Jumaat, 29 Mac 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Utamakan pengangkutan awam

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
editor.johor@utusan.com.my

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai pertandingan mencari harta karun sempena Minggu Pengangkutan Awam 2013 anjuran Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) di perkarangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 28 Mac - Perkembangan pesat dalam industri automotif sejak sedekad kebelakangan ini bukan sahaja banyak mencorak kehidupan masyarakat malah mengubah senario pengangkutan awam.

Kemampuan penduduk memiliki kenderaan sendiri juga memberi impak besar terhadap pengangkutan awam terutamanya bas yang suatu ketika dahulu antara yang menjadi medium utama perhubungan masyarakat.

Walaupun mendapat saingan 'sengit' namun hingga kini perkhidmatan bas tetap mendapat sambutan dan usaha sentiasa ditingkatkan bagi memberikan kesedaran dan kepuasan kepada pelanggan.

Seiring dengan usaha mengubah persepsi masyarakat tentang pengangkutan awam seterusnya menjadikannya mod pengangkutan utama di Iskandar Malaysia, Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) menganjurkan Minggu Pengangkutan Awam Iskandar 2013 bermula Isnin lalu.

Program selama seminggu yang mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan pengangkutan awam kepada masyarakat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti.

Ketua Eksekutif Perbadanan PAIM, Mohd. Gadaffie Abd. Aziz berkata, program itu adalah usaha pihaknya mempergiat promosi penggunaan pengangkutan awam sekali gus mampu memberi keuntungan dan impak besar kepada penduduk negeri ini.

"Kami percaya dengan perancangan serta strategi yang baik, kita mampu menarik orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan sudah terbukti di negara-negara maju apabila rata-rata masyarakat menaiki bas dan perkhidmatan awam lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Antara program yang diadakan sepanjang minggu tersebut ialah 'TransIskandar 2 Cool 4 School' iaitu bas yang tidak lagi digunakan dibaik pulih untuk menjadi ruang pembelajaran kondusif dan diletakkan di pekarangan sekolah terpilih.

Selain itu, program '1M4U Trans Initiative' yang melibatkan 50 belia mengecat hentian bas di kawasan Iskandar Malaysia dan penganjuran Kotak Muzik pula diharap menjadi medium menarik golongan muda menggunakan bas.

Menurut Mohd. Gadaffie, usaha mempromosi dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam diharap mampu mencapai misi PAIM meningkatkan jumlah pengguna sebanyak 40 peratus pada 2025 berbanding 15 peratus sekarang.

Katanya, projek TransIskandar pula merupakan inisiatif pihaknya bersama Syarikat Pengangkutan Maju Bhd. dan Handal Indah Sdn. Bhd. dengan memperkenalkan projek Bas Ekspres Transit (BeXTRA) yang kini beroperasi di lima laluan berbeza.

Beliau berkata, BeXTRA yang beroperasi dengan 40 bas diperkenalkan bagi memendekkan masa perjalanan penumpang ke pusat bandar selain memudahkan mereka yang bekerja dan pelajar kerana hanya berhenti di beberapa tempat sahaja.

"Sejak mula diperkenalkan pada 2011, BeXTRA sudah terbukti mampu menjimatkan masa apabila mampu mengurangkan perjalanan antara 30 hingga 45 minit dan PAIM merancang memperluaskan lagi perkhidmatannya.

"Apa yang lebih menarik, bas-bas ini turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan GPS bagi menjamin keselamatan penumpang manakala perkhidmatan Wi-Fi percuma akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini," katanya.

Menurut beliau, pihaknya percaya TransIskandar mampu menjadi ikutan syarikat bas lain dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bagi kebaikan dan keuntungan semua pihak terutama di Iskandar Malaysia.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mahu semua rakyat negeri ini memberi sokongan sekali gus menimba pengetahuan terhadap penyediaan pengangkutan awam di Iskandar Malaysia.

Beliau berharap orang ramai meletakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan utama untuk ke destinasi-destinasi tertentu dan berharap perkhidmatan tersebut terus maju dan dikagumi di negeri ini.

"Usaha meningkatkan kualiti pengangkutan awam di negeri Johor memerlukan komitmen bersepadu daripada semua pihak kerana sokongan itu akan menyumbang dan menggalakkan peningkatan terhadap penyediaan serta kualiti pengangkutan awam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, projek Sistem Bas Rapid Transit (BRT) kini sedang dirancang dan diusahakan bagi mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu, lengkap dan bertaraf dunia di Iskandar Malaysia yang dirancang melalui Jalan Skudai, Taman Daya dan Lebuh Raya Pesisir Pantai ke JB Sentral.

Kenal pasti kawasan baharu tanaman padi

Posted: 27 Mar 2013 12:51 PM PDT

SAIPOLBAHARI Suib (dua dari kanan) menyampaikan replika cek bantuan baik pulih stor baja padi kepada wakil Pertubuhan Peladang Kawasan Tangkak di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani dekat Pagoh, Muar, kelmarin.

PAGOH 27 Mac - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan mengenal pasti kawasan-kawasan baharu di Johor untuk penanaman padi bagi meningkatkan hasil beras yang kini pengeluarannya tidak sampai 10 peratus untuk keperluan negeri dan negara.

Pengerusinya, Datuk Saipolbahari Shuib berkata, setakat ini kawasan sawah padi di seluruh negeri hanya berkeluasan 1,531 hektar yang melibatkan seramai 758 pesawah meliputi kawasan Ledang, Mersing, Muar dan Kluang.

"Paling luas kawasan penanaman padi adalah di Ledang dengan 650 hektar iaitu di Kesang Tasek melibatkan 67 hektar, Kesang Gates (32 hektar), Teluk Rimba (164 hektar), Pulau Penarik (50 hektar), Sawah Ring (267 hektar) dan Sagil (70 hektar).

"Kedua terbesar adalah di Mersing dengan 496 hektar iaitu di Endau (420 hektar) dan Air Papan (76 hektar) sementara di Muar melibatkan 301 hektar iaitu di Sungai Balang (62 hektar) dan Parit Yusof (239 hektar) manakala yang akhir di Kahang, Kluang dengan keluasan 84 hektar sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Anugerah Peladang dan Seminar Pemindahan Teknologi Skim Insentif Pengeluaran Padi Kerajaan Persekutuan Peringkat Johor di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani Pagoh di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Nafas menyampaikan bantuan RM140,000 kepada tujuh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negeri dengan setiap satu menerima RM20,000.

Saipolbahri turut menyampaikan anugerah untuk Peladang Jaya Peringkat Negeri Johor, Unit Peladang Jaya dan Pertubuhan Peladang Jaya selain Bantuan Kumpulan Wang Pendidikan Nafas kepada anak-anak ahli pertubuhan itu.

Mengenai seminar disertai 262 orang majoritinya ahli-ahli dari tujuh PPK Johor tersebut, katanya, usaha itu bertujuan memberi pendedahan penggunaan teknologi terkini kepada pesawah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved