Isnin, 21 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


10 ketua bahagian muka baharu

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh LUQMAN HAZIQ
utusanjohor@utusan.com.my

MD. Othman Yusof (dua dari kiri) bersama barisan kepimpinan baharu UMNO Bahagian Tanjung Piai selepas pemilihan UMNO Tanjung Piai, di Pontian, kelmarin.

JOHOR BAHRU 20 Okt. - Sebanyak 10 daripada 26 UMNO bahagian di negeri ini mendapat ketua yang baharu termasuk tiga yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti semalam.

Tiga ketua bahagian baharu yang menang tanpa bertanding ialah Datuk Ir. Hamim Samuri di Ledang, Datuk Ab. Aziz Kaprawi (Sri Gading) dan Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahman (Kota Tinggi).

Tujuh lagi ketua bahagian baharu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (Muar), Datuk Zulkarnain Kamisan (Parit Sulong); Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohammad Khairi A. Malik (Gelang Patah), Zahari Sarip (Segamat), Mohd. Azahar Ibrahim (Labis), Datuk Dr. Adham Baba (Tenggara) dan Datuk Zainal Abidin Jidin (Kulai).

Dalam pada itu, sebanyak 16 bahagian mengekalkan penyandang termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pasir Gudang serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong) yang tidak dicabar pada pemilihan parti kali ini.

Turut menang tanpa bertanding ialah Datuk Samsolbari Jamali (Ayer Hitam), Datuk Maulizan Bujang (Tebrau), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai) dan Datuk Ir. Hasni Mohamed (Pontian).

Ketua bahagian yang berjaya mempertahankan jawatan masing-masing ialah Datuk Baharom Mohamed di Sekijang, Datuk Saipolbahri Suib (Bakri), Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman (Simpang Renggam), Md. Jais Sarday (Kluang), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru), Datuk Md. Othman Yusof (Tanjung Piai) dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi (Batu Pahat).

Dalam pertandingan itu, antara yang menjadi tumpuan ialah di Bahagian Johor Bahru yang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Shahrir yang ditentang Datuk Ahmad Kemin dan Zulkifli Ismail.

Bagaimanapun kedua-dua pencabarnya gagal menggugat sokongan terhadap Ahli Parlimen Johor Bahru itu apabila Ahmad sekadar memperoleh 137 undi, manakala Zulkifli hanya meraih 16 berbanding Shahrir yang mendapat 396 undi.

Saingan empat penjuru di Mersing turut gagal menggugat sokongan terhadap Abdul Latiff apabila bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu menang dengan majoriti tipis iaitu lima undi kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin Osman yang mendapat 198 undi.

Bagaimanapun, dua lagi pencabar, Abdul Razak Pon dan Ishak Awang, masing-masing gagal meraih sebarang undi.

Turut menarik perhatian ialah pertembungan antara Mohd. Puad dan ADUN Rengit, Ayub Jamil. Bagaimanapun Mohd. Puad berjaya mempertahankan jawatannya apabila menang dengan majoriti 28 undi setelah mendapat 428 undi.

Satu lagi saingan yang dinantikan ialah usaha Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat merampas jawatan Ketua UMNO Bahagian Sekijang daripada Baharom.

Namun jawatan tersebut kekal milik Baharom yang menang dengan majoriti enam undi apabila mendapat 189 berbanding 182 yang diperoleh Ayub.

Azalina kekal sebagai satu-satunya wanita di negeri ini yang menjadi Ketua UMNO bahagian apabila terus diberi kepercayaan menerajui UMNO Bahagian Pengerang dengan mendapat 292 undi.

Beliau menewaskan saingan bekas ADUN Tanjung Surat, Datuk Harun Abdullah yang hanya memperoleh 55 undi, diikuti Mohamed Long (46) dan Abdul Jalil Abd. Kahar (14).

Kemenangan Radin Seri Kartini di Gelang Patah satu kejutan

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Radin Seri Kartini Abdullah

JOHOR BAHRU 20 Okt. - Ahli Puteri UMNO yang telah melepasi had usia pergerakan itu dinasihat tidak berputus asa dalam meneruskan kesinambungan politik kerana ruang sentiasa terbuka kepada mereka yang ikhlas berjuang untuk mengangkat martabat parti keramat itu.

Bekas Setiausaha Kerja Puteri UMNO, Radin Seri Kartini Abdullah berkata, beliau sendiri berjaya membuktikan keadaan itu apabila menang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah biarpun selepas melepaskan jawatan sebagai Ketua Puteri bahagian tersebut kerana menghampiri umur maksimum Puteri UMNO.

''Saya tidak 'langgar' Ketua Wanita, Zainab Othman kerana dia memang mampu memberi perkhidmatan tetapi tidak salah juga untuk saya bertanding Naib Ketua Bahagian kerana ada kekosongan.

''Hala tuju saya sekarang ialah meneruskan perkhidmatan dan kali ini sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian, apa yang penting sekarang menarik golongan muda untuk menjadi ahli UMNO dan juga menambah bilangan pengundi di Gelang Patah," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kemenangan Radin Seri Kartini merupakan kejutan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gelang Patah yang menyaksikan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor, Mohammad Khairi A. Malik turut diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah yang baharu.

Beliau berhadapan pertembungan lima penjuru sebelum berjaya memperoleh 109 undi berbanding empat calon lelaki lain iaitu Ibrahim Atan (105 undi), A. Latiff Ahmad (72 undi), Tambi Omar Latip (72 undi) dan Chamingan Bahari (30 undi).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved