Selasa, 15 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


3,000 solat sunat raya bersama Sultan

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Sultan Ahmad Shah bersama Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (empat dari kiri), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (tiga dari kiri) dan Adnan Yaakob menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan, Mohd. Khalil Mohd. Zari di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam.

KUANTAN 15 Okt. - Hari Raya Aidiladha di sambut sederhana tetapi meriah di bandar ini dengan kehadiran lebih 3,000 umat Islam bersama dengan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini hari ini.

Sultan Ahmad Shah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Solat sunat itu diimamkan oleh Imam 1 masjid berkenaan, Mohd. Khalil Mohd. Zari manakala khutbahnya disampaikan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman.

Abdul Rahman dalam khutbah Aidiladha antara lain menyeru masyarakat supaya terus memupuk perpaduan dan kerjasama erat tanpa mengira pangkat, usia dan bangsa bagi memastikan keamanan negara dikecapi.

Umat Islam katanya, perlu menghayati konsep pengorbanan yang dituntut Islam, yang sanggup berkorban masa, wang ringgit, jiwa raga dan dan kepentingan diri bagi memperoleh keredaan Allah.

Selepas selesai menunaikan solat, baginda bertiga meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat jelata dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.

Cuaca baik sepanjang hari digunakan sepenuhnya oleh umat Islam di negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana penuh kesyukuran.

Muhasabah diri dalam ibadah korban

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

AHMAD NAZLAN

JERANTUT 15 Okt. - Umat Islam wajar menjadikan ibadah korban untuk muhasabah diri bagi meningkatkan ketakwaan, keinsafan dan bekerja kuat bagi membangunkan keluarga, masyarakat dan negara.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, peristiwa korban yang diceritakan menerusi sirah Nabi Ibrahim dalam al-Quran memberi kesedaran kepada umat Islam untuk diterjemahkan bagi mencorak kehidupan akan datang, sekali gus membantu usaha kerajaan menangani transformasi pembangunan.

"Kita akan sia-sia membelanjakan wang menyembelih ternakan, tetapi masih tidak muhasabah diri dan pemantapan iman setiap kali menyambut Hari Raya Aidiladha," katanya semasa majlis korban di sini hari ini.

Menurut beliau, Hari Raya Aidiladha perlu disambut untuk memperbaharui iltizam dan keazaman dengan berjuang bersungguh-sungguh dalam lapangan masing-masing bagi menjayakan manifestasi transformasi kerajaan.

Katanya, segala perancangan keluarga, kerjaya dan pembangunan akan terbantut jika penduduk masih tidak sanggup berkorban dan berkhidmat untuk kecemerlangan dalam apa juga bidang pada masa akan datang.

Ahmad yang juga Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Jerantut berkata, ibadah korban juga menginsafkan umat Islam terhadap golongan kurang bernasib baik, orang miskin, kurang upaya dan mangsa yang terbabit dengan bencana alam atau peperangan yang berlaku di serata tempat.

"Ibadah korban mendidik kita supaya belajar daripada kesusahan dan penderitaan untuk membangun kembali kehidupan serta disertai dengan ketakwaan dan keimanan," ujarnya.

Katanya, falsafah ibadah itu dapat membentuk jiwa umat Islam sentiasa bersabar dalam menghadapi dugaan Allah dan sanggup berkorban walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

10 masjid terima sumbangan lembu korban

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

KUALA LIPIS 15 Okt. - Syarikat perlombongan emas, J Resources Penjom Gold Mine (JRPGM) Lipis, menyumbangkan sebanyak 10 ekor lembu kepada 10 masjid dan sekolah di sekitar daerah sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Pengurus Besar JPRGM, Aldrin Alambono kepada Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad di Sekolah Kebangsaan (SK) Penjom di sini semalam untuk diagihkan kepada Pengerusi Masjid di Lipis.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; Guru Besar SK Penjom, Mohd. Rosmi Mohd Din dan Setiausaha Jawatankuasa Induk J Resources, Mohd. Shaifuddin Hamzah.

Menurut Aldrin, haiwan itu diagihkan kepada pengurusan masjid Kampung Penjom, Masjid Kampung Lalang, Masjid Kampung Rangin, Masjid Kampung Salang, Masjid Kampung Binjai, Masjid Tempoyang, Masjid Kampung Bapong, Masjid Kampung Relong, Masjid Tunku Mahmud, Lipis dan SK Penjom.

Katanya, sumbangan itu merupakan satu tuntutan ibadah dalam Islam untuk golongan asnaf, selain menghargai jasa 1,200 pekerja JRPGM di sini.

"Program korban ini merupakan salah satu sumbangan syarikat korporat mendekatkan diri serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan penduduk dan pemimpin setempat sempena Hari Raya Aidiladha," katanya.

Menurutnya, hubungan erat bukan sahaja sewaktu perayaan, malahan syarikat perlombongan itu turut membantu kecemerlangan akademik murid di sekolah rendah berdekatan operasi lombong berkenaan termasuk kebajikan penduduk miskin.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, keprihatinan pengurusan JPRGM sewajarnya dicontohi syarikat korporat lain, swasta dan individu di sini untuk melaksanakan amal jariah sempena hari raya tersebut setiap tahun.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved