Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kebijaksanaan sempurnakan tugas Polis

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan izin dari-Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke upacara perasmian Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Daerah Sungai Siput.

Pasukan Polis dipertanggungjawabkan dengan tugas utama lagi penting dalam sesebuah negara untuk memastikan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara. Dalam melaksanakan tugas tersebut, Pasukan Polis perlu arif lagi bijaksana mengimbangkan peranan yang mempunyai akauntabiliti kepada negara dan kepada warga.

Dalam memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan, Pasukan Polis diperuntukkan dengan kuasa yang luas untuk menguatkuasakan undang-undang. Kebijaksanaan menyempurnakan tugas secara tegas, adil lagi saksama akan menentukan tahap penghormatan dan kepercayaan warga terhadap Pasukan Polis, hatta mengukuhkan integriti kepimpinan negara di kaca mata warga. Pasukan Polis yang berwibawa adalah Pasukan Polis yang dihormati lagi senang didampingi, dan bukannya Pasukan Polis yang ditakuti dan dijauhi; ia dianggap dan diterima sebagai rakan, memiliki tahap kebolehpercayaan yang tinggi serta mencerminkan dirinya sebagai kumpulan profesional yang berintegriti.

Penghormatan dan kepercayaan akan diperoleh melalui kejayaan pasukan membuktikan keupayaan memenuhi peranan secara profesional, berdisiplin dan berintegriti; menguatkuasakan undang-undang secara adil - secara saksama, tanpa memihak - tanpa prejudis, serta keupayaan menyempurnakan tugas secara cekap, pantas lagi telus.

Dalam konteks semasa dunia, tugas Pasukan Polis semakin mencabar. Warga pada hari ini semakin terpelajar, semakin celik undang-undang, semakin sedar akan hak asasi masing-masing dan semakin mempunyai akses kepada pelbagai maklumat. Pasukan Polis memiliki bilangan anggota yang ramai. Sering kali salah laku oleh anggota yang amat kecil bilangannya, mengakibatkan imej keseluruhan pasukan tercemar dan pasukan menghadapi persepsi negatif di kaca mata warga.

Pasukan sewajarnya memberikan perhatian serius untuk memastikan imej pasukan tidak tercalar dan persepsi negatif masyarakat terhadap pasukan berjaya ditangani secara berkesan.

Di samping melaksanakan tugas-tugas perisikan keselamatan, pencegahan jenayah, penguatkuasaan undang-undang dan memastikan ketenteraman awam terpelihara, Pasukan Polis pada hari ini amat perlu memberikan tumpuan kepada usaha-usaha membina imej positif lagi meyakinkan. Menangani isu siar raya dan pengendalian media secara bijak adalah satu keperluan yang wajib dan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa.

Reaksi terhadap berita melalui kenyataan yang bersifat impulsive tanpa penelitian dan penghalusan, bila dilakukan, lebih membawa mudarat dan lebih memburukkan imej pasukan.

Di era negara berhadapan dengan ancaman komunis, kebijaksanaan negara mengendalikan pendekatan perang saraf dan gerak saraf adalah antara instrumen yang berperanan besar, berjaya membawa warga lebih memahami dan lebih menghargai langkah-langkah kerajaan hingga pada akhirnya musuh negara dapat disisihkan.

Memperkenalkan dan melaksanakan program gerak saraf dan perang saraf secara berkesan untuk memenangi minda warga wajiblah difikirkan, diperkenalkan dan dilaksanakan dengan kaedah yang lebih meyakinkan.

Hari ini, warga tidak sekadar menuntut kepada fakta nyata tetapi bersifat lebih kritis terhadap cara sesuatu fakta disampaikan.

Jika maklumat disampaikan dengan kaedah yang kurang bijaksana, keterlaluan sifat berat sebelahnya, ia bukan sekadar gagal meyakinkan malah lebih mirip untuk meningkatkan keraguan di hati warga; lalu warga memilih untuk lebih terpengaruh dengan sumber makluman alternatif.

Suasana sebegini bukan sekadar semakin memisahkan warga dengan kerajaan malah akan semakin menyemaikan keraguan warga terhadap integriti pelbagai instrumen kerajaan, merangkumi persepsi warga terhadap Pasukan Polis.

Pasukan Polis sedang berhadapan tanggungjawab berat untuk memastikan tidak berlaku krisis keyakinan terhadap kewibawaannya.

Segala langkah hendaklah dilakukan supaya Pasukan Polis di negara ini tidak akan menghadapi masalah krisis keyakinan seperti yang di alami oleh Pasukan Polis di Negara Ketiga.

Selagi tugas-tugas kepolisian kukuh dilandaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang, tidak melindungi sebarang perbuatan salah laku, tidak partisan, tidak berpihak, tidak berat sebelah, Insya-Allah imej dan keyakinan warga terhadap Pasukan Polis akan terus dapat dipertahankan.

Rukun Negara menggariskan lima prinsip untuk memastikan kerukunan bernegara; Pertama: Kepercayaan kepada Tuhan, Kedua: Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Ketiga: Keluhuran Perlembagaan, Keempat: Kedaulatan Undang-Undang, Kelima: Kesopanan dan Kesusilaan.

Prinsip pertama menyentuh pegangan keimanan individu dengan Tuhan Maha Pencipta. Insan yang memiliki pegangan iman dan agama yang kukuh, akan berani berdiri atas prinsip menegakkan kebenaran dan keadilan.

Prinsip pertama berserta empat prinsip lain mempunyai hubungan langsung dengan tugas harian kepolisian. Aspek-aspek Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan hendaklah dijadikan panduan dan pegangan, sepanjang waktu para anggota melaksanakan tugas.

Komponen-komponen tersebut dan penghayatan kepada komponen-komponen tersebut amat perlu ditekankan dalam kurikulum latihan para anggota demi memastikan tidak berlakunya kegelinciran keadilan semasa para anggota memenuhi amanah dan tanggung jawab.

Pada keseluruhannya, Pasukan Polis telah menyempurnakan tugas cemerlang, berperanan sebagai tulang belakang menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara hingga membolehkan ekonomi negara berkembang, kemakmuran negara dicapai, keselesaan hidup warga kekal terjamin dan kedaulatan negara dipertahankan.

Dalam senario semasa negara dan dalam menghadapi warga yang semakin literate, imej positif pasukan akan dapat ditingkatkan lagi jika pasukan bijaksana mengimbangkan formula perundingan dan konsultasi dengan pelbagai badan bukan kerajaan dan menggunakan elemen tekanan atau force secara yang paling selektif dan dalam keadaan yang benar-benar memerlukannya.

Beta menzahirkan penghargaan kepada pengorbanan dan jasa bakti setiap anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia yang telah melakukan pelbagai pengorbanan, baik dalam kalangan anggota yang masih aktif berkhidmat, begitu juga dalam kalangan mereka yang telah bersara, serta kepada para anggota keluarga mereka yang telah sama-sama melakukan pengorbanan.

Ramai anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia telah terkorban ketika bertugas untuk negara dan warga, dan disemadikan tanpa nisan bernama. Semoga pengorbanan mereka dianugerahkan oleh Ilahi ganjaran dunia kepada keluarga mereka dan ganjaran akhirat ke atas roh-roh mereka.

Sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah terkorban, sama-samalah kita membacakan surah Al-Fatihah, semoga amal dari bacaan surah tersebut diterima Ilahi dan ganjarannya disampaikan kepada saudara-saudara kita yang telah kembali menyahut seruan Ilahi. Al-Fatihah.

Pasukan propaganda UMNO perlu diperkuatkan

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Pahit-Pahit Kopi

HAMPIR dua bulan Pilihan Raya Umum Ke-13 berlalu. Dalam beberapa hari lagi akan muncul pula Pilihan Raya Kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Dr. A. Rahman Mokhtar baru-baru ini.

Keputusan PRU-13 telah menunjukkan petanda kebangkitan pengaruh jentera propaganda pakatan pembangkang. Jika tidak dilawan maka jentera propaganda BN akan ketinggalan. Sebaliknya pengundi akan lebih menerima dakyah, fitnah dan cerita rekaan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.

BN nampak tewas dalam persaingan menentang media sosial propembangkang yang kebanyakannya menyebar fitnah. Persepsi rakyat terhadap keburukan kerajaan dan pemimpin BN makin hari makin kukuh kerana maklumat yang betul dan penjelasan isu-isu daripada media perdana prokerajaan tidak sampai kepada sasaran.

Peranan menepis dan menyanggah itu patut dipikul oleh beribu-ribu anggota penerangan UMNO di seluruh negara.

Di sebelah Semenanjung Tanah Melayu ini, parti komponen BN banyak bergantung kepada kekuatan UMNO. Hilang pengaruh UMNO, bahayalah kedudukan parti BN lain.

UMNO kena perbetulkan senario ini demi memastikan ia kembali menjadi parti yang berpengaruh dan kuat.

Biarlah UMNO tidak pandai membuat fitnah dan bercakap bohong seperti diamalkan pihak pembangkang tetapi penjelasan tentang sesuatu isu perlu meyakinkan rakyat.

Politik adalah sejauh mana ahli politik mampu meyakinkan rakyat terhadap kenyataannya.

Kini fikiran rakyat terhadap politik sudah berbeza. Rakyat sekarang melihat sesuatu isu dari sudut logik, dan bukannya retorik. Lihat bagaimana retoriknya Anwar Ibrahim bila berceramah tetapi retoriknya itu disokong dengan fakta oleh penyokong-penyokong kuatnya termasuk media sosial.

Malangnya BN atau UMNO kurang memberi penjelasan sebenar dan meyakinkan. Jawapan setiap tuduhan yang dilontarkan kepada BN dibalas dengan kurang jelas.

Ini cabaran paling besar kepada pasukan Penerangan UMNO yang ada beberapa kerat sahaja di Bangunan UMNO, PWTC.

Kalau UMNO sudah membuat bedah siasat punca kekalahan 33 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri, mereka mungkin tahu di mana perlu dibaiki.

Jangan salahkan pengundi sahaja jika mereka gagal diyakinkan untuk menyokong BN.

Petugas bahagian penerangan UMNO dan BN perlu pandai berkomunikasi dan memperjelaskan kepada rakyat supaya mereka dapat bezakan retorik yang diputar-belitkan oleh pembangkang dengan kebenaran.

Kerja parti politik ialah memberi penerangan, jawapan dan penjelasan yang benar, ikhlas dan meyakinkan.

Sebagai sebuah parti yang besar, peranan Penerangan UMNO bukan sekadar memberi maklumat dan penerangan kepada ahli, sebaliknya menjalankan kerja-kerja propaganda untuk parti. Itu tugas hakikinya.

Dengan jumlah staf yang ada sekarang, rasanya belum mencukupi.

Kata seorang strategis yang ditemui, Ketua Penerangan UMNO perlu seorang yang menjalankan tugas sepenuh masa dan tidak terlibat dalam Kabinet.

Dalam masa yang mencabar ini, pemimpin yang duduk di kerusi Ketua Penerangan UMNO perlu serius untuk menggerakkan strategi berkesan bagi mengatasi segala kelemahan dalam PRU-13.

Sebab itu UMNO perlu ramai pakar strategis dan risikan. Begitu juga dalam kalangan pensyarah universiti, beri mereka peluang yang sepatutnya. Ada ramai tenaga bidang strategik yang boleh dicari oleh UMNO.

Politik juga umpama perang yang memerlukan buah fikiran banyak pihak untuk merancang strategi dan menawan sesebuah kawasan. Jadi cari dan gunakalah mereka sekarang.

UMNO tahu pihak pembangkang mempunyai cyber trooper yang cukup teratur. Bukan semua mereka itu cerdik. Tetapi gerak kerja mereka tersusun dan strategik.

UMNO boleh juga melakukan ini dengan melantik anak-anak muda yang sedia membantu Penerangan UMNO. Ada yang pernah berkhidmat.

Tapi sumbangan tidak dihargai. Berilah pengiktirafan kepada mereka.

Dalam PRK Kuala Besut nanti, gunakan betul-betul mereka itu dan jangan syok sendiri sahaja kerana terlalu yakin boleh menang lagi.

Kalau perlu, guna sepenuhnya 20,000 pegawai penerangan UMNO di peringkat cawangan, 18,000 ketua penerangan Wanita, 15,000 ketua penerangan Pemuda dan 7,000 pegawai penerangan Puteri UMNO.

Kesemua mereka boleh digerakkan dengan lebih agresif dan dibekalkan dengan maklumat benar sebagai menangkis isu-isu yang berlaku di peringkat akar umbi.

Ingatlah, UMNO tak boleh guna cara lama lagi. Gunalah strategi baru. Propaganda pun kena kuat dan meyakinkan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved