Ahad, 14 April 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Murid terima manfaat skim insurans

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my

Syed Hamid Albar menunjukkan pelekat khas bagi mengenal pasti bas sekolah berpermit yang dilindungi oleh Skim Insurans Murid-Murid Sekolah SPAD di Putrajaya, baru-baru ini.

INISIATIF kerajaan menyediakan skim perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit terbukti memberi manfaat kepada golongan terbabit.

Dua murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruntung, Meor Mohamad Nurhakim Meor Mohd. Redzuan dan Muhmammad Danish Azha Aidi Azha yang cedera dalam kemalangan di Bukit Beruntung, Selangor Januari lalu, menerima manfaat masing-masing RM2,300 dan RM3,200 berdasarkan kecederaan yang mereka alami.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, skim berkenaan memberi manfaat kepada 1.5 juta murid sekolah dengan perlindungan maksimum sebanyak RM100,000 yang melibatkan kos premium sebanyak RM40 juta dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan sepanjang tempoh dua tahun.

Matlamat kami adalah untuk menggalakkan ibu bapa menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berlesen di samping memastikan kebajikan murid terjamin sekiranya mereka menghadapi keadaan yang tidak diduga, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Skim Insuran Bas Sekolah SPAD di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (I) Putrajaya baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Kamal dan Jawatankuasa Gabungan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Malaysia.

Skim yang dikendali dan diuruskan Syarikat Takaful Malaysia Berhad itu menyediakan manfaat kepada murid yang menaiki bas sekolah seperti kematian akibat kemalangan sebanyak RM100,000 dan hilang keupayaan kekal sehingga RM100,000.

Selain itu, skim berkenaan turut meliputi bayaran perubatan RM3,000 maksimum mengikut bil perubatan, manfaat hospital RM100 sehari sehingga maksimum 30 hari dan khairat kematian RM2,500.

Malah, skim perlindungan itu juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan pihak sekolah.

Oleh sebab itu, Syed Hamid menyarankan ibu bapa mendaftarkan anak mereka di bawah skim tersebut mengikut bas sekolah yang berlesen dengan SPAD dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang kini berjumlah lebih 17,000 buah bas sekolah di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagi membantu ibu-bapa mengenal pasti mana satu bas sekolah yang berlesen, mana yang tidak, setiap bas sekolah akan dibekalkan dengan pelekat khas Bas Sekolah ini Dilindungi oleh Skim Insurans Murid-Murid Sekolah SPAD, jelasnya.

Pada masa yang sama, katanya, SPAD juga sedang membangunkan sistem pemeriksaan status bas sekolah yang boleh dilakukan melalui laman web dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS) yang membolehkan ibu bapa memeriksa status bas sekolah melalui nombor pendaftarannya.

Kita tidak mahu lagi melihat kemalangan-kemalangan yang menyayat hati yang melibatkan anak-anak kita pada masa akan datang akibat bas usang yang masih bergerak bebas di jalan raya, tegasnya.

Cerdik terbitkan buku rujukan terbaik

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

PELBAGAI buku latihan dan panduan peperiksaan mudah diperolehi di mana-mana kedai buku di pasaran sedia ada namun hakikatnya tidak semua yang berkualiti serta mampu memenuhi kehendak pelanggan khususnya pelajar.

Menyedari keperluan dan dalam usaha mengatasi kekurangan buku rujukan peperiksaan sedia ada, syarikat penerbitan Cerdik Publications Sdn. Bhd., memperkenalkan Siri Koleksi Kertas Percubaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Pengarah Urusan Cerdik Publications, Rozida Ismail berkata, ia dihasilkan dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan bermula tahun lalu.

Menurutnya, Cerdik Publications yang berusia 20 tahun merupakan satu-satunya syarikat penerbitan bumiputera yang memperolehi hak eksklusif menerbitkan buku tersebut.

Kata beliau, usaha pihaknya itu sekali gus menjadikan Cerdik Publications berbeza berbanding dengan syarikat penerbitan lain.

"Ini kerana, sebelum ini hak eksklusif menerbitkan kertas soalan percubaan PMR dan SPM hanya diberi kepada Majlis Pengetua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan.

"Setelah bekerjasama dengan pihak berkenaan maka Cerdik berpeluang menerbitkan buku soalan SBP seiring dengan hasrat kita menjadi peneraju pengeluar kertas peperiksaan di Malaysia" katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kata beliau, buku Siri Koleksi Kertas Percubaan SBP yang dijual pada harga RM6.90 hingga RM17.90 mengikut ketebalan itu mengandungi set soalan semua mata pelajaran bermula tahun 2005 hingga 2012 serta terbahagi beberapa bahagian termasuk teknik menjawab soalan mengikut kehendak pemeriksa.

"Melalui usaha ini, pelajar yang bersekolah biasa berpeluang berkongsi maklumat mengenai soalan ramalan peperiksaan yang sebelum ini hanya diperolehi dalam kalangan pelajar atau guru SBP sahaja.

"Antara kelainan buku ini juga, kebiasaannya soalan peperiksaan SBP lebih sukar berbanding sekolah biasa maka jika pelajar sekolah biasa dapat menjawab dan menguasai soalan SBP maka pelajar itu tidak mempunyai masalah menjawab peperiksaan," katanya.

Pada masa yang sama, menurut Rozida, seiring dengan keperluan semasa, Cerdik Publications berhasrat melebarkan operasi pasaran ke luar negara khususnya di Asia Tenggara seiring dengan moto syarikat Learn The Smarter Way.

Katanya, dalam usaha memudahkan pelajar dan ibu bapa luar bandar mendapatkan kemudahan buku rujukan dan bahan bacaan, pihaknya dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir, Negeri Sembilan menganjurkan Pesta Buku di Batu Kikir bermula 13 hingga 17 April.

"Kita sengaja memilih lokasi pameran buku di kawasan luar bandar kerana kita mahu ibu bapa dan pelajar mudah mendapatkan buku rujukan dan bahan pembelajaran yang kebanyakannya hanya dijual di bandar besar," katanya sambil menambah penganjuran Pesta Buku Cerdik turut disertai syarikat penerbitan lain dan artis tempatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved