Sabtu, 30 Mac 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Muflis jika pembangkang memerintah

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

MANIFESTO yang dikemukakan pembangkang tidak mempunyai cadangan yang realistik malah boleh mengakibatkan kerajaan muflis.

SEBUAH portal pro-pembangkang telah mewujudkan satu portal yang memberikan pengkhususan kepada isu perniagaan dan bidang ekonomi. Sewaktu mendengar wawancara pemilik portal ekonomi tersebut di sebuah rangkaian radio yang juga sangat 'kritis' terhadap kerajaan - penulis dapat merasakan bahawa isu ekonomi akan terus mendominasi isu di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Portal khusus untuk isu 'perniagaan dan ekonomi' ini dikatakan mencatat angka lawatan yang luar biasa oleh pengunjung Internet. 100,000 pelawat 'unik' dalam masa sebulan. 700,000 bacaan artikel. Dikatakan juga, pembaca menghabiskan masa hampir 25,000 jam lawatan sepanjang sebulan lebih beroperasi. Mana-mana pakar media alternatif pastinya merasakan angka-angka ini adalah satu dapatan yang luar biasa. Pemilik berkenaan juga memberi gambaran bahawa rakyat sememangnya dahagakan suatu portal yang mengemukakan laporan ekonomi sebenar-benarnya bebas.

Penulis kurang percaya bahawa portal ekonomi tersebut benar-benar bebas dan tidak membawa agenda politik. Setakat beberapa kali meninjau laporan eksklusif yang dilakukan portal berkenaan, penulis semakin percaya bahawa ia 'tidak bebas' malahan mempunyai niat politik yang sangat jelas, dalam membentuk pemikiran rakyat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan suasana ekonomi negara ini.

Antara contoh yang boleh dikemukakan adalah laporan khas mengenai Petronas yang diperincikan oleh portal berkenaan. Sebanyak empat artikel khusus berkenaan Petronas dikemukakan baru-baru ini. Kesemuanya, mempunyai 'nada politik' yang seakan-akan menjadi jurucakap kepada serangan bersiri yang dilakukan terhadap Petronas di dalam manifesto yang dikemukakan oleh kumpulan politik tertentu. Empat laporan mengenai Petronas yang dikemukakan adalah seperti berikut :-

i) Petronas at crossroads (5 Mac 2013);

ii) Some serious questions for Petronas (6 Mac 2013);

iii) Should Petronas venture overseas? (7 Mac 2013);

iv) The Petronas dilemma (8 Mac 2013);

Dalam pada itu, serangan dan pengkhususan bersiri turut diberikan kepada dua entiti ekonomi lain - FGVH dan 1MDB. Kita boleh nampak dengan jelas bahawa portal ekonomi yang kononnya 'bebas' ini pada hakikatnya menjadi alat kepada serangan bersiri yang halus kepada fikrah dan perspektif ekonomi yang dilihat oleh rakyat. Mana mungkin, sebuah portal ekonomi yang 'bebas' - hanya memberikan satu laporan ringkas mengenai manifesto yang digambarkan sebagai 'diterima baik oleh pakar ekonomi' (Economists Welcome Pakatan Manifesto). Itu sahaja. Tidak ada perincian yang diberikan.

Inilah pendekatan yang digunapakai untuk mendapat perhatian dan membentuk pemikiran pengundi urban. Mereka tidak membicarakan kelemahan manifesto yang ada, sebaliknya mengambil pendekatan 'menyerang' beberapa entiti perniagaan dan ekonomi yang dirasakan menjadi teras kepada suatu pelan transformasi ekonomi jangka panjang. Manifesto mereka tidak dibicarakan secara ikhlas dan jujur, sebaliknya mengambil pendekatan untuk menyerang orang dan entiti lain.

Di mana logiknya sebuah portal 'perniagaan dan ekonomi' yang kononnya bebas, boleh terlepas pandang bahawa manifesto yang dikemukakan tidak mempunyai cadangan yang realistik. Di mana bebasnya portal berkenaan jika implikasi kewangan di dalam manifesto tidak diulas dengan jujur dan ikhlas? Nyata, pihak editorial portal berkenaan sudahpun mengambil jalan politik yang diinginkan. Portal berkenaan bukan sahaja tidak bebas - malahan bersedia menjadi lidah rasmi kepada manifesto dan cadangan ekonomi songsang dan sumbang.

Serangan Bersiri Terhadap Petronas

Serangan bersiri terhadap Petronas yang dilakukan portal berkenaan mempunyai niat politik membantu manifesto pembangkang. Kita semua tahu, antara isu yang dibangkitkan oleh mereka adalah soal royalti minyak. Modal royalti minyak ini dirasakan sangat mampu menarik perhatian rakyat di negeri-negeri tertentu. Janji manis menaikkan royalti daripada lima peratus kepada 20 peratus - dijadikan modal utama. Soalnya, apakah lima peratus ini angka yang tepat dan statik? Apakah minyak akan keluar mengalir tanpa perlu modal permulaan untuk usaha cari gali? Apakah industri minyak ini satu industri yang tidak memerlukan kajian geosains dan kejuruteraan petroleum yang terkini?

Hakikatnya, jumlah pelaburan dan belanja pembangunan untuk melaksanakan proses cari gali minyak di Sabah dan Sarawak (tahun 2011 sahaja) memerlukan sejumlah RM26.5 bilion. Ini bersamaan dengan 37 peratus kadar royalti - berbanding 20 peratus sempoa ekonomi mudah yang dicadangkan dalam manifesto pembangkang. Sebab itu, apa yang dicadangkan di dalam manifesto pada hakikatnya tidak mengambil kira soal 'pembangunan awal' - sebaliknya hanya merujuk kepada soal kemampuan berbelanja.

Dengan perbelanjaan yang sedemikian 'besar' untuk membangun lapangan minyak dan gas, idea menubuhkan syarikat minyak milik negeri memang nampak menarik di atas kertas, tetapi bukan secara realiti.

Sukar untuk kita memahami 'niat sebenar' di sebalik serangan berterusan tokoh pembangkang dan portal sekiblat mereka terhadap Petronas selama ini. Lim Guan Eng sendiri mengakui bahawa DAP sudah mula melakukan 'serangan politik' terhadap Petronas sejak tahun 1986. Pra PRU-12, DAP adalah antara parti politik yang bersungguh untuk membogelkan perbelanjaan Petronas secara total. Laporan tahunan Petronas, kepada DAP, adalah satu laporan yang tidak lengkap dan perlu ditolak. Apakah kita lupa bagaimana Tan Sri Hassan Merican perlu tampil memberi penjelasan di dalam media perdana bagi menjawab serangan berterusan kepada syarikat minyak nasional tersebut.

Ya, mungkin sahaja agaknya, serangan terhadap Petronas adalah gabungan dua 'sempoa' - politik dan ekonomi sekali gus. Bukan sangat soal ketelusan. Namun, Petronas perlu 'digambarkan' sebagai representasi sistem yang korup. Niat sebegini nyata jahat dan tidak nasionalistik sama sekali. Serangan berterusan terhadap Projek Rapid (diterajui oleh Petronas) juga mungkin berdasarkan faham sempoa yang sama.

Demikian juga manifesto khas yang dikemukakan kumpulan politik sama untuk mendapat undi di Sabah. Ia masih menggunakan pendekatan yang sama dengan apa yang dikemukakan di peringkat nasional. Sementara manifesto utama mereka kononnya menjual semangat 'Persaudaraan Rakyat' - manifesto mereka untuk negeri tersebut nyata bersifat sangat kenegerian. Pelaksanaan manifesto versi mereka akan menyebabkan Malaysia terbahagi kepada kalangan 'negeri pengeluar minyak' dan tidak. Semangat persekutuan dipinggirkan.

Sebagai rakyat, kita perlu melihat serangan serampang dua mata terhadap Petronas ini dengan lebih adil dan jelas. Jangan terlalu percaya dengan 'serangan bersiri sejak 1986', yang sebenarnya mempunyai niat memperkembang agenda politik peribadi. Individu sama, pada hari ini yang mahu tampil sebagai seorang serba kompeten, berakauntabiliti dan telus - berhadapan dengan keraguan rakyat. Individu sama, yang pernah menggila menyerang projek 'mega' berkepentingan nasional, hari ini mencadangkan projek berbilion ringgit walau ditentang oleh rakyat dan NGO setempat.

Portal ekonomi dan kalangan pembuat manifesto pembangkang perlu maklum bahawa industri minyak dan gas tidak semudah industri yang lain. Industri minyak dan gas, sedang bercakap tentang proses kejuruteraan minyak yang luar biasa kompleks. Ia memerlukan bantuan modal dan insentif berterusan oleh kerajaan. Teknologi seperti enhanced-oil recovery (EOR), eksplorasi laut dalam (deepwater exploration) dan sebagainya, memerlukan modal yang besar. Menggunakan 'sempoa' royalti 20 peratus, tanpa diimbangi dengan belanja pembangunan adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Daripada sudut ini, program transformasi ekonomi sedia ada sememangnya faham bahawa industri minyak dan gas memerlukan lonjakan yang berganda. Disebabkan itu jugalah permohonan Petronas untuk mendapat potongan cukai yang lebih bersesuaian dengan suasana industri diterima baik oleh kerajaan. Akta Pendapatan Cukai Petroleum (PITA) diberikan pengupayaan dengan pelbagai insentif yang sesuai dengan keperluan industri. Manifesto dan sempoa ekonomi pembangkang tidak sampai ke tahap yang tinggi begini.

Mengecilkan keupayaan Petronas bukanlah jalan yang bijak. Laporan Ernst & Young Global mengenai industri minyak dan gas untuk tahun 2012, menyatakan peningkatan transaksi perniagaan sebanyak 19 peratus kepada AS$402 bilion. Petronas perlu bersaing dengan syarikat minyak dunia yang bermodal jauh lebih besar. Langkah mewujudkan syarikat minyak negeri, boleh sahaja membuka ruang mergers and acqusitions syarikat asing dalam sekelip mata.

Sempoa ekonomi yang dipakai pembangkang di dalam manifesto sememangnya rosak dan tidak bersifat semasa. Ini perlu difahami oleh rakyat biasa seperti kita. Jangan mudah seronok dengan pemberian sementara yang membawa luka ekonomi bangsa dalam jangka masa yang panjang.

Nyata, menyediakan manifesto dengan memberatkan 'sempoa untung-rugi politik semberono' yang dilakukan pembangkang tidak akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik. Mungkin juga kerana itu, portal pro perjuangan politik mereka sendiri mengambil pendekatan diam dan membisu dalam membicarakan manifesto mereka. Kelemahan yang ketara, menyebabkan ia sebuah dokumen polisi yang gagal.

Sumber maklumat yang penulis perolehi, sempoa manifesto pembangkang akan menyebabkan negara menanggung defisit berjumlah hampir RM115 bilion. Defisit meningkat kepada 11.5 peratus. Hutang kepada KDNK akan meningkat kepada 62.1 peratus. Kesemua ini, akan pastinya menyebabkan usaha dan inisiatif lain akan bermasalah. Inilah masanya rakyat menggunakan 'sempoa politik' sendiri dan tidak terlalu terbuai dengan angan politik dan ekonomi yang tidak bertanggungjawab.

Percaturan politik pembangkang

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sahaja menjadi medan kepada pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas untuk berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malahan ia juga dikatakan menjadi gelanggang kepada pemimpin dan kelompok tertentu dalam parti masing-masing untuk memperkukuhkan kedudukan politik mereka.

Mungkin seperti biasa pembangkang akan menafikan semua dakwaan ini dan menggangap ia satu propaganda bagi memburuk-burukkan mereka.

Sama ada PKR, DAP mahupun Pas, tidak boleh menafikan sebagai parti politik, mereka tidak akan terlepas daripada perebutan kuasa dan usaha memperkembangkan pengaruh.

Perkembangan politik yang berlaku dalam ketiga-tiga parti itu sudah menjadi rahsia umum biar pun ia cuba ditutupi dengan pelbagai hujah.

Dalam PKR, umum mengetahui bagaimana hubungan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan bagaimana pula hubungan antara Azmin dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam DAP pula berlaku pertembungan antara Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming dengan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang semakin hebat.

Pertelagahan dikatakan berpunca apabila DAP negeri yang dikuasai Koo Ham berkeras mahu meletakkan lebih ramai calon-calon Cina termasuk di kerusi-kerusi yang sebelum ini ditandingi pemimpin India DAP.

Turut tidak terlepas terlibat dalam pertelingkahan dalaman ialah Pas, apabila berlakunya pertembungan antara kumpulan ulama dan kumpulan Anwarinas.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana berlakunya pertembungan perebutan kerusi yang melibatkan ketiga-tiga parti itu.

Apa pun setakat ini sudah ada senarai calon-calon pemimpin pembangkang yang dikatakan akan bertanding.

Bagi DAP, selain Kit Siang yang akan bertanding di Gelang Patah, bagi kerusi Ipoh Timur yang dikosongkan oleh Kit Siang ia akan ditandingi oleh Thomas Su.

Jika benar andaian ini, ia bermakna langkah itu akan menutup peluang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut akan bertanding kerusi Ipoh Timur.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Perak memberikan isyarat secara halus menolak Anwar bertanding di kerusi tersebut apabila menyatakan Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih sesuai berada di situ.

Tegang

Apa yang menarik, nama Kulasegaran dikatakan tidak disenaraikan untuk mempertahankan kerusi Ipoh Barat sebaliknya yang disebut-sebut akan bertanding di situ bagi mewakili DAP ialah Wong Kah Woh. Kerusi Batu Gajah pula yang sebelum ini disandang oleh Fong Po Kuan dikatakan akan diserahkan kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar.

Mungkin itu harga yang perlu dibayar oleh Kulasegaran dan Po Kuan yang dikatakan mempunyai hubungan tegang dengan Koo Ham dan Kor Ming.

Bagi PKR pula, kenyataan Wan Azizah bahawa beliau akan bertanding di salah sebuah kerusi DUN di Selangor 'menghangatkan' isu perebutan kuasa politik dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR di negeri berkenaan.

Sebelum ini, Khalid Ibrahim dikatakan sudah cukup tertekan berhadapan dengan mainan politik Azmin yang disebut-sebut bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar jika pembangkang terus memerintah Selangor.

Namun dengan kehadiran Wan Azizah ia mewujudkan spekulasi bahawa Presiden PKR itu bakal menduduki kerusi Menteri Besar sekali gus menafikan peluang Khalid dan Azmin yang disebut-sebut kemungkinan akan bertanding kerusi Parlimen.

Walaupun langkah meletakkan Wan Azizah dilihat strategi PKR untuk menarik perhatian pengundi namun, Wan Azizah bukanlah pemimpin yang layak untuk bertanding apatah lagi menjadi orang nombor satu di Selangor.

Ini berikutan Wan Azizah sudah ditafsirkan sebagai Presiden yang lemah dan hanya menjadi perhiasan sahaja bagi sebuah organisasi. Beliau seolah-olah tidak ada suara dan kuasa kerana segala-galanya diuruskan oleh suaminya, Anwar.

Selain 'adegan politik' PKR yang agak menarik di Selangor, di Johor dan Kedah situasi juga tidak kurang hebatnya.

Dua bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebut-sebut menjadi sandaran PKR di Johor iaitu bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein dan Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid.

Md. Hashim dikatakan akan disenaraikan bertanding di kerusi Parlimen Johor Bharu manakala Abdul Ghafir di Parlimen Pasir Gudang.

Kehadiran bekas jeneral ini dilihat usaha PKR untuk menarik undi anggota-anggota tentera bukan sahaja di Johor tetapi juga seluruh negara.

Selain itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pula dikatakan akan berubah angin untuk bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Bharu selepas dilaporkan bakal menempuh laluan sukar di kerusi yang disandangnya iaitu Parlimen Machang, di Kelantan.

Masalah

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng yang dikatakan 'terasa hati' kerana tidak dapat bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah disebut-sebut akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Segamat.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah pula yang dilaporkan semakin tidak popular di Lembah Pantai dikatakan akan terus mempertahankan kerusi itu.

Namun apa yang menarik ialah kedudukan kerusi Parlimen Bagan Serai. Kerusi ini menjadi perebutan antara PKR dan Pas. Mungkin menyedari keadaan itulah, Anwar awal-awal lagi tanpa mempedulikan perasaan penyokong akar umbi Pas di kawasan itu mengumumkan Dr.Muhammad Nur Manuty akan bertanding di situ.

Tindakan Anwar itu dilihat akan memberikan masalah kepada Dr.Muhammad Nur kerana PKR sememangnya bergantung jentera Pas untuk mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini dimenangi oleh PKR dengan majoriti 3,413 undi melalui calonnya, Muhsin Fadzil Samsuri.

Penulis difahamkan, penyokong-penyokong Pas di kawasan berkenaan benar-benar kecewa dengan tindakan PKR yang dilihat tidak menghormati kehendak mereka.

Bagi Pas pula, percaturan juga sudah dilakukan di mana pemimpin-pemimpin utama mereka dikatakan akan bertanding di kerusi-kerusi yang dianggap strategik.

Dua Exco Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan dikatakan berpindah bertanding dari DUN ke Parlimen. Husam disebut-sebut bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya manakala Takiyuddin akan bertanding di Kota Bharu.

Keadaan itu dikatakan satu percaturan oleh Pas Kelantan dalam usaha memastikan bakal pengganti Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar terdiri daripada golongan ulama. Dua nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Nik Abdul Aziz ialah Datuk Amar Nik Abdullah dan Datuk Ahmad Yaacob.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pula disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Pendang.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dikatakan akan mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang di samping Parlimen Marang.

Bagaimanapun difahamkan Abdul Hadi dikatakan bakal menghadapi laluan sukar mengekalkan kerusi Parlimen tersebut berikutan penolakan rakyat yang semakin ketara di kawasan itu terhadap beliau.

Apa pun, senarai yang dinyatakan ini bukanlah senarai terakhir. Tidak mustahil ketiga-tiga parti itu akan melakukan perubahan menjelang pilihan raya.

Namun tidak kira apa pun langkah yang dilakukan rakyat kini semakin faham corak politik pakatan pembangkang yang segala-galanya berpaksikan kepada matlamat merebut kuasa semata-mata.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved