Ahad, 14 April 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Ahli perniagaan maut ditembak depan keluarga

Posted: 14 Apr 2013 10:09 PM PDT

SEREMBAN 15 April - Seorang ahli perniagaan ditembak secara kejam di hadapan isteri dan dua anaknya ketika sedang menikmati makan malam di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Tan Kok Soon, 56 maut ditempat kejadian selepas ditembak dari jarak dekat dipercayai dilakukan seorang penjenayah pada pukul 6.55 petang ketika beberapa pelanggan lain turut berada di restoran berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Zazali Hashim memberitahu, kejadian itu berlaku apabila seorang lelaki tempatan datang ke arah mangsa dengan menaiki motosikal dan memakai topi keledar bertutup muka.

"Penjenayah berkenaan yang datang secara bersendirian kemudiannya melepaskan tiga das tembakan dari arah belakang mangsa mengakibatkan mangsa tersungkur rebah di hadapan isteri dan dua orang anaknya.

"Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya,'' katanya ketika ditemui pemberita dekat sini malam tadi.

Menurutnya, polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemui sebanyak tiga kelonsong peluru dan tidak menolak kemungkinan bahawa penyerang mangsa menggunakan pistol jenis semi automatik.

Jelas beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar dekat sini untuk tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya untuk tujuan pengebumian.

"Polis masih menyiasat motif kejadian dan juga sedang mengenalpasti pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Klinik doktor palsu disiasat

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Oleh FARIZALINA ISHAK
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 April - Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat tindakan sebuah klinik swasta di Melaka yang dilaporkan menggunakan khidmat doktor palsu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan segera dan jika didapati bersalah klinik serta doktor palsu itu akan dikenakan tindakan.

Menurut beliau, mana-mana klinik atau hospital yang didapati bersalah mengupah doktor palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971, Akta Polis atau Kanun Keseksaan.

"Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan menyiasat perkara itu kerana bukan sahaja membabitkan soal nyawa, bahkan boleh menjejaskan etika serta profesion kedoktoran," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo I Want: Sihat Bersamamu 2013 di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini berhubung taktik seorang lelaki menyamar sebagai doktor wanita untuk bekerja di sebuah klinik swasta yang terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Batu Berendam, Melaka Khamis lalu.

Tiong Lai berkata, insiden itu harus dijadikan pengajaran kepada semua klinik panel, klinik swasta serta hospital supaya lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dalam memastikan pengambilan doktor bertauliah.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian turut mengesahkan tiada sebarang kes selesema burung (H7N9) dalam kalangan unggas dikesan di negara ini berdasarkan pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Walau bagaimanapun, Tiong Lai menasihatkan orang ramai mengelak mengunjungi pasar menjual unggas hidup di negara yang terlibat dengan jangkitan avian influenza itu.

"Mereka yang pulang dari Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, China yang mempunyai masalah pernafasan dinasihat memakai topeng muka dan segera mendapatkan rawatan perubatan selain memaklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor," katanya.

Mengenai ekspo itu, Tiong Lai berkata, program tersebut bertujuan melahirkan masyarakat celik kesihatan selain memberikan pendedahan terhadap risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan kardiovaskular.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved