Rabu, 18 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kes liwat: Muhammad Shafee kekal wakili pendakwaan

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

PUTRAJAYA 18 Sept. - Peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah kekal mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya bagi kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pihak pembelaan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ramly Ali yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh berpuas hati pelantikan beliau selaku pendakwa raya bagi mengendalikan rayuan itu adalah sah di sisi undang-undang.

Mahkamah menetapkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, didengar pada satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Pendaftar.

Peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan memberitahu pemberita di luar mahkamah sejurus selepas prosiding, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Hakim Ramly ketika membacakan keputusan itu menyatakan, pelantikan Muhammad Shafee telah dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 di bawah Kanun Keseksaan serta Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menyatakan, pelantikan itu sah kerana Seksyen 379 yang antara lain memberi kuasa kepada pendakwa raya melantik seorang peguam mengendalikan kes jenayah, masih merupakan undang-undang yang baik.

Mahkamah berpendapat, Seksyen 376(3) yang menyatakan pendakwa raya boleh melantik mereka yang layak sebagai timbalan pendakwa raya, perlu dibaca secara harmoni dengan Seksyen 378 kerana kedua-duanya konsisten di antara satu sama lain.

Seksyen 378 pula menyebut hanya pendakwa raya, timbalan pendakwa raya kanan atau timbalan pendakwa raya boleh bertindak dalam rayuan jenayah, bukan pihak lain.

Kuorum itu turut berpendapat, tiada bukti material yang mencukupi bagi menyokong hujahan peguam bela bahawa Muhammad Shafee merupakan saksi yang berpotensi dalam kes itu.

Hakim Ramly menyatakan, Muhammad Shafee memang pernah direkodkan keterangannya dan ditawarkan sebagai saksi pembelaan ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah berpuas hati bahawa beliau tidak dipanggil sebagai saksi walaupun pernah ditawarkan sebagai saksi pembelaan. Perbicaraan pula selesai dan keputusan telah diumumkan.

Sehubungan itu, Hakim Ramly berkata, konflik kepentingan melibatkan Muhammad Shafee atas dakwaan melanggar Akta Profesion Guaman kerana bertindak selaku pendakwa raya dalam kes itu, tidak timbul.

Pada sebelah pagi, Karpal berhujah, Muhammad Shafee merupakan saksi material dalam kes liwat kerana beliau berada di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Mohd. Saiful Bukhari datang menemui Perdana Menteri (ketika itu Timbalan Perdana Menteri).

Sehubungan itu, Karpal menghujahkan, Muhammad Shafee seharusnya dilarang daripada mewakili pihak pendakwaan dalam rayuan itu kerana kehadirannya boleh menimbulkan persepsi yang tidak menyenangkan.

Karpal selanjutnya menghujahkan, Seksyen 379 tidak konsisten dengan Seksyen 378 yang telah dipinda berkuat kuasa pada 1 April 1998 yang jelas melarang pengamal undang-undang persendirian bertindak bagi pihak pendakwa raya dalam rayuan jenayah.

Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah, Peguam Negara boleh melantik sesiapa yang layak dan sesuai selaku pendakwa raya asalkan mereka berkebolehan, tidak mengalami masalah disiplin dan tidak diisytiharkan muflis bagi mengelakkan konflik kepentingan.

Muhammad Shafee menyatakan, beliau tidak pernah dipanggil sebagai saksi walaupun keterangannya telah direkodkan dan pada peringkat ini, perbicaraan telah selesai dan tiada kemungkinan keterangan baharu dikemukakan.

Permohonan Asoghan cabar DAP, Selasa depan

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

PULAU PINANG 18 Sept. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 24 September ini pengurusan kes berhubung permohonan bekas Ketua Cawangan Bagan Luar DAP, G. Asoghan untuk mencabar pemecatannya daripada parti tersebut.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Khairul Farhi Yusob hari ini dengan kehadiran Asoghan dan peguamnya, V. Amareson.

Bercakap kepada pemberita, Amareson berkata, isu keahlian anak guamnya itu perlu diselesaikan secepat mungkin memandangkan Asoghan telah menerima surat jemputan untuk menghadiri Kongres Khas DAP yang dijadualkan pada 29 September ini.

''Kita sedia maklum keahlian Asoghan telah ditamatkan oleh pihak atasan parti, oleh itu bagaimana beliau boleh menghadiri kongres tersebut?

''Isu ini perlu diselesaikan segera bagi menentukan sama ada keahlian Asoghan dalam DAP akan dikembalikan atau sebaliknya,'' katanya.

Pada Jun lalu, Asoghan, 56, memfailkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai dan setiausahanya, Tai Sing Piau serta ahli jawatankuasa yang terdiri daripada, M. Kulasegaran, Dr. P. Ramasamy dan Lim Hock Seng.

Asoghan mendakwa, pemecatan keahliannya adalah tidak sah memandangkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilantik melalui pemilihan pada 15 Disember lalu berikutan tidak berpuas hati dengan penjelasan parti itu berhubung dakwaan wujudnya penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan tersebut.

Sementara itu, Asoghan apabila ditanya sama ada akan hadir ke Kongres Khas DAP itu nanti memberitahu, semuanya bergantung kepada status keahliannya.

''Kalau keahlian saya dikembalikan kemungkinan saya akan hadir sebagai delegasi cuma apa yang saya kesalkan senarai calon yang bakal bertanding dalam kongres itu nanti seperti tidak relevan lagi.

''Pucuk pimpinan parti membuat ketetapan untuk mengekalkan calon sama dengan pemilihan Disember lalu sedangkan ada antara calon yang sudah tidak lagi menjadi ahli parti dan itu merupakan satu kerugian kepada ahli di cawangan apabila tidak dapat mengemukakan calon baharu untuk pemilihan,'' ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved