Selasa, 15 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


JPM lulus bantuan RM80,000

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

WEE Jeck Seng (tengah) menyampaikan surat kelulusan kepada Ketua Kampung Sungai Bunyi, Noraini Turut di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai di Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 14 Okt. - Masalah bekalan air yang dihadapi oleh kira-kira 2,000 penduduk di dua blok Rumah Pangsa Jalan Parit Masjid di sini akan berakhir dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM80,000 oleh Jabatan Perdana Menteri.

Sejak mengalami masalah kerosakan sistem perpaipan dan pam air, penduduk terpaksa bergantung kepada lori tangki yang dibekalkan oleh Syarikat Air Johor Holding (SAJH) di bahagian bawah bangunan.

Menurut Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng, setiap blok rumah pangsa itu akan mendapat RM40,000 bagi membaiki sistem perpaipan yang selama ini menimbulkan masalah dan peruntukan turut diberikan oleh Unit Penyelaras dan Perlaksanaan (UPP) JPM bagi memasang sistem pam yang kerap mengalami kerosakan.

"Diharap dengan kelulusan ini dapat melegakan penduduk yang tidak lagi terpaksa beratur untuk mengambil air terutama bagi mereka yang tinggal di tingkat atas rumah pangsa tersebut. Ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM300,000 di bawah projek kecil pembangunan untuk diagihkan di kawasan Parlimen Tanjung Piai pada tahun ini.

" Saya terpaksa mengagihkan peruntukan tersebut kepada mana-mana kawasan yang memerlukan seperti kerja menaik taraf jalan, menurap jalan kampung, membaik pulih padang, membina astaka , sistem perparitan dan juga menaik taraf taman bimbingan kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Tabika Kemas) Taman Impian, Pekan Nanas," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai di sini hari ini.

Ujar Jeck Seng, beliau berjanji akan memberikan tumpuan bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan Parlimen tersebut akan sentiasa dibela sebagaimana janji semasa pilihan raya umum yang lalu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penduduk Rumah Pangsa Parit Mesjid, Saidon Sarian, 62, mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat yang begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk selama ini dan bersyukur isu air tersebut bakal selesai.

"Masalah ini kami hadapi sejak beberapa tahun lalu, kadang-kadang pulih tetapi pada tahun ini kerap berlaku terutama pada bulan puasa lalu sehinggalah selepas hari raya. Saya antara yang terawal menghuni rumah pangsa ini sejak dibuka pada tahun 1992 tanpa bekalan elektrik dan air seperti sekarang," katanya.

Syaiful ikrar kukuh perpaduan Pemuda JB

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

SYAIFUL Rizal Abd Ghani (lima dari kanan) diangkat oleh penyokongnya selepas diumumkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru di Dewan Sri Tebrau, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 14 Okt. - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru yang baharu, Syaiful Rizal Abdul Ghani, 39, berikrar mahu memastikan perpaduan sekali gus merapatkan saf dalam kalangan ahli pergerakan berkenaan.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Pemuda UMNO bahagian menyifatkan kemenangan itu sebagai tanggungjawab yang perlu digalas terutama dalam usaha mempersiap sayap berkenaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Syaiful Rizal yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta juga mahu meneruskan usaha menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti keramat Melayu itu dengan menggerakkan Pemuda bahagian secara aktif bagi tujuan tersebut.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan yang jelas mandat sudah diberikan kepada saya, sekali gus akan memegang amanah tersebut dengan perkara pertama adalah untuk merapatkan saf untuk menjalankan kerjasama lebih erat.

"Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik sepanjang bergelar Ketua Pemuda Bahagian," katanya selepas pengumuman rasmi sayap Pemuda bahagian itu di Dewan Seri Tebrau, di sini malam semalam.

Dalam pemilihan itu, Syaiful Rizal memperoleh sebanyak 160 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu Nornekman Osman (88), Musbah Yusof (61) dan Mohd. Tom Ghadafi Anwary (10).

Jawatan Naib Ketua Pemuda bahagian itu pula dimenangi Khairul Mohd. Amin (154) yang menewaskan Wan Saiful Bahri Wan Nawi (105) dan Azly Suhaimi Abdullah (44).

Seramai 309 perwakilan daripada 67 cawangan mengundi untuk memilih pemimpin sayap Pemuda bagi menerajui bahagian itu yang dikosong oleh Khalid Mohamed yang telah melepasi had umur.

Sementara itu, jawatan Ketua Puteri dan Naib Ketua Puteri bahagian itu dimenangi oleh Azura Mohd. Afandi dan Jamaeah Hashim yang menang tanpa bertanding.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved