Isnin, 21 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kariah masjid bantah AJK 'hantu'

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada ahli kariah Masjid Al-Qahhar berhimpun untuk membantah tindakan kerajaan negeri mencampuri urusan pentadbiran masjid itu di Permatang Damar Laut Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 20 Okt. - Kira-kira 80 ahli kariah Masjid Al-Qahhar di Permatang Damar Laut di sini membantah tindakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) cuba memberi tauliah kepada ahli jawatankuasa yang tidak dipilih oleh mereka dalam mesyuarat agung Mei lalu.

Mereka mendakwa, MAIPP tanpa sebarang perbincangan bertindak menukar 11 daripada 13 ahli jawatankuasa kariah masjid berkenaan.

Paling mendukacitakan dakwa mereka, ada dalam kalangan yang dilantik MAIPP itu dilihat tidak pernah berjemaah atau menyertai aktiviti yang dianjurkan masjid.

Pengerusi kariah masjid berkenaan, Rosli Salleh (gambar) berkata, mereka terkejut apabila surat pentauliahan ahli jawatankuasa masjid yang dikeluarkan MAIPP minggu lalu tidak menyenaraikan individu terpilih sebaliknya nama-nama lain termasuk yang tewas dalam pemilihan.

Tegasnya, tindakan MAIPP itu secara tidak langsung seolah-olah tidak menghormati keputusan mesyuarat yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli kariah yang hadir.

"Kita mahu perkara ini diperjelaskan. Bagaimana 11 nama ini boleh bertukar dan apakah kriteria yang ada pada 11 individu disenarai oleh MAIPP untuk menggantikan mereka yang dipilih oleh ahli kariah?

"Semua prosedur yang ditetapkan telah kami ikuti dalam mengadakan pemilihan dan mesyuarat agung, jadi kenapa berlaku pertukaran ini?" katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan secara aman di perkarangan masjid itu hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Permatang Damar Laut, Yaacob Hamat memberitahu, pihaknya pelik dengan apa yang berlaku dan meminta semua pihak termasuk MAIPP dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim supaya memberi penjelasan menjelas perkara berkenaan.

Menurutnya, beliau melihat seolah-olah wujud campur tangan dan pengaruh politik dalam pemilihan ahli jawatankuasa masjid.

"Kita tidak mahu perkara seperti ini sewenang-wenangnya dilakukan tanpa penjelasan yang kukuh kerana boleh menyebabkan perpecahan di kalangan ahli kariah.

"Ahli kariah telah sebulat suara membuat pilihan dalam menentukan ahli jawatankuasa jadi tidak sepatutnya mereka yang terpilih ditukar tanpa pengetahuan," ujarnya.

Calon wanita tunggal gagal buat kejutan di Perak

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Hamizura

GOPENG 20 Okt. - Hajat satu-satunya calon wanita yang bertanding jawatan ketua UMNO bahagian di negeri ini, Hamizura Osman untuk membuat kejutan tidak kesampaian apabila tewas dalam pertembungan empat penjuru di Bahagian Gopeng semalam.

Dalam persidangan perwakilan dan pemilihan UMNO bahagian tersebut yang diadakan di Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) Gopeng di sini, Hamizura, 36, menduduki tempat tercorot dengan memperoleh 22 undi daripada 491 perwakilan.

Jawatan tersebut dimenangi oleh penyandang, Datuk Hamzah Kassim yang memperoleh sebanyak 240 undi manakala dua lagi pencabar iaitu bekas timbalan beliau, Mejar (B) Roslan Zakaria (157 undi) dan Saidel Khazri Malik (67 undi).

Keputusan tersebut sudah tentu amat mengecewakan Hamizura kerana sebelum ini, kakaknya, Datuk Hamidah Osman juga gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita Bahagian Gopeng apabila dikejutkan bekas Ketua Puteri Bahagian itu, Juliliyana Mohd. Junid.

Mengulas mengenai kekalahannya itu, Hamizura berkata, keputusan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus bekerja dan berjuang demi parti dan orang Melayu serta Islam walaupun tanpa sebarang jawatan.

"Saya akan terus berusaha membawa perubahan terutamanya dari segi keikhlasan dalam perjuangan dan yakin orang akan terima apa yang cuba bawa ini suatu hari nanti.

"Harapan saya kepada ketua UMNO bahagian, jagalah UMNO dan orang Melayu seperti mana datuk dan nenek kita buat dahulu," katanya.

100 anggota Puspanita JPS kesan kualiti air

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

SEBAHAGIAN daripada 100 anggota Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesan kualiti air anak sungai Gua Kelam menggunakan kaedah petunjuk biologi (bio indicator) kelmarin.

KANGAR 20 Okt. - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini melakukan aktiviti mengesan kualiti air anak Sungai Gua Kelam yang menjadi tumpuan pelancong di Perlis dengan menggunakan kaedah petunjuk biologi.

Seramai 100 anggota Puspanita tersebut didedahkan dengan kaedah pengesanan kualiti air sempena program Lawatan Turun Padang Puspanita JPS Zon Utara selama tiga hari bermula semalam.

Turut serta dalam kegiatan di kawasan Secret Garden Gua Kelam itu ialah Pengerusi Puspanita JPS Malaysia, Datin Norliyati Said.

Melalui petunjuk biologi itu, para peserta menjelajahi anak sungai dan mengumpul sebanyak mungkin hidupan di dalamnya yang kemudiannya dipadankan dengan jadual hidupan sungai.

Ia turut menjadi ukuran tentang tahap kualiti air sungai berkenaan.

Norliyati berkata, kegiatan itu akan mendedahkan anggota Puspanita terhadap tanggungjawab mencintai alam sekitar termasuk sungai.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa telah melancarkan program Lawatan Turun Padang Puspanita JPS pada 18 Oktober tahun lalu dan sejak itu kegiatan demi kegiatan dianjurkan oleh persatuan itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka.

Malam tadi Puspanita JPS Malaysia turut menghulurkan sumbangan kepada dua buah rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh Perlis dan Rumah Sejahtera Baitul Hanan, Behor Mali, Perlis.

Setiap rumah kebajikan itu menerima RM1,000.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pengarah JPS, Datuk Ahmad Husaini Sulaiman, Pengarah Bahagian Sumber Air dan Hidrologi JPS Datuk Hanapi Mohamad Noor dan Pengarah JPS Perlis Nishad Mohamed Shaffy. — BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved