pendedahan radiasi tidak perlu ditimbulkan kerana standard piawaian itu telah diguna pakai di lebih 60 buah negara di seluruh dunia. - UTUSAN ONLINE

Jalan Melayu dibangun semula dengan identiti Melayu

Posted: 29 Oct 2013 01:35 AM PDT

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Jalan Melayu di sini akan dibangunkan semula dengan identiti Melayu daripada segi perniagaan, seni budaya dan muzikal, kata Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Rais berkata, usaha itu penting memandangkan tiada sebatang jalan di ibu negara yang benar-benar mencerminkan sosiobudaya kaum Melayu di Malaysia untuk ditonjolkan kepada pelancong asing.

Katanya, usaha kerajaan membangunkan semula Jalan Melayu yang terletak berhampiran Jalan Masjid India tidak harus dicemburui kaum lain memandangkan masyarakat India telah mempunyai Little India di Brickfields, manakala kaum Tionghua mempunyai China Town di Jalan Petaling.

"Kaum lain tidak patut rasa kecil hati kerana masing-masing telah ada tempat, tapi kaum Melayu tiada Malay Street yang betul-betul tipikal Melayu," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekitar Jalan Melayu di sini, hari ini.

PETA Kuala Lumpur yang menunjukkan kedudukan Jalan Melayu iaitu yang menghubungkan antara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak.

Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (kini Kementerian Komunikasi dan Multimedia) berkata pembangunan semula Jalan Melayu itu dijangka dimulakan Januari tahun depan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelancongan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Warisan Negara.

"Apa kegiatan yang akan kita lakukan di Jalan Melayu ini akan kita fikirkan tapi mula-mula sekali kita akan cuba baiki bumbung kedai yang ada dan petak-petak perniagaan untuk penjaja Melayu," katanya.

Selain itu, Rais berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan mengenai penubuhan Yayasan Warisan Negara bagi memperkasakan lagi pembinaan negara bangsa.

Katanya jika penubuhan yayasan itu dipersetujui, ia akan mencari formula paling praktikal untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa celik budaya, seni dan juga warisan. - BERNAMA

TPM pengerusikan mesyuarat MB, Ketua Menteri ke-119

Posted: 28 Oct 2013 11:48 PM PDT

MUHYIDDIN Yassin menyaksikan majlis bertukar dokumen persefahaman (MoU) dan terma rujukan (ToR) di antara Negeri Sembilan yang diwakili oleh Mohamad Hassan dengan negeri Melaka yang diwakili oleh Idris Haron (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian sempadan itu di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. Turut sama Adnan Yaakob (kiri). - BERNAMA

PUTRAJAYA 29 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Ke-119 Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.

Mesyuarat yang turut dihadiri beberapa menteri Kabinet itu bermula kira-kira pukul 10 pagi dan berakhir dua jam kemudian.

Ini merupakan mesyuarat kali ketiga diadakan tahun ini, kali pertama dan kedua masing-masing pada Februari dan Jun lepas, yang bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Selepas mesyuarat itu, Muhyiddin turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Bersama Negeri Sembilan dan Pahang serta Memorandum Persefahaman (MoU) dan Term of Reference (ToR) (perjanjian rangka kerja) Negeri Sembilan-Melaka di bangunan yang sama.

Melaka diwakili Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Negeri Sembilan diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Pahang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved