Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Analisis saintifik bukti halal

Posted: 30 Jun 2013 11:44 PM PDT

Oleh LAUPA JUNUS

Hardiyanti Ben (kiri) memberi taklimat kepada sebahagian peserta seminar Eksekutif Halal mengenai analisis kandungan yang dijalankan. di makmal TPM Biotech di Kuala Lumpur.

INDUSTRI halal khususnya makanan kini berkembang. Kesedaran pengguna untuk mendapatkan dan mengetahui kepentingannya juga semakin meningkat.

Ini mendorong usahawan makanan menghasilkan produk halal dan menjadi cabaran kepada mereka khususnya usahawan beragama Islam merebut peluang tersebut.

Cabarannya jelas, iaitu bagaimana menentukan hasil makanan itu halal dan tidak menimbulkan kesangsian di kalangan pengguna.

Atas kesedaran itu juga Technology Park Malaysia (TPM) menggerakkan misi dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk memastikan ketulenan sesuatu produk halal.

Antara bidang sains dan industri yang menjadi tumpuan TPM yang beroperasi di Bukit Jalil, Kuala Lumpur ialah bioteknologi yang mana menerusi anak syarikatnya TPM Biotech, menawarkan perkhidmatan analisis halal kepada industri dan pengusaha.

Analisis halal yang dijalankan syarikat ini tertumpu kepada perkhidmatan untuk industri yang mahu memohon sijil halal dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Menurut Eksekutif Kanan Juruanalisis Sains dan Perniagaan TPM Biotech, Hardiyanti Ben, kesedaran pengguna termasuk industri dalam aspek halal masih rendah tetapi ada peningkatan.

Oleh sebab itu semakin banyak industri menyedari mereka perlu mengetahui kandungan bahan yang dihasilkan bagi menentukan sama ada halal atau sebaliknya.

Sebagai langkah awal katanya, dalam proses menyedarkan industri supaya lebih memahami konsep dan pelaksanaan halal dalam operasi mereka, pegawai halal diberi pendedahan awal dalam aspek tersebut.

''Kesedaran di kalangan masyarakat dan industri perlu dipertingkatkan dan kami mulakan dengan program kesedaran dengan mahasiswa," katanya ketika ditemui pada program Eksekutif Halal melibatkan 43 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di Makmal Sains Halal TPM Biotech di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hardiyanti menjelaskan, analisis halal haruslah bermula dengan bahan atau ramuan bahan mentah dan seterusnya produk akhir yang sewajarnya perlu melalui proses analisis terlebih dahulu.

Analisis tersebut dapat membantu dalam proses pensijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan membantu mengelakkan syak wasangka di kalangan pengguna masyarakat Islam.

"Di TPM Biotech, kami menjalankan analisis halal bukan bergantung kepada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sahaja, tetapi ada analisis lain seperti analisis asid lemak, protein dan juga analisis lipid," katanya.

Antara perkara yang perlu diberi keutamaan kata Hardiyanti, ialah menanam kesedaran di kalangan industri bahawa memiliki sijil halal sahaja tidak mencukupi.

Sebaliknya kata beliau, perlu ada usaha-usaha penguatkuasaan.

Tanggungjawab menyedarkan kepentingan analisis halal tersebut terletak di bahu pelatih atau pegawai halal syarikat pengeluar terbabit.

Program yang TPM anjurkan itu kata beliau sudah dimulakan 2011. Kini melibatkan kumpulan kelapan membabitkan 30 penyertaan dalam usaha membantu HDC memperkasakan bidang halal.

IPPH teraju penyelidikan halal

Posted: 30 Jun 2013 11:44 PM PDT

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Dr.Russly Abd. Rahman menyelia seorang Pegawai Sains IPPH, Siti Munira Abd. Razak ketika menjalankan ujian di makmal institut tersebut di Serdang baru-baru ini.

TAKRIFAN halal bukanlah sekadar kepada kandungan bahan yang terdapat dalam sesuatu makanan, malah kaedah penyediaannya juga perlu dititikberatkan.

Malah satus halal turut dititik berat dalam apa juga produk keperluan harian dan tidak semestinya berkaitan makanan.

Masyarakat Islam hari ini juga semakin memahami malah begitu teliti dalam pemilihan makanan, produk-produk kesihatan serta pelbagai lagi barangan harian yang berstatus halal.

Bahkan, masyarakat bukan Islam juga semakin menerima produk yang memiliki status halal adalah lebih bersih serta suci.

Menyedari status halal sesuatu produk itu amat penting bagi umat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengorak langkah menubuhkan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH).

Menurut Pengarah IPPH, Profesor Dr. Russly Abd. Rahman, institut tersebut ditubuhkan bagi mengendalikan kajian saintifik berkenaan bahan-bahan terlarang bagi umat Islam yang terdapat di dalam makanan dan produk lain.

"Di IPPH kami melakukan kajian aspek halal secara menyeluruh seperti sains sosial serta kajian syariah.

"Di sini kami juga dilengkapi dengan makmal, fakulti serta jabatan-jabatan yang melakukan penyelidikan berkenaan sains halal," katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPPH, UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Dr. Russly, terdapat pelbagai teknik untuk mengesan bahan terlarang seperti khinzir dalam produk-produk makanan, perubatan serta komestik.

"Penyelidikan yang dilakukan adalah lebih fokus ke arah kaedah dan cara-cara menganalisis bagi mengesan bahan-bahan yang tidak halal.

"Apabila bahan-bahan tersebut dapat dikesan keputusan tersebut akan diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan," katanya.

Selain itu, IPPH juga melaksanakan kajian berkenaan bahan alternatif untuk digunakan dalam produk yang dikesan mengandungi bahan terlarang.

"Contohnya penggunaan bahan terlarang yang dikenali sebagai gelatin dalam produk makanan di mana bahan tersebut dihasilkan daripada khinzir.

"Justeru itu kita di IPPH cuba mencari bahan lain yang sesuai yang menyerupai gelatin khinzir bagi mengelakkan penggunaan bahan terlarang tersebut," katanya.

Antara penemuan IPPH bagi menggantikan gelatin haram adalah seperti gelatin yang diperoleh daripada ikan.

Dalam pada itu, di IPPH juga terdapat Makmal Polisi dan Pengurusan Halal (LPPH) yang berfungsi sebagai pusat kajian berkenaan sains sosial, syariah, kepenggunaan, polisi serta kaedah pemasaran.

Menurut Dr. Russly, kesemua bahagian tersebut saling berkaitan bagi memudahkan pihak yang ingin menjalankan perniagaan yang mementingkan aspek halal dari semua segi.

Malah, LPPH juga membantu dalam bidang pengurusan halal menerusi penentuan polisi-polisi yang berkaitan aspek tersebut di dalam perniagaan.

Seterusnya Makmal Perkhidmatan Halal (LPH) menawarkan perkhidmatan analisis kepada masyarakat.

"Di LPH, kami menawarkan perkhidmatan untuk melakukan ujian analisis berkenaan produk-produk makanan yang diimport dari luar negara bagi kegunaan usahawan industri kecil sederhana (IKS) dari seluruh negara.

"Perkhidmatan ini terbuka kepada orang awam, pengilang-pengilang produk makanan serta sesiapa sahaja yang berminat di mana anda hanya perlu menghantar sampel kepada kami," ujarnya.

Malah, LPH turut boleh melakukan analisis terhadap sesuatu produk yang dikeluarkan oleh usahawan bagi memudahkan mereka memohon pensijilan halal daripada pihak berkuasa.

Analisis yang dijalankan juga tidak terhad kepada produk berasaskan makanan sahaja, malah turut merangkumi produk farmaseutikal, kosmetik, makanan serta produk kesihatan haiwan.

Selain daripada perkhidmatan analisis, IPPH juga turut menawarkan pelbagai kursus khas yang melibatkan perkhidmatan halal dan eksekutif halal dalam jangka masa yang pendek.

Institut tersebut turut bekerjasama erat dengan Jabatan Standart Malaysia (DSM) serta SDA.

Antara agensi terbesar bekerjasama dengan IPPH adalah SIRIM serta HDC (Halal Industry Development).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved