Isnin, 9 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Doktor rujuk Muhdalena ke Jabatan Psikiatri - Saksi

Posted: 09 Sep 2013 11:44 AM PDT

Muhdalena Ahmad

PUTRAJAYA 9 Sept. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Muhdalena Ahmad dirujuk ke Jabatan Psikiatri selepas sepasukan doktor yang merawatnya mengambil kira keadaan wanita itu ketika menjalani rawatan serta perkara yang dilakukannya sewaktu kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), tahun lalu.

Dr. Siti Norhani Rafan, 31, berkata, keputusan bersama itu dicapai oleh sepasukan empat doktor terdiri daripada Ketua Jabatan Ortopedik, Hospital Putrajaya, pakar ortopedik, dan dua pegawai perubatan termasuk dirinya.

Beliau yang kini bertugas di Hospital Serdang memberitahu, Muhdalena dirawat selama 17 hari bermula 10 Julai hingga 27 Julai tahun lalu, berikutan kecederaan yang dialaminya dalam kejadian tersebut.

Beliau menyatakan demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Muhdalena, 28, yang didakwa melakukan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di JPM manakala Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, yang mengaku dirinya `Imam Mahadi' terbunuh dalam kejadian berkenaan.

Menurut Siti Norhani, tertuduh dirawat dan diberi antibiotik serta ubat penahan sakit selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang tertanam di bahagian kaki kanannya.

Ketika ditanya peguam M. Visvanathan yang mewakili tertuduh berhubung jumlah peluru tertanam, doktor tersebut hanya menyatakan, kecederaan itu disebabkan oleh peluru dan cebisan peluru kecil.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd. Izhar yang mengendalikan pendakwaan, saksi menyatakan, peluru dan cebisan-cebisan peluru itu tidak berjaya dikeluarkan walaupun selepas tertuduh dibedah.

Siti Norhani menjelaskan, ini kerana peluru dan cebisannya tertanam terlalu dalam dan berhampiran salur darah besar yang akan membahayakan pesakit.

Saksi selanjutnya menyatakan, keadaan Muhdalena sepanjang rawatan adalah stabil, tekanan darahnya normal serta luka di bahagian terkena tembakan kelihatan bersih manakala kakinya mampu digerakkan seperti biasa.

Menurutnya, pada akhir sesi rawatan sebelum dikeluarkan dari Wad Ortopedik, keadaannya stabil manakala luka yang dialami akibat terkena tembakan juga bersih dan kering.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh memberitahu, pihak pendakwaan bersedia menutup kes selepas dua saksi terakhir termasuk pegawai penyiasat memberi keterangan.

Hakim Mohd. Kamil Nizam kemudian menetapkan perbicaraan disambung pada 2 dan 3 Oktober depan.

Kalmizah turut menyatakan, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menolak surat representasi yang dihantar oleh peguam bela tertuduh dan mengarahkan agar kes itu diteruskan hingga selesai.

Dua pegawai kanan syarikat peruncitan didakwa

Posted: 09 Sep 2013 11:44 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Dua pegawai kanan sebuah syarikat peruncitan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang pengurus syarikat pemasaran berjumlah RM150,000 berhubung penjualan premis perniagaan kedai serbanika, lapan bulan lalu.

Pengarah syarikat Kopais Konsortium (M) Sdn. Bhd., Rosinah Ahad, 25, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mohd. Syawaludin Siran, 38, didakwa bersama-sama menipu Pengurus syarikat Medicoptic Sdn. Bhd., Noorzita Baharudin, 48.

Mereka didakwa memperdaya wanita itu untuk mempercayai mereka boleh menjual kepadanya premis perniagaan kedai serbaneka 24 jam Station Rakyat di No. 56, Plaza Usahawan Crystal Ville, Jalan Danau Niaga 1, Taman Danau Kota, Setapak, di sini.

Perbuatan mereka itu telah mendorong Noorzita menyerahkan deposit berjumlah RM150,000 melalui tiga keping cek ke dalam akaun Maybank syarikat Kopais Konsortium, untuk membeli premis perniagaan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No. 5, Jalan Wangsa Delima 1A, KLSC 3, Wangsa Maju di sini, kira-kira pukul 11 pagi, 7 Januari lalu.

Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan, Zulkifli Osman mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Beliau mencadangkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Rosinah yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM5,000 dengan alasan dia masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Mohd. Syawaludin juga memohon jumlah yang sama kerana menanggung empat anak yang masih kecil.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved