Isnin, 9 September 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Tembus langkah pertama Luna

Posted: 08 Sep 2013 11:23 PM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
Gambar NOORADZRENE MOHD NOOR

Cinta keras buat kerjaya, Luna lebih senang begini.

KALAU mahu diikutkan namanya cukup terkenal bukan sahaja di negara asalnya tetapi juga di Malaysia. Gabungan kelebihan yang dimiliki memudahkan kariernya di dalam industri hiburan Indonesia terus di damba sehingga kini. Kalau boleh Hits mahu pembaca lupakan sebentar kontroversi video yang pernah menimpa pelakon cantik ini. Berbekalkan keupayaan yang dimiliki, ada sesuatu yang perlu kita tahu tentang Luna Maya kerana dia bukan sekadar menawarkan kisah peribadi tetapi keupayaan dirinya untuk memberi cinta tanpa kompromi terhadap bidang kerjayanya selama ini.

Mengetahui tentang soal itu, Luna memberitahu dia tidak pernah terfikir untuk meletakkan 'tarikh luput' buat kerjaya lakonannya. Baginya dia akui persediaan untuk beransur kurang itu sudah dimulakan, namun untuk melupakan terus bidang ini, bukan sesuatu yang pernah difikirkan.

"Sekarang ini juga saya lebih kepada kerja belakang tabir, selain sebagai penerbit saya juga menjadi pengarah.

"Jujurnya saya tidak pernah terfikir untuk berhenti terus daripada berlakon, saya pasti kalau sudah minat, perasaan rindu itu pasti akan terbit jika terlalu lama tidak berlakon nanti," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem terbarunya berjudul Tembus arahan Ahmad Idham, di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Jika mahu dibandingkan industri lakonan di seberang agak berbeza dari Malaysia, bukan sahaja dari segi cara kerja, kepadatan pelakon di sana juga lebih cepat berbanding di sini. Dengan kehadiran ramai muka baru saban tahun, Hits ajukan soalan kepada Luna bagaimana dia mampu memastikan namanya terus berada di kemuncak.

"Saya tidak pernah berasa terancam, bagi saya apa yang diperlukan seorang pelakon adalah bakat serta kesungguhannya.

"Sebagai seorang yang juga berada di belakang tabir saya sentiasa memerlukan pelakon baru, di mana saya mahu bekerja dengan mereka yang mempunyai bakat," katanya.

Mengetahui sikap profesional yang dimiliki dirinya, Luna mengakui dia agak cerewet untuk menerima tawaran. Baginya soal karier bukan sesuatu yang boleh diperjudikan memandangkan ini merupakan cinta pertamanya.

"Sebelum menerima tawaran, saya akan memastikan jalan cerita serta pengarah yang akan saya bekerjasama. Soalnya, sebagai pelakon saya perlu menitikberatkan perkara tersebut bagi memastikan dapat bekerja dalam keadaan aman, " jelasnya.

Tembus Malaysia

Merupakan kali pertama menerima tawaran untuk berlakon di negara ini menurut Luna niat untuk bekerjasama dengan produksi di sini sudah lama dipendamkan, bagaimanapun kekangan informasi yang dibekalkan membuatkan dia teragak-agak untuk menerima.

"Sejak sebulan lalu saya sudah melantik seorang pengurus di sini, Iman Tang. Memandangkan dia lebih arif mengenai industri di sini, ini telah memudahkan kerja saya.

"Mula-mula ditawarkan berlakon di dalam filem Tembus, Tang sudah menjelaskan kepada saya siapa pengarah dan pelakon yang akan saya bekerjasama. Ternyata nama-nama yang disebut seperti Aaron Aziz dan Fazura bukan asing buat saya," katanya.

Tidak menolak perjalanan dunia perfileman di Indonesia agak lembap berbanding Malaysia, bagi Luna itu bukan sebab utama mengapa dia mencuba nasib di sini.

"Di sana untuk melihat sebuah filem itu box office agak susah berbanding di sini, jadi saya simpulkan penonton di Malaysia berbeza dari di sana.

"Bagaimanapun saya tidak berada di sini kerana kecewa dengan dunia perfileman di sana, ia lebih kepada mencuba," katanya.

Bakal memulakan penggambaran filem terbitan serta arahannya sendiri pada hujung tahun ini, menurut Luna kehadirannya di Malaysia juga bagi mencari pelakon di negara ini yang akan turut sama berada di dalam filemnya itu nanti.

"Sebuah filem romantik komedi, tetapi saya belum pasti tajuknya. Saya akan bertindak sebagai penerbit dan pengarah, sama ada saya akan turut berlakon itu belum pasti. Tapi memenatkan jika saya berlakon juga.

"Memandangkan saya sudah mempunyai pengurus di sini urusan mencari seorang pelakon Malaysia akan lebih mudah untuk filem saya nanti, siapa dia belum pasti cumanya saya mahu seorang pelakon wanita," katanya.

Lawak Ke Der 3 tampil wajah baru

Posted: 08 Sep 2013 11:23 PM PDT

Hans Isaac bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (tiga dari kanan) dan barisan pelawak yang terlibat dengan Lawak Ke Der 3.

Program lawak popular yang dipentaskan di Istana Budaya, Lawak Ke Der bakal kembali menggegarkan panggung berprestij negara itu untuk musim ketiga bermula pada 3 hingga 6 Oktober depan.

Dalam usaha untuk menyuntik kelainan serta memberikan idea dan pengisian baru, pihak penerbit bertindak menggunakan kombinasi muka lama dan baru untuk enam pementasan yang akan berlangsung dalam tempoh ditetapkan.

Penerbit dan pengarah pementasan, Hans Isaac berkata, untuk musim terbaru program jenaka ini, dia mahu memastikan penonton yang hadir terhibur dengan jenaka-jenaka baharu dan bukannya jenaka yang digunakan berulang kali.

"Disebabkan itu, saya memilih untuk menggabungkan wajah lama dan wajah baru bagi memberikan kesegaran pengisian jenaka untuk penonton yang bakal hadir nanti.

"Pastinya individu yang pernah terlibat sebelum ini akan hadir kembali memeriahkan pentas Lawak Ke Der tetapi demi untuk membawa konsep baharu, tidak salah rasanya kita menukar pelawak.

"Selain itu, pertukaran ini turut memberi ruang dan peluang kepada individu-individu lain untuk mengetengahkan bakat komedi yang dimiliki mereka," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya, baru-baru ini.

Program Lawak Ke Der 3 bakal menyaksikan pelawak Harith Iskander dan Nabil Ahmad dikekalkan selain menampilkan muka baharu di pentas program tersebut iaitu kumpulan Jambu dan juga Douglas Lim.

Tambah Hans dia bersetuju untuk meneruskan program yang sudah berlangsung buat dua musim ini kerana melihat kepada sambutan baik yang diberikan masyarakat kepada penganjuran musim terdahulu.

"Perkara yang baik tidak salah untuk diulangi, lagipun saya berpuas hati apabila dapat melakukan suatu kerja yang banyak membawa kegembiraan kepada masyarakat dan Lawak Ke Der 3 ini adalah salah satu daripadanya.

"Seperti semua sudah maklum saya sudah menarik diri daripada mahu terlibat dengan penerbitan filem Melayu tempatan, jadi fokus saya kini lebih banyak untuk pementasan teater," katanya yang juga sedang giat merancang untuk sebuah lagi projek teater berhubung legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mohd. Mokhtar Dahari.

Sebanyak enam pementasan akan dijalankan dan harga tiket untuk menyaksikannya adalah di antara RM43 hingga RM193 dan tiket boleh didapati dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau hadir terus ke kaunter Istana Budaya.

Berpegang pada janji

Umum sudah tahu tindakan Hans yang meluahkan kekecewaannya dengan industri perfileman tempatan apabila filem Lemak Kampung Santan arah dan lakonnya itu gagal mendapat sambutan seperti dijangka setelah tempoh tayangannya dipendekkan.

Tetapi bagaimana pula dengan rancangan Lawak Ke Der 3 kerana musim kedua dahulu program ini berjaya dibawa masuk ke pawagam dan mendapat sambutan tidak kurang hebatnya.

Jelas Hans, dia akan berpegang kepada kata-katanya beberapa minggu lalu iaitu dia tidak akan melaburkan wangnya sendiri untuk memasuki pasaran di pawagam kerana tidak berpuas hati dengan sistem yang diamalkan oleh industri.

"Saya tidak mahu komen lagi berhubung perkara itu. Tetapi saya akan mengotakan kata-kata saya bahawa selagi industri dan sistem yang digunakan tidak berubah, saya tidak akan melaburkan wang dalam pembikinan sesebuah filem.

"Begitu juga dengan Lawak Ke Der 3 kerana saya telah menjual hak tayangannya kepada pihak ketiga. Apa yang mahu mereka lakukan dengannya nanti terpulang kepada mereka," katanya.

Namun begitu menurut Hans, dia tidak menolak untuk mengarah atau membintangi mana-mana filem yang dirasakan sesuai selagi tidak memerlukannya mengeluarkan wang ringgit sendiri.

"Saya masih kekal sebagai pelakon dan pengarah, cuma sudah serik untuk menanggung kerugian. Untung besar atau kecil bukan keutamaan buat saya tetapi apa yang penting adalah pulangan yang berbaloi," jelasnya yang juga tidak menolak untuk menghasilkan filem untuk pasaran bukan Melayu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved