Selasa, 15 Oktober 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Perubahan membawa berkat

Posted: 15 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my

ALHAMDULILLAH. Itulah ungkapan yang diucapkan setiap kali kita mendengar golongan Hawa mengambil keputusan untuk berhijab kerana wajib bagi setiap wanita Islam yang baligh untuk menutup aurat.

Menyedari hukum yang telah ditetapkan, maka sejak akhir-akhir ini semakin ramai golongan wanita, termasuk selebriti yang mengambil langkah untuk berhijab.

Melakukan perkara baik, sudah pasti banyak cabarannya. Maka ada juga suara-suara sumbang yang mengatakan, penghijrahan golongan selebriti iaitu memakai hijab dilakukan kerana fesyen.

Benarkah, ada artis yang berubah kerana mengikut fesyen semasa atau kerana tuntutan agama.

Bagi pelakon Aida Khalida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, awal 50-an, penghijrahan yang dilakukan bukan kerana terikut dengan kehendak semasa tetapi atas dasar kesedaran dan ikhlas melakukannya kerana itu adalah tuntutan agama ke atas setiap wanita.

Saya berubah bukan sebab sesiapa tetapi kerana Allah. Saya mahu mencari keredaan-Nya dan alhamdulillah, selepas penghijrahan kehidupan saya lebih tenang.

Perubahan yang saya lakukan bukan sekadar pada luaran iaitu penampilan bertudung tetapi setiap hari saya cuba mendalami ilmu agama untuk mendekatkan diri dengan Allah," katanya kepada Hits, baru-baru ini.

Dia yang mula bertudung pada 2011 berkata, penghijrahan bukan sekadar penampilan tetapi memerlukan ilmu. Oleh itu sebagai insan kerdil, dia sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan ilmu Allah.

Pada setiap kelapangan, dia berusaha memenuhi waktu tersebut dengan menghadiri kelas agama, membaca atau menonton program ilmu untuk menambah pengetahuan.

Saya perlu melakukan perubahan seiring dengan penampilan dan apa yang saya lakukan bukan paksaan tetapi semua itu kerana Allah. Kalau kita melakukan sesuatu kerana Allah, insya-Allah hidup kita lebih diberkati," ulasnya.

Rezeki tetap ada

Sebelum berhijab, Aida yang waktu awal penampilannya sebagai anak seni dikenali sebagai Aida Rahim, adalah di antara pelakon wanita yang berimej seksi.

Aida yang pernah menjadi model sebelum ini berkata, dia tidak pernah menyesal melakukan perubahan kerana apa yang dilakukan membawa manfaat kepadanya.

Saya lebih senang bercerita tentang kehidupan sekarang dan mencari keredaan-Nya. Apa yang berlaku dulu, biarlah menjadi sejarah dan sebab itulah saya sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri supaya menjadi umat yang lebih dekat dengan-Nya.

Sebenarnya saya bersyukur kerana Allah telah membuka pintu hati saya untuk berhijrah. Walaupun saya berpenampilan sebegini, rezeki saya dalam bidang lakonan tetap ada. Tidak sekali pun saya dipinggirkan selepas bertudung," katanya terus-terang.

Kata Aida, sekali bertudung tidak mungkin dia akan menayang mahkota (rambut)kepada umum lagi. Justeru itu, jika ada skrip yang memerlukan watak membuka tudung, dari awal lagi dia akan menolak.

Jelas wanita itu, dia tidak percaya perjalanan cerita akan menjadi cacat sekiranya watak yang dipegang terus memakai tudung pada adegan yang dirasakan wajar tidak bertudung.

Semua itu terpulang kepada hati. Allah telah memberi kita akal fikiran untuk berfikir. Kita boleh suarakan pandangan pada pengarah atau penulis skrip bahawa ada cara lain boleh dilakukan tanpa memerlu menanggalkan tudung.

Setakat ini jika saya rasa apa yang perlu saya lakukan tidak baik untuk akhlak wanita bertudung, saya akan beritahu pengarah. Alhamdulillah, pengarah baik yang Melayu atau bukan Islam akan memberi kelonggaran untuk saya menggubah keadaan tersebut," ceritanya.

Selain itu, Aida juga berkata sejak bertudung, dia sering membatas pergaulannya dengan lelaki bukan muhrim terutama sewaktu di lokasi.

Lantaran itu dia lebih senang membawa diri dan melakukan urusan sendiri.

Bukan saya nak tunjuk alim atau lagak tetapi saya melakukan itu semua untuk kebaikan diri sendiri. Biarlah orang nak pulau saya atau hilang kawan, daripada saya kehilangan keredaan-Nya.

Saya bahagia dengan cara kehidupan sekarang dan tahu Allah sentiasa bersama. Sebab itulah kalau kita melakukan sesuatu dan semua itu dibuat kerana Allah, insya-Allah hidup lebih berkat," katanya mengingatkan diri sendiri.

Pengalaman paling manis dalam hidup

Posted: 15 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

Antara gambar kenangan Shamsul sewaktu mengerjakan ibadah haji tahun lalu.

PASTI setiap individu yang pernah menunaikan ibadah haji menyimpan baik setiap kenangan yang diperolehi mereka sepanjang berada di Tanah Suci dan begitu juga buat pelakon dan pengacara, Shamsul Ghau Ghau.

Jelasnya, pengalaman menunaikan ibadah haji pada tahun lalu merupakan detik paling manis dalam hidupnya kerana kita sedang menjadi tetamu Tuhan yang Maha Esa dan pastinya, sesiapa juga akan berpendapat sedemikian.

Sebenarnya terlalu banyak kenangan manis yang disimpan sewaktu menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun 2012 yang lalu, boleh dikatakan setiap detik adalah yang manis dalam hidup saya.

Tetapi perkara yang paling saya ingat adalah sewaktu menunaikan wukuf di Arafah bersama jutaan masyarakat Islam lain dari seluruh pelosok dunia yang hadir bersama-sama untuk menunaikan haji.

Pada saat itu, hati ini benar-benar terasa dekat dengan Allah yang Maha Esa dan air mata juga tidak berhenti-henti mengalir memohon keampunan daripadanya atas kesilapan lalu," ujarnya mengimbau pengalaman menunaikan haji tahun lalu.

Shamsul atau nama penuhnya Shamsul Azahar Aliddin, turut menyuarakan dia tidak seakan-akan kekok untuk menyambut perayaan aidiladha tahun ini kerana hati dan ingatannya masih terkenang pengalaman tahun lalu.

Saya rasa kekok dan tidak tahu bagaimana mahu menyambut kedatangan aidiladha tahun ini kerana ingatan dan suasana aidiladha tahun lalu masih menebal di dalam hati.

Setiap hari terasa rindu seakan-akan mahu kembali ke Tanah Suci untuk melakukan ibadah yang sama sekali lagi," jelasnya yang baru sahaja mendapat cahaya mata ketiga pada 9 September lalu dan diberi nama Megat Ammar Azahar.

Perubahan perlahan-lahan

Pastinya, selepas kita kembali daripada menunaikan ibadah haji, kita akan berusaha untuk memperbaiki diri sekaligus melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dalam hidup.

Menurut Syamsul yang kini berusia 44 tahun, sejurus pulang daripada mengerjakan haji, dia memasang impian untuk perlahan-lahan berubah agar menjadi seseorang individu yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Pastinya setiap manusia mahu berubah ke arah kebaikan, tetapi bukanlah bermakna saya mahu berhenti daripada dunia lakonan kerana tidak ada salahnya untuk terus kekal dalam bidang ini.

Cuma mungkin saya akan memilih untuk menjayakan program yang bersesuai dengan keadaan semasa agar perubahan yang saya lakukan ini lebih bermakna buat diri dan keluarga tercinta," jelasnya berhubung karier seni.

Sungguhpun mengakui semakin kurang mendapat tawaran muncul di kaca televisyen semenjak tahun lalu, perkara tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus kekal dalam bidang yang sudah lama diceburi sebelum ini.

Pada penghujung bulan Oktober ini, Shamsul bakal terlibat dengan program berbentuk keagamaan di televisyen Al-Hijrah berjudul Hijrah Munawwarah sebanyak 13 episod.

Jelas Shamsul lagi, selepas menunaikan ibadah haji, keinginannya untuk mendalami ilmu agama semakin menebal dan apabila mempunyai kelapangan daripada jadual karier seni, dia akan mendalami ilmu agama dengan guru bertauliah.

Proses pembelajaran ilmu agama ini tidak boleh berhenti begitu sahaja kerana ia perlu didalami secara berterusan.

Buat waktu ini, apabila saya tidak terlibat dengan sebarang program, saya akan menghabiskan masa dengan aktiviti di masjid berdekatan rumah saya selain berguru dengan mereka yang bertauliah," jelasnya yang bakal melakukan korban untuk anak ketiganya tahun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved