Sabtu, 30 Mac 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


'Iktiraf premis niaga di Parit Dalam'

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

KOTA BHARU 29 Mac - "Ibarat kera di hutan disusui tetapi anak sendiri mati kelaparan."

Demikian reaksi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Mohd. Fared Abdul Ghani mengenai nasib peniaga pasar malam Parit Dalam dekat sini yang didakwa seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan Pas negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan sewajarnya tidak menafikan hak peniaga terbabit yang telah menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu.

Malah katanya, Kerajaan Pas Kelantan juga perlu berlaku adil dan saksama terhadap peniaga di sini tanpa mengira kepentingan tertentu atau politik semata-mata.

"Kalau Jalan Kebun Sultan, Kerajaan Pas Kelantan boleh iktiraf sebagai kawasan Haji Cheng Ho China Town, kenapa tidak membuat pengiktirafan sama kepada peniaga yang 100 peratus terdiri daripada kaum bumiputera anak jati negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan keluhan dan perasaan dukacita beberapa peniaga di lokasi terbabit yang mendakwa tidak diberi keistimewaan sama seperti peniaga di Jalan Kebun Sultan oleh Kerajaan Pas negeri.

Mohd. Fared berkata, tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap double standard selain permainan politik kerajaan negeri bagi meraih sokongan pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Tegasnya, lokasi perniagaan di Parit Dalam yang telah beroperasi sejak lebih 30 tahun itu sepatutnya terlebih dahulu mendapat pengiktirafan berbanding peniaga di Jalan Kebun Sultan yang hanya baru bertapak kira-kira 10 tahun.

Sementara itu, Presiden Angkatan Generasi Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata, adalah menjadi satu perkara yang tidak wajar di pihak kerajaan negeri apabila tidak menunjukkan kesungguhan dalam membela nasib orang Melayu.

Katanya, potensi bidang perniagaan di negeri ini sememangnya tidak mampu dipertikaikan sekiranya mendapat perhatian daripada pihak berkuasa.

"Hasrat mereka untuk memajukan perniagaan masing-masing terbantut selagi kerajaan tidak mengeluarkan lesen, sedangkan itulah yang boleh membantu mereka dari segi modal untuk mempelbagaikan produk atau sebagainya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Pas negeri mengkaji satu struktur sesuai untuk memberi pengiktirafan sama di samping mengeluarkan lesen yang sah kepada peniaga terbabit.

Majlis minum petang 8 Briged bersama petugas media

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Mohd. Zaki Hamzah (berdiri, kiri) beramah mesra dengan beberapa petugas media yang hadir pada Majlis Minum Petang di Markas 8 Briged Kem Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 29 Mac - Markas 8 Briged Kem Pengkalan Chepa (8 Briged) mengadakan majlis minum petang bersama petugas media seluruh Kelantan di kem itu, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Panglimanya, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Zaki Hamzah serta pegawai-pegawai beliau.

Mohd. Zaki ketika berucap berharap kerjasama yang terjalin antara 8Briged dan media Kelantan dapat diteruskan pada masa depan.

"Ini adalah majlis pertama kita dan saya pasti bukan yang terakhir kerana banyak lagi program bersama media akan dianjurkan selepas ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada para media di Kelantan kerana banyak memberi liputan mengenai 8Briged, sama-samalah kita terus bekerja dan berjuang demi agama, bangsa dan negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis berkenaan.

Peniaga pasar malam dianaktiri?

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

PELBAGAI juadah lazat terutama makanan tempatan boleh diperoleh secara mudah di pasar malam Parit Dalam, Kota Bharu.

KOTA BHARU 28 Mac - Suasana malam di bandar yang terkenal dengan gelaran 'Serambi Mekah' ini sentiasa meriah dengan kewujudan pasar malam Parit Dalam di sini.

Sejak dibuka lebih 30 tahun lalu, pasar malam berkenaan tidak pernah lekang dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat di bandar itu dan juga pelancong asing.

Terletak berhampiran Pasar Siti Khadijah serta dilingkungi dengan pusat beli-belah terkenal seperti Parkson, The Store, Giant serta beberapa lagi, kewujudannya jelas menambah keceriaan bandar ini.

Malah, kewujudan pasar malam ini juga sedikit-sebanyak telah membantu para peniaga di sini yang 100 peratusnya terdiri daripada orang Melayu untuk menjana pendapatan.

Namun, setelah berpuluh-puluh tahun menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan, kira-kira 120 peniaga di sini mula mengalami episod duka sejak tahun 2009.

Sejak dari tempoh itu, nasib peniaga di situ diibarat seperti 'digantung tanpa tali' apabila perniagaan yang diusahakan selama ini tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

Lebih menyedihkan, para peniaga kawasan itu juga terus dibiarkan menjalankan perniagaan tanpa diperbaharui lesen.

Tempoh tersebut juga menyaksikan mereka terpaksa berjuang mempertahankan perniagaan yang diusahakan selama ini walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan cabaran.

Difahamkan, tindakan kerajaan negeri tidak mengiktiraf kawasan berkenaan dan tidak memberikan lesen kepada para peniaga sejak empat tahun lalu disebabkan keengganan mereka berpindah ke lokasi baharu di hadapan pasar raya Tesco Lembah Sireh.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah bertindak menganaktirikan para peniaga di situ apabila mengisytiharkan Jalan Kebun Sultan sebagai kawasan Haji Cheng Ho China Town.

Tindakan itu jelas menambah luka di hati peniaga yang tidak diberi keistimewaan yang sama walaupun sudah lama menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

Seorang peniaga, Raihan Hamzah, 43, berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengiktiraf kawasan ini seperti mana Jalan Kebun Sultan dan segera memberikan lesen kepada peniaga.

Katanya, para peniaga terus dibiarkan berniaga tanpa lesen dan kesannya menyukarkan mereka untuk mendapatkan pinjaman bank bagi mengembangkan perniagaan.

"Sudah lebih 30 tahun pasar malam ini wujud dan menceriakan pusat bandar ini dengan kehadiran pelancong dan orang ramai di situ dan seharusnya kawasan ini diiktirafkan.

"Mengapa di Jalan Kebun Sultan boleh diiktiraf sebagai China Town, tetapi bukan di sini yang hampir 100 peratus peniaganya adalah orang Melayu yang sudah berpuluh-puluh tahun menjalankan perniagaan di sini?" katanya.

Seorang lagi peniaga, Arifin Salem, 60, berkata, dia memohon kerajaan negeri memberikan lesen kepada para peniaga dan tidak lagi mengarahkan mereka berpindah ke lokasi baharu.

Katanya, pasar malam ini sudah sinonim dengan rakyat negeri ini dan menjadi tumpuan sejak tahun 1970 lagi, mengapa harus ditukar kepada lokasi baharu yang ternyata sangat suram?

"Berniaga di kawasan bandar seperti ini mampu menjana pendapatan, sekiranya berpindah, saya pasti perniagaan ini akan merosot dengan teruk," katanya.

Shamsudin Zakaria, 53, berkata, para peniaga sudah beberapa kali menghantar surat kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk mengadakan perbincangan tentang nasib mereka, namun malangnya tidak pernah dilayan.

Katanya, pihaknya juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk berjumpa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi tidak mampu juga untuk membela nasib mereka di sini.

"Kita bukan mahu meminta lebih, kita hendak kerajaan negeri segera mengiktiraf tempat ini dan memberikan lesen kepada para peniaga," katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Peniaga-Peniaga Bumiputra Pasar Malam Parit Dalam (PPMPD), Nik Rashid Nik Ismail berkata, kerajaan negeri sepatutnya melayan para peniaga di sini dengan adil. bukannya bertindak mengetepikan mereka.

Katanya, sekiranya Jalan Kebun Sultan sudah diiktiraf sebagai kawasan Haji Cheng Ho China Town, mengapa kawasan ini juga tidak diberikan pengiktirafan yang sama?

Ujarnya, China Town bertapak tidak sampai 10 tahun jika dibandingkan dengan kewujudan pasar malam Parit Dalam yang sudah 30 tahun. Mengapa China Town sahaja yang diiktiraf?

"Tindakan kerajaan negeri ini sangat keterlaluan. Ini hanya gimik politik mereka untuk menarik sokongan pengundi Cina terutamanya menjelang pilihan raya tidak lama lagi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved