Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua lelaki ditemui mati dibunuh

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Anggota polis mengangkat dua mayat yang dijumpai di Desa Seri Ampang, Ipoh, semalam.

IPOH 1 Julai - Mayat dua lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan terlentang di dalam semak di Desa Seri Ampang, berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini hari ini.

Polis menemukan mayat S. Kaviventhen, 28, dan S. Chandrasekhar, 26, kira-kira pukul 8.30 pagi dengan terdapat kesan tikaman serta luka di seluruh badan kedua-dua mangsa selain dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Salah satu daripada mayat berkenaan ditemui dalam keadaan berulat.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua mayat yang tidak berbaju dan hanya berseluar panjang itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di lokasi kejadian.

"Polis mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan soal dendam berikutan salah seorang mangsa mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes kecurian motosikal.

"Kita turut menemukan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC di tempat kejadian yang didaftarkan atas nama seorang individu dari Taman Razaki di sini, namun tiada sebarang senjata dikesan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Termizi berkata, kedua-dua mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Setakat ini, pihaknya masih belum menerima laporan forensik lengkap untuk mengesahkan punca sebenar kematian," katanya sambil memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

2 penjenayah cedera ditembak

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh radhuan hussain
pengarang@utusan.com.my

Hamzah Mohd. Jamil (tengah) dan K. Manoharan (kanan) serta Mohd. Adli Mat Daud menunjukkan peralatan melakukan samun yang dirampas daripada tiga penjenayah pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/Shaifudin Mohd Nor

KUALA TERENGGANU 1 Julai - Dua penjenayah cedera ditembak selepas kedua-duanya dan seorang lagi suspek cuba melanggar anggota polis dengan kereta ketika hendak meloloskan diri daripada kepungan di Kampung Sungai Serai, Marang awal pagi kelmarin.

Dua penjenayah terbabit berumur 48 dan 36 tahun itu yang masing-masing cedera ditembak di pinggang kanan dan lutut serta seorang lagi rakan mereka berusia 30 tahun berjaya diberkas.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Mohd. Jamil berkata, dua lelaki yang cedera itu kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Beliau memberitahu, kesemua tiga lelaki tempatan itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mengulas lanjut insiden itu, katanya, kejadian bermula apabila sepasukan empat anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mengesan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki terbabit di Kampung Sungai Serai kira-kira pukul 4.45 pagi.

Menurutnya, ketika diekori, kenderaan terbabit dipandu perlahan dan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai sedang meninjau untuk melakukan jenayah sebelum diarahkan anggota polis supaya berhenti.

"Pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak menghiraukan arahan itu lalu memecut kenderaan dan cuba melanggar anggota polis.

"Tindakan agresif penjenayah itu memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan sebelum mengejar kereta itu yang cuba melarikan diri ke arah Kampung Durian Guling," katanya kepada pemberita di IPK negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Asisten Supritendan Mohd. Adli Mat Daud.

Hamzah berkata, setelah dikejar sejauh kira-kira tiga kilometer, kesemua penjenayah itu berjaya diberkas di Kampung Durian Guling, Marang, dan hasil pemeriksaan mendapati dua daripadanya cedera di pinggang kanan dan lutut akibat terkena tembakan.

"Hasil pemeriksaan, polis menemukan beberapa peralatan samun di dalam kenderaan berkenaan antaranya parang, sabit, pemotong besi, golok dan cangkul kecil," katanya.

Menurut beliau, kesemua penjenayah itu yang terbabit dalam beberapa kes samun di negeri ini memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah, menyamun dan mencuri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved