Rabu, 18 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Utamakan KPI dulu - Khairy

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan MUHAMAD AZRIN MAD HEDER
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin (tiga dari kanan) meraikan kontinjen Malaysia yang akan beraksi pada Sukan Perpaduan Negara-Negara Islam Ketiga di Palembang, Indonesia dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menasihatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) tertentu jika mereka memutuskan untuk mengganti Datuk K. Rajagobal dengan mana-mana jurulatih terbaik, termasuk dari luar negara.

Katanya, jika jurulatih seperti Philippe Troussier dari Perancis menuntut sehingga RM416,000 untuk gaji bulanannya, itu adalah harga pasaran yang perlu dibayar setimpal dengan latar belakangnya sebagai antara jurulatih terbaik dunia.

"Jika dia yang terbaik tidak kira jurulatih tempatan atau luar negara, kita letakkan KPI, bukan bagi gaji begitu sahaja. Jika tidak tepati KPI, kita tamatkan kontraknya tetapi untuk dapatkan yang terbaik, mesti bayar gaji yang terbaik juga.

"Jangan sensasikan isu gaji yang akhirnya kita gagal dapat hasil yang terbaik akibat cemburu atau dengki," katanya selepas upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Perpaduan Negara-Negara Islam Ketiga, di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Beliau mengulas mengenai kebanjiran permohonan daripada 40 calon tempatan dan luar negara yang diterima FAM ekoran kontrak Rajagobal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bakal berakhir Disember ini.

Troussier, yang pernah membawa Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 dan menjuarai Piala Asia 2000 antara yang turut berminat.

Kata Khairy, kebanyakan pasukan negara lain juga dilatih oleh jurulatih luar, dan sebagai menteri, malah bekas Timbalan Presiden FAM, beliau hanya mahu melihat skuad Harimau Malaya mencapai kejayaan.

"Saya hendak pasukan kita berjaya kerana kita ada bakat yang baik dalam Harimau Muda A (bawah 23 tahun). Apabila memasuki skuad senior, mereka perlu bimbingan jurulatih terbaik dan berpengalaman yang dapat mengeluarkan potensi atlet," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy turut mengulas mengenai kekalahan terbaharu skuad sepaktakraw negara kepada Korea Selatan pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-28 di Udonthani, Thailand minggu ini.

"Saya memang sedih sebab kalah, namun apa yang harus dibuat pada masa depan dan pemulihan semula sukan yang dekat dengan negara kita ini, itu lebih penting," katanya.

Isnin lalu, Malaysia kalah kepada Korea dalam acara beregu di peringkat kumpulan, sebelum tewas sekali lagi dalam acara antara regu.

Bukan kerja bookie - On Jabbar

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Penyokong-penyokong Johor berkumpul di pintu masuk pemain selepas tidak berpuas hati pasukan tuan rumah terikat 2-2 menentang Sime Darby dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.

JOHOR BAHRU - Keputusan seri 2-2 antara Johor dan Sime Darby dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, kelmarin, nyata mengundang rasa tidak puas hati penyokong setia Johor.

Ini kerana, mereka mendakwa keputusan seri pada perlawanan kelima peringkat kumpulan antara kedua-dua pasukan itu seolah-olah mengiyakan berita yang tersebar di beberapa laman sosial Facebook minggu lalu kononnya perlawanan itu diatur bookie.

Ekoran daripada itu, suasana kecoh tercetus di stadium sejurus selepas perlawanan hampir sejam, namun ia berjaya diredakan apabila penyokong dipertemukan dengan beberapa wakil daripada pasukan Johor termasuk jurulatih dan pemain.

Bagaimanapun, dakwaan mereka kononnya perlawanan tersebut sudah diatur disangkal pengurus pasukan Johor, On Jabbar yang menyifatkan ia hanya kebetulan dan persepsi mereka kerana berdasarkan kesungguhan ditunjukkan pemain.

"Saya yakin perkara seumpama itu tidak berlaku dan percaya pemain Johor tidak terlibat. Kita dapat lihat kesungguhan yang ditunjukkan pada perlawanan tersebut, tak akan tiada siapa yang perasan kesungguhan mereka.

"Ada pemain yang beraksi dalam keadaan cedera, namun atas dasar semangat dan mahu memburu kemenangan, mereka meneruskan perjuangan dan memberikan yang terbaik dengan penuh semangat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada masa sama, On berkata, dia turut berasa terkilan kerana pemain tidak diberi sokongan sepenuhnya oleh penyokong dalam pertarungan 90 minit seperti sebelum ini disebabkan dakwaan kononnya terdapat unsur-unsur perlawanan diatur.

On juga berpendapat, kelab penyokong yang selama ini mempunyai hubungan baik dan rapat dengan persatuan sepatutnya memaklumkan perkara tersebut kepada mereka lebih awal jika terdapat sebarang keraguan sekali gus yakin dengan pasukan.

"Bagaimanapun, kita akan melakukan siasatan dan tidak akan berkompromi sekiranya wujud gejala yang didakwa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved