Selasa, 15 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Mantapkan perkembangan syiar Islam

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh Metra Syahril Mohamed
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan berazam untuk terus memantapkan perkembangan syiar dan syariat Islam di negara ini seiring dengan program-program transformasi yang telah disusun.

Malah, Perdana Menteri menerusi perutusan sempena sambutan Aidiladha menegaskan, dalam sebuah negara yang memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan, kerajaan tetap istiqamah mendaulatkan kedudukan agama itu.

Jelasnya, kerajaan juga akan memacu negara ini menuju wawasan yang telah ditetapkan berpaksikan objektif-objektif syariah atau maqasid syariah.

''Mengambil iktibar betapa jemaah haji Malaysia terkenal sebagai model jemaah terbaik di Tanah Suci yang telah diiktiraf dunia, maka kita akan berusaha untuk muncul sebagai model sebuah negara Islam moden yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi.

''Harumnya nama Malaysia telah menjadi sebutan di persada dunia. Lebih membanggakan, dalam pengertian semangat pengorbanan menurut Islam, negara sentiasa komited menjadi penyelesai konflik umat Islam di negara-negara lain yang menuntut peranan Malaysia sebagai pendamai,'' katanya menerusi laman blognya http://www.1malaysia.com.my hari ini.

Najib memberitahu, Malaysia juga menerajui gerakan kesederhanaan dan keamanan di peringkat global bagi membendung gejala ekstremisme khususnya berkaitan agama.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Raya Korban esok, beliau berkata, Aidiladha merupakan satu syiar terbesar untuk diraikan dan disyukuri bersama.

''Aidiladha tersirat riwayat, falsafah, semangat dan rahmat. Sesungguhnya, Hari Raya Korban atau Aidiladha masih membara kepada kita dengan semangat Nabi Ibrahim, Saidatina Hajar dan anakanda mereka, Nabi Ismail serta pengorbanan mereka.

''Apabila kita menyentuh berkenaan ibadah haji mahupun ibadah korban, maka sudah pasti ingatan kita dibawa mengimbau peristiwa agung pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anak baginda semata-mata demi mentaati perintah Allah,'' ujarnya.

Menurut beliau, ketaatan itu disambut penuh keimanan oleh Nabi Ismail yang akhirnya disempurnakan kisah agung tersebut dengan kerelaan seorang isteri dan ibu dalam mendukung ketaatan seorang suami merangkap bapa dalam melaksanakan perintah Allah.

''Sekarang, sekitar 28,000 orang rakyat Malaysia sedang mengerjakan ibadat haji dan jutaan lagi di tanah air bersedia dengan ibadat korban. Semoga ibadat yang kita lakukan ini benar-benar menyuburkan semangat pengorbanan kita demi memperjuangkan agama dan meninggikan kalimah Allah.

''Di sini, saya dan keluarga mendoakan kepada yang berada di Tanah Suci semoga mendapat haji mabrur. Begitu juga yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid. Semoga sembelihan korban kita benar-benar diterima Allah serta meneguhkan lagi takwa kita,'' katanya.

Umat Islam perlu bersatu bina kekuatan ummah

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Umat Islam di negara ini diseru bersatu dalam membina kekuatan ummah yang mampu berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran semasa.

Penegasan tersebut disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat antara ancaman terbesar umat Islam kini adalah soal perpaduan yang mampu menjejaskan keamanan serta kedamaian yang dikecapi negara selama ini.

Untuk itu jelasnya, pergolakan yang berlaku di negara-negara Islam akibat sengketa sesama sendiri perlu dijadikan pengajaran supaya Malaysia tidak menerima nasib sama.

''Kita di Malaysia amat bertuah kerana dikurniakan sebuah negara yang aman dan damai.

''Oleh yang demikian, saya berharap umat Islam bersatu kerana hanya dengan kesatuan ummah, kita dapat membina kekuatan untuk menghadapi apa juga cabaran yang kini datang dalam pelbagai bentuk dan rupa,'' katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Aidiladha, hari ini.

Muhyiddin berkata, bersempena dengan sambutan Aidiladha yang diraikan esok (hari ini), umat Islam juga perlu menghayati erti pengorbanan yang sebenarnya yang tersirat di sebalik Aidiladha.

Antaranya ujar beliau, adalah sifat pengorbanan tinggi yang harus dimiliki oleh umat Islam bagi mencapai kejayaan yang diredai Allah SWT.

''Dalam hubungan ini, Islam sebenarnya menuntut umatnya supaya sentiasa memiliki kesabaran dan sanggup berkorban demi menegakkan syiar Islam dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

''Kesabaran dan pengorbanan yang benar-benar disandarkan atas sifat kehambaan dan ketakwaan kepada Allah, akan menjamin kejayaan yang cukup bermakna, seperti mana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dengan menuruti perintah Allah,'' katanya.

Beliau memberitahu, umat Islam seharusnya mengambil mesej penting itu sebagai panduan hidup seharian bagi menghadapi cabaran-cabaran berkenaan.

''Saya percaya dengan pendekatan itu, kita bukan sahaja akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan harmoni, malah lebih penting daripada itu, umat Islam akan sentiasa memperoleh rahmat dan keberkatan daripada Allah.

''Semoga dalam semangat Aidiladha ini umat Islam di Malaysia akan menjadi umat contoh kepada negara-negara Islam yang lain dan dihormati oleh penganut agama-agama lain. Jalani ibadah korban dengan ikhlas dan dengan niat mahu berkongsi nikmat kurniaan Allah bersama golongan yang memerlukan,'' jelasnya.

Sedia pertahan kalimah Allah

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (kanan) dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla (tengah) antara barisan peguam yang mewakili pihak perayu dalam rayuan mengenai kalimah Allah di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Semua pihak yang menjaga kepentingan agama Islam diminta jangan terleka dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan, The Herald kerana keputusan tersebut masih boleh dirayu ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, setiap pihak yang terlibat dengan usaha mempertahankan kesucian kalimah Allah perlu sentiasa bersedia bagi mendepani apa-apa jua rayuan seterusnya perkara yang berkemungkinan dilakukan oleh pihak Gereja Roman Katholik berhubung keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun, peguam Majlis Agama Islam Negeri Johor berhubung kes tuntutan kalimah Allah, Ikbal Salam mengakui keputusan tersebut telah meletakkan kembali kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan yang terhakis akibat kecelaruan penggunaan kalimah suci itu sebelum ini.

''Keputusan ini juga telah mengesah dan memperkukuhkan kuasa-kuasa pihak berkuasa agama Islam negeri untuk menggubal enakmen-enakmen dan akta-akta bertujuan melindungi ketinggian agama Islam.

''Perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan itu turut mengembalikan status quo bagi memastikan keharmonian antara kaum di sebuah negara majmuk perlu dipertahankan dengan cara mengelakkan rasa tidak selesa dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan tidak membenarkan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan pihak Gereja Katholik hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ikbal berkata, kes itu telah memberi contoh unik dalam konteks kerjasama perundangan apabila semua peguam majlis agama Islam diketuai oleh Datuk Zainur Rijal Abu Bakar yang membuat pencelahan berjaya membantu Jabatan Peguam Negara.

''Kesemua mereka terlibat dalam menyediakan hujah-hujah mantap bagi mempertahankan kesucian agama Islam selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,'' katanya.

Ikbal dalam kenyataannya turut menyentuh keperluan majlis agama Islam negeri-negeri melihat kembali dengan segera bahawa peruntukan perundangan yang berkuatkuasa di negeri-negeri benar-benar bertaring dan segar.

''Ini penting bagi memastikan tuntutan-tuntutan yang melewati garis sempadan agama Islam yang tidak pernah terfikir sebelum ini dapat dipertahankan dan dipatahkan,'' ujarnya.

Bagi melindungi Islam sebagai Agama Persekutuan disimpul mati, beliau mencadangkan supaya Perlembagaan dikaji semula bertujuan memasukkan peruntukan menyatakan setiap tuntutan atau saman berkaitan kesucian Islam di mahkamah awam perlu mendapat persetujuan Ketua Agama Islam negeri.

''Ini bermakna tuntutan perlu mendapat persetujuan daripada para Sultan atau Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri tidak beraja, cadangan ini bersesuaian dengan jaminan Perlembagaan bahawa Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri,'' katanya.

Beliau berkata, terdapat empat kesan ekoran daripada keputusan tersebut iaitu:

l Titular Roman Katholik Archbishop tidak dibenar untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald.

l Arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada pihak Roman Katholik melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald adalah sah dan mengikut lunas-lunas perundangan,

l Arahan Kabinet pada 5 Disember 1986 memutuskan bahawa empat istilah agama Islam iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah adalah eksklusif untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama lain.

l Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang bertanggungjawab menasihati Sultan dalam isu-isu agama Islam mempunyai kuasa untuk menentukan perkara-perkara berkaitan dengan kesucian Islam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved