Rabu, 18 September 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


10 kenderaan mewah bukan milik saya - Suhaimi

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

SUHAIMI Ibrahim mempersoalkan laporan akhbar The Star pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 18 Sept. - Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim menegaskan sebanyak 10 kenderaan mewah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) bukan miliknya.

Beliau yang kesal dengan laporan media berhubung perkara itu berkata, kenderaan mewah tersebut milik individu lain yang turut disiasat dalam kes berkenaan sambil menegaskan tiada sebuah kereta, harta atau sebarang dokumen miliknya dirampas SPRM sehingga kini.

Menurutnya, kesemua 10 kenderaan mewah tersebut juga bukan milik proksi beliau sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

Sehubungan itu, Suhaimi yang juga bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta media berhati-hati melaporkan perkara tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya laporan tidak benar tersebut terus berulang.

Tambahnya, beliau tampil memberi penjelasan kerana yakin bebas daripada amalan rasuah selain mengambil sikap berani kerana benar walaupun mengakui dugaan yang diterima kali ini paling mencabar sepanjang hidupnya.

"Saya beritahu terus terang, 10 buah kenderaan mewah itu bukan milik saya tetapi milik individu lain yang turut disiasat dalam kes ini. Tapi media melaporkan seolah-olah hanya saya seorang sahaja yang disiasat. Lebih tujuh individu yang disiasat oleh SPRM dalam kes ini.

"Boleh tanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau sahkan sendiri dengan SPRM. Tiada sebuah kereta atau harta benda saya yang dirampas. SPRM juga tidak merampas sebarang dokumen. Saya datang memberi keterangan dengan sukarela," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri Kabinet dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 selepas ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana program 1Azam dengan 10 buah kenderaan mewah turut dirampas.

Menurut Suhaimi, jika benar terbabit dalam penyelewengan dana projek 1Azam, beliau tidak mungkin hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya Jumaat lalu berseorangan tanpa ditemani peguam.

"Pegawai SPRM telefon minta saya hadir. Saya datang sukarela tanpa ditemani peguam. Saya bagi kerjasama sebaik mungkin ketika disiasat selama lima hari kerana percaya saya bersih daripada rasuah. Selebihnya, biarlah SPRM buat kerja kerana saya tidak mahu ganggu siasatan," katanya.

Mengenai dakwaan rumahnya di Taman Melawati dekat sini, juga ada kaitan dengan penyelewengan dana program 1Azam, Suhaimi berkata, pihak yang membuat fitnah itu sepatutnya sedar beliau sudah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan seperti pembinaan, restoran dan pertanian sejak 1995.

"Tiada satu pun perniagaan itu ada kaitan dengan tugas saya sebagai bekas setiausaha politik sebelum ini. Saya beli rumah terbabit hasil rezeki melalui perniagaan. Jangan membuat tuduhan melulu tanpa siasatan," katanya.

Budak perempuan 5 tahun mati dilemaskan dengan asap oleh ibu bapa

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

Ibu dan bapa kanak-kanak berusia 5 tahun yang mati dilemaskan dengan asap dibawa oleh anggota polis di Sri Manja Square, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 18 Sept. - Seorang budak perempuan berusia lima tahun menjadi 'korban' ibu bapanya yang nekad mengambil keputusan cuba membunuh diri bersama abangnya berusia tujuh tahun akibat mengalami masalah hutang.

Dalam kejadian di sebuah rumah kedai milik saudara mereka di kawasan perindustrian Sri Manja Square dekat Jalan Klang Lama di sini, Mable Shiew Mun, 5, maut akibat dilemaskan di dalam asap daripada arang yang dibakar di kediaman tersebut pada 12 September lalu.

Kedua-dua pasangan berusia 50-an dan 30-an serta seorang lagi anak mereka dikenali sebagai Matthew berusia tujuh tahun bagaimanapun tidak mati.

Perbuatan kedua-duanya tidak terhenti setakat itu sebaliknya tetap cuba membunuh diri termasuklah pergi ke Klang, Selangor untuk mencari lokasi sesuai selain ingin menggantung diri di rumahnya.

Segala-galanya akhirnya terbongkar setelah kenalan mereka datang ke rumah pagi ini, untuk bertanyakan tentang ketidakhadiran Mable selama seminggu di sekolah tadika.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, rakan karib Mable mengadu kepada ibu bapanya tentang mangsa yang tidak hadir di tadika yang terletak di Jalan Othman di sini.

"Mereka datang dan mengetuk pintu dengan kuat pukul 8.30 pagi setelah mendapati keluarga itu ada di dalam rumah.

"Mulanya pasangan itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam rumah, namun selepas diugut untuk menghubungi polis, mereka beralah dan membenarkan masuk.

"Ketika itu, abang mangsa yang bersekolah darjah satu menerpa ke arah mereka dan memberitahu adiknya telah mati. Mayat mangsa kemudian ditemui di atas katil di dalam bilik utama dan juga melihat banyak arang di dalam rumah itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pasangan itu telah cuba membunuh diri bersama dua anaknya sekurang-kurangnya tiga kali.

"Pada malam 11 September lalu, mereka cuba membunuh diri di dalam rumah tetapi tidak berjaya dan pada keesokan harinya, mereka melakukan perkara sama dan kali ini, anak bongsunya meninggal.

"Dua hari selepas itu (13 September), mereka ke Klang untuk mencari lokasi bunuh diri tetapi membatalkan hasrat tersebut kerana takut. Kami percaya mereka membawa mayat mangsa bersama," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau seterusnya memberitahu, polis turut menemukan tali dipercayai untuk digunakan bagi mengantung diri di dalam rumah berkenaan.

Kata Arjunaidi, polis percaya motif pasangan terbabit mahu membunuh diri adalah akibat masalah kewangan dan setakat ini polis masih menyiasat kemungkinan penglibatan peminjam wang haram atau ah long dalam kes terbabit.

"Pasangan suami isteri itu telah ditahan di rumahnya hari ini manakala anak lelaki suspek akan diserahkan kepada saudara terdekat," katanya yang memberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.

Dalam perkembangan sama, seorang jiran yang dikenali sebagai Hajah Ros berkata, pasangan suami isteri itu adalah seorang yang peramah di samping mempunyai anak-anak yang baik.

"Biasanya anak-anak mereka terutama yang mati itu akan berlari-lari di koridor sambil diperhatikan ibunya. Saya terkejut diberitahu tentang tragedi ini kerana mereka menyayangi dua beradik itu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved