Isnin, 9 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Farmasi pandu lalu di Kuantan

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

NOROL Azali Sulaiman (tengah) menyerahkan ubat kepada pesakit dalam majlis perasmian farmasi pandu lalu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, semalam. Turut sama Dr. Norhizan Ismail (kiri).

KUANTAN 9 Sept. - Penghidap penyakit kronik tidak lagi perlu beratur mengambil ubat di kaunter perubatan apabila sebuah farmasi pandu lalu diwujudkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, kemudahan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dalam usaha mempelbagai serta mempermudahkan perkhidmatan untuk masyarakat.

"Farmasi itu akan memudahkan lagi urusan orang ramai khususnya pesakit mengambil ubat tanpa perlu beratur di kaunter ubat di hospital ini.

"Premis ini dilihat mampu menjimatkan masa dan kos pesakit terutama yang memerlukan serta diwajibkan mengambil bekalan ubat secara berterusan dan berkala," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kemudahan farmasi pandu lalu pertama di negeri ini di HTAA di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail.

Jelas Norol Azali, pesakit hanya perlu mendaftar selain menepati syarat dan kriteria ditetapkan bagi didaftarkan sebelum layak menggunakan kemudahan tersebut.

"Secara tidak langsung akan memudahkan orang ramai menjalankan urusan mengambil ubat secara mudah, pantas dan efisien," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Norhizan berkata, pesakit dengan preskripsi ulangan akan ditawar menggunakan perkhidmatan ini.

"Sekiranya pesakit bersetuju, mereka akan didaftarkan dan diberi bekalan ubat. Pesakit diminta menelefon talian khas perkhidmatan sebelum hari mengambil ubat.

"Apabila pesakit datang pada hari pungutan, mereka cuma perlu terus ke kaunter farmasi pandu lalu. Mereka hanya perlu serahkan kad pendaftaran dan ubat akan diserahkan," katanya.

Menurut beliau, dengan cara ini pesakit tidak perlu mencari tempat letak kenderaan dan tidak perlu berjalan atau beratur panjang.

"Sejak diperkenalkan Julai lalu, sebanyak 212 pesakit telah mendaftar dan daripada jumlah itu, 140 pesakit mengambil ubat dari kaunter tersebut," katanya.

Nafi pasar raya tempat ular berbisa

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

TEMERLOH 9 Sept. - Pihak pengurusan sebuah pasar raya di sini menafikan dakwaan di laman sosial kononnya premis tersebut menjadi tempat ular berbisa sehingga mengakibatkan seorang pelanggan maut akibat dipatuk haiwan itu pada 30 Ogos lalu.

Wakil pengurusan pasar raya tersebut, Ruzi Salida Abd. Rahman berkata, berita palsu itu disebarkan melalui laman sosial Facebook dan Twitter sehingga menggemparkan penduduk daerah ini.

Tambahnya, lebih mengejutkan berita tersebut turut menyatakan pasukan Bomba dan Penyelamat Temerloh menangkap 17 ekor ular di pasar raya itu.

"Kejadian itu disedari apabila saya menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang rakan yang memberitahu tentang kejadian seorang pelanggan dipatuk ular di pasar raya ini.

"Saya kemudian menghantar semula kepada majikan saya dan awalnya kami tidak endahkan perkara itu sehinggalah pada Isnin lalu semakin ramai pelanggan datang bertanyakan hal sebenar," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Hari Raya Aidilfitri di Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh di sini kelmarin.

Menurutnya, beliau menjelaskan dakwaan itu melalui akaun Facebook peribadinya dan turut meletakkan notis di pintu masuk pasar raya tersebut serta beberapa daerah lain di negeri ini.

Katanya, satu laporan polis dibuat Jumaat lalu dan berharap individu yang bertanggungjawab menyebar berita palsu tersebut ditangkap dan didakwa ke mahkamah.

"Kita telah menyimpan beberapa maklumat dan dakwaan beberapa individu di laman sosial terbabit yang menghebahkan perkara berkenaan kepada polis," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Hashnudin Hussain turut menafikan pihaknya menangkap 17 ekor ular berbisa di pasar raya berkenaan.

Berdasarkan rekod dalam buku panggilan di balai itu katanya, tiada sebarang panggilan dibuat oleh orang awam berhubung kejadian itu.

Maranvoice medium kongsi pandangan

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

MARAN 9 Sept. - Pengguna laman sosial Facebook dalam kalangan anak tempatan dan penduduk daerah ini dipelawa menyertai halaman Maranvoice sebagai medium alternatif menyuarakan pandangan serta aduan.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, Maranvoice yang dibangunkan tahun lalu itu kini disertai lebih 2,000 pelawat dengan memuat naik pelbagai maklumat berkaitan daerah ini.

"Penduduk terutama golongan muda boleh menyuarakan pandangan, cadangan dan permasalahan mereka di halaman ini secara terus.

"Kita ada saluran yang sebenar sekiranya sesuatu aduan mempunyai kaitan dengan agensi tertentu dengan mengisi borang secara manual, namun laman sosial dilihat sebagai medium alternatif," katanya di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved