Selasa, 13 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Hasan Ali hendak dipinggirkan!

Posted:

Hasan Ali hendak dipinggirkan!

Hasan Ali hendak dipinggirkan!

Oleh TOK KI

Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip dalam kenyataannya menyatakan Datuk Dr. Hasan Ali tidak akan dicalonkan lagi kerana tidak cukup pencalonan. Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan kenyataan itu. Maksud kenyataan Saari Sungip itu adalah jelas bahawa dalam isu Hasan yang sedang berbangkit terutamanya di Selangor, ada kecenderungan memperkecilkan kewibawaan Hasan. Peliknya jawapan Hadi Awang sebaliknya.

Dalam Pas, siapakah yang mempunyai autoriti memutuskan seseorang itu menjadi calon atau sebaliknya. Apakah ini memberi petanda bahawa gendang politik sedang dipalu dan Pas Selangor bakal menghadapi pergolakan mengenai kedudukan Hasan dan juga ia memberi kesan kepada Pas Pusat. Ini kerana Hasan adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan pernah menjadi Naib Presiden Pas Pusat untuk beberapa penggal dan menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor sebelum disingkirkan daripada kedudukan itu.

Timbul soalan mengapa Hasan ingin dipinggirkan malah tidak mustahil disingkirkan daripada Pas. Apakah Pas tidak mengalu-alukan pandangan seorang profesional berpengalaman? Apakah ramai di kalangan Pas dan pakatan pembangkang tidak rasa senang dengan tindakan-tindakan oleh Hasan yang mengetuai portfolio agama terhadap beberapa isu yang menyentuh kepentingan Islam dan amalan-amalan mungkar di Selangor?

Masalah arak, lubang-lubang maksiat di Selangor sangat banyak. Ia berkembang tanpa kawalan. Isu permurtadan seperti yang terjadi di Damansara Utama Methodist Church (DUMC) pada 3 Ogos lalu adalah benar. Isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang disertai oleh Hasan menjadi duri dalam daging bagi Pas. Apakah Pas sebagai anggota pakatan pembangkang tidak rasa sensitif dengan perkara-perkara ini.

Apakah makna perjuangan Pas terhadap isu-isu Islam? Apakah kerana menjaga hati DAP dan Parti Keadilan Rakyat maka Hasan dijadikan mangsa? Wakil-wakil DAP secara jelas menyatakan bahawa tindakan yang dibuat oleh Hasan itu sebagai "social policing".

Rakyat Selangor harus dberikan kebebasan untuk melakukan sesuatu tanpa dijadikan agama sebagai sandaran ukuran. Hak asasi mereka mesti dijaga.

Orang ramai mengharapkan Pas sebagai sebuah "parti Islam" melakukan sesuatu untuk mencegah kemungkaran di Selangor. Apabila Hasan ingin menubuhkan Unit Penyelarasan Akidah, Anwar Ibrahim tidak setuju dengannya. Apabila Himpun berkumpul mengenai isu pemurtadan Pas tidak bersama.

Bayangkan sekiranya pakatan pembangkang menguasai Malaysia (minta dijauhkan Allah) apakah peranan Pas yang sebenar. Mampu tidak Pas membawa DAP memahami maksud Islam yang mengajak manusia kepada dasar-dasar yang baik. Mampu atau tidak Pas mengajak Anwar membangunkan sebuah Negara Islam contoh kerana Anwar adalah bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Apa yang berlaku ialah perjuangan Negara Islam sudah bertukar menjadi Negara Berkebajikan. Hadi memberitahu bahawa konsep Negara Islam tidak ada di dalam al Quran. Selama ini Pas berjuang menggunakan asas apa?

Apakah Negara Berkebajikan merupakan 'pencairan' Pas dalam pakatan pembangkang kerana ingin mengambil hati DAP dan percaturan Anwar untuk sampai ke Putrajaya menerusi ejen "Erdogan"nya? Apakah Pas masih tidak memahami maksud perjuangan DAP ke arah sosialis demokratik atas tunjangan Malaysian Malaysia dan perjuangan Anwar ke arah dukungan hak asasi yang liberal dan pluralis?

Kebencian Nik Aziz Nik Mat terhadap UMNO amat luar biasa. Hujah UMNO parti jahiliah dan parti kafir adalah lafas biasa. Suatu ketika bila Dr. Syed Husin Ali dari PKR mahu dicalonkan di Kota Bharu, ia ditentang atas alasan ia adalah perjuangan sosialis. Tetapi mengapa DAP boleh diterima oleh Nik Aziz sedangkan perjuangannya ke arah sosialisme sangat nyata.

Mengapa juga Nik Aziz amat terpaut dengan Anwar yang memimpin pembangkang tetapi mengemukakan konsep semua agama sama iaitu asas pluralisme dan kecenderungan hak asasi bentuk baru yang sedang diperjuangkannya. Apakah Nik Aziz tidak dapat membaca percaturan ini atau masih mendengar bisikan Husam Musa mengenai kebaikan perjuangan Anwar sebagai jurucakap "Erdogan" yang sedang menguasai kempimpinan Pas kini.

Ke mana perginya Kepimpinan Ulama dalam perjuangan Pas. Mengenali Hadi sekian lama, amat gigih memperjuangkan Negara Islam. Apakah dengan menukar Pas ke arah perjuangan Negara Berkebajikan menandakan kegagalan dan ketidakmampuan Hadi dan barisan kepimpinan ulama yang dikatakan tidak sampai 35 peratus yang tinggal, untuk mengungkapkan konsep Negara Islam kepada DAP dan Anwar.

Kalau Nik Aziz merasa terlalu jijik dengan UMNO kerana memperjuangkan landasan bangsa, agama dan negara, apa bezanya dengan perjuangan Abu Bakar Bakir, Zulkifli Muhammad, Burhanuddin Hilmi - tokoh Pas yang tersohor juga memperjuangkan landasan agama, bangsa dan negara.

Kalau Nik Aziz berperndapat bahawa UMNO adalah parti jahiliah kerana perjuangan itu, apakah mereka juga jahiliah kerana menggunakan landasan yang sama.

Telah sekian lama hal-hal kebajikan diperjuangkan UMNO. Memberikan biasiswa, salur pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghantar anak-anak yang terpilih tidak kira anak orang Pas, UMNO dan tidak berparti tanpa pilih kasih ke luar negara, menubuhkan institusi kewangan dan pendidikan yang mendukung cita-cita Islam, memperkukuhkan institusi syariah secara berperingkat-peringkat, membangunkan Felda dan Felcra untuk manfaat golongan miskin, memperkasakan peluang pendidikan anak-anak belajar di sekolah-sekolah terpilih adalah sebahagian dasar UMNO/ Barisan Nasional (BN) yang membawa pencerahan dan kebaikan yang dinikmati oleh orang PAS juga.

Kalau begitu apakah maksud Negara Berkebajikan yang ingin dibawa oleh Pas. Pas sudah ketinggalan zaman dan tidak mahu mengakui yang baik itu baik dari UMNO walaupun data dan fakta terbentang luas. Pas lebih suka melakukan tahalluf siasi (pakatan politik) dengan DAP dan Anwar walaupun Nik Aziz tahu bahawa faham sosialis itu tidak selari dengan pemikirannya dan faham pluralisme itu sendiri bercanggah dengan Islam yang sebenar.

Kalau alasannya kerana UMNO itu parti nasionalis yang sifatnya rasis, Nik Aziz selalu menyebut-nyebut pengalaman 'ditendang' oleh UMNO suatu ketika dulu. Tetapi sepak terajang politik itu tidak membawa ke tahap berbunuh-bunuhan. Apa pertimbangan Nik Aziz terhadap sikap ulama Hamas terhadap PLO yang pernah berbunuh-bunuhan, akhirnya kini memilih kepada kerjasama sedangkan PLO itu mendukung faham nasionalis dan sekular.

Apa pertimbangan syarie dan tahalluf siasi yang membawa kepada kerjasama Hamas-PLO supaya umat Palestin kelihatan bersatu menghadapi cabaran zionis Israel dan sekutunya. Dan apa pertimbangan Nik Aziz bila diajak di tahap tertinggi untuk menyelesaikan masalah umat dan ternyata tahallus siasi Hamas-PLO dijadikan rumusan terbaik, sebaliknya terlalu jijik dengan UMNO dan cenderung bersama dengan kelompok yang ingin mengemukakan faham neo-liberalisme yang anti agama, institusi Raja dan dasar memperkasa umat Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Hal-hal ini saya percaya mengecewakan Hasan yang menginginkan kepimpinan ulama menjadi sumber kegiatannya sejak 15 tahun menyertai Pas dan amat mengagumi kepimpinan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor.

Ramai yang kecewa dengan peralihan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Lebih tiga tahun Hasan menggerakkan Islam di Selangor, terlalu banyak getir yang dilaluinya. Selangor sepatutnya menjadi model sebuah pakatan yang memahami ungkapan Islam yang bertamadun dan amat dihargai oleh DAP yang dikatakan menuntut sebuah negara tanpa rasuah, amanah dan adil kerana Islam itu sendiri pada prinsipnya memperjuangkan hal-hal tersebut. Anwar tahu hakikat itu sejak berjuang dalam ABIM dan UMNO lagi.

Amat malang seorang seperti Hasan yang mendambakan dirinya kepada perjuangan Islam dianggap musuh dan ingin dipinggirkan dan disingkirkan oleh Pas dan pakatan pembangkang sendiri. Kalau begitu apa corak perjuangan pakatan pembangkang kalau ditakdirkan (minta dijauhkan Allah) memerintah Malaysia nanti.

Bolehkah pendekatan sosialis-demokratik, liberal-pluralis dan konsep negara berkebajikan merintis konsep Negara Islam yang bertamadun. Karpal Singh secara tegas menyatakan "langkah mayat saya dulu". Apakah petanda itu tidak cukup bagi Pas membaca dan memahami keadaan. Kenapa tidak memilih jalan yang lebih baik untuk kepentingan umat Islam kerana politik dan kuasa adalah pangkalan yang terakhir yang masih ada pada mereka.

Full content generated by Get Full RSS.

Hadapi cabaran ekonomi global

Posted:

Hadapi cabaran ekonomi global

Hadapi cabaran ekonomi global

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
PENULIS ialah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

Ekonomi global masih suram dengan pemulihan perlahan. Kemelut kewangan zon Euro (negara Eropah yang mengguna mata wang Euro) dan Amerika Syarikat (AS) masih mempengaruhi pertumbuhan keseluruhan ekonomi dunia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negara maju diunjurkan berkembang pada 1.5 peratus tahun 2011 dan dua peratus pada tahun 2012.

Pada suku ketiga tahun ini, pertumbuhan ekonomi AS kekal pada 1.6 peratus. AS yang turut mengalami kemerosotan daya saing mengalami kadar pengangguran yang tinggi, iaitu melebihi sembilan peratus. Demikian juga United Kingdom turut mengalami pengangguran pada kadar hampir lapan peratus.

Ada pakar ekonomi beranggapan sekiranya krisis kewangan yang dihadapi AS dan zon Euro tidak diatasi secara berkesan, ada kemungkinan ekonomi dunia dibayangi 'kebekuan' global dengan ciri pertumbuhan yang lembap, iaitu kira-kira 0.5 peratus untuk tempoh yang lama. AS dan zon Euro mungkin berhadapan risiko terjebak semula ke dalam kemelesetan curam berganda.

Namun, rantau Asia di anggap bernasib baik kerana beberapa negara ekonomi baru muncul seperti China terus menjadi peneraju kebangkitan ekonomi Asia. China misalnya terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan 9.5 peratus.

Bagaimana dengan kedudukan negara kita? Apakah kita terkesan teruk? Mampukah kita berhadapan dengan senario ekonomi global yang tidak menentu itu?

Hakikatnya memang kita tidak boleh mengelak daripada terkena tempiasnya tetapi kita tidaklah terlalu teruk menanggung kesan ekonomi global. Setakat ini negara masih mempunyai daya tahan dan daya saing yang baik. Sehingga tahun depan pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan kekal pada tahap sederhana.

Pada asasnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa negara dijangka dapat mempertahankan pertumbuhan ekonomi pada kadar sederhana lima hingga 5.5 peratus. Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara pada paras 4.6 peratus hingga lima peratus. MIER pula mengunjurkan pertumbuhan negara untuk tahun ini pada kadar 4.6 peratus.

Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan ekonomi negara untuk suku kedua tahun ini ialah empat peratus berbanding 4.3 peratus pada suku pertama. Prestasi ekonomi kita terus berkembang pada kadar 5.8 peratus dalam tempoh suku ketiga tahun ini. BNM menjangkakan negara boleh mencapai pertumbuhan sederhana, iaitu 5.0 hingga 5.5 peratus tahun ini.

Keupayaan kita mengekalkan pertumbuhan sederhana menunjukkan ekonomi kita masih berdaya tahan. Di antara faktor keupayaan kita ialah negara memiliki asas ekonomi yang masih utuh. Sumber-sumber ekonomi kita terlalu banyak untuk dimajukan serta berdaya saing seperti kelapa sawit, getah, kayu balak, gas asli cecair (LNG) dan petroleum.

Sistem perbankan dan kewangan kita terus kukuh dengan nisbah modal berwajaran risiko pada 14.8 peratus. Rizab antarabangsa kita sehingga 15 September berjumlah RM414.5 bilion yang membolehkan negara membiayai 9.5 bulan import tertangguh.

Faktor lain yang membolehkan kita bertahan dalam krisis ekonomi hari ini ialah keupayaan meningkatkan hubungan dagangan dengan China yang merupakan kuasa ekonomi baru yang menyaingi AS. Namun, pada hemat saya pelaburan antara Malaysia dan Cina perlu diseimbangkan.

Sungguhpun China merupakan rakan dagangan terbesar kita tetapi pelaburan China ke negara kita masih kecil berbanding pelaburan Malaysia di China. Sehingga kini pelaburan China di negara kita hanya bernilai AS$500 juta tetapi nilai pelaburan kita di China hampir AS$6 bilion.

Justeru, perlu ada satu usaha untuk meningkatkan pelaburan China masuk ke negara kita. Apa pun, keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara kita memang memberangsangkan. Ini terbukti apabila pelaburan langsung asing (FDI) pada enam bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 75 peratus kepada RM21.2 bilion berbanding RM12.1 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Demikian juga jumlah perdagangan kita dengan negara luar masih memberangsangkan. Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), jumlah perdagangan dari Januari hingga Julai tahun ini meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM724.09 bilion dengan lebihan dagangan sebanyak RM68.6 bilion.

Selain itu, langkah kerajaan melaksanakan transformasi dalam sektor awam, ekonomi dan politik turut memberikan kesan positif masa depan ekonomi negara. Ini diakui Forbes yang menyebut keistimewaan Malaysia ialah banyak menawarkan transformasi positif yang dapat menarik pelabur dan peniaga ke negara ini.

Buktinya, Laporan Melakukan Perniagaan Bank Dunia 2012 meletakkan negara di tangga ke-18 mengatasi kedudukan Jerman, Jepun, Taiwan, Switzerland, Belgium dan Perancis dalam melakukan perniagaan.

Laporan Daya Saing Global meletakkan negara di tangga ke-21 di kalangan 142 negara paling berdaya saing di peringkat global. Kita mengatasi lima negara lain yang mendahului kita tahun lalu, iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), New Zealand, Korea, Luxemborg dan Israel. Tahun lalu kita berada di tangga ke-26.

Pertumbuhan pada tahun 2012 akan dipacu oleh pelaburan swasta (15.9 peratus) dan awam (tujuh peratus). Pertumbuhan pada tahun depan juga akan disokong oleh FDI yang tinggi, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP2) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Dalam Bajet 2012, kerajaan memperuntukkan RM232.8 bilion untuk melaksana semula rancangan pembangunan kerajaan termasuk projek dan program RP2, NKRA. NKEA dan SRI.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga akan diberi tumpuan yang sewajarnya. Dalam Bajet 2012, PKS disebut menyumbang kira-kira 31 peratus KDNK, 56 peratus tenaga kerja serta menyumbang 19 peratus jumlah eksport. Justeru, dalam Bajet 2012 kerajaan telah mengumumkan pembentukan dana Pembiayaan SME patuh syariah berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana berjumlah RM100 juta. Dana ini diperuntukkan untuk membantu usahawan yang gagal kerana faktor di luar kawalan mereka.

Kesimpulan, fundamental ekonomi Malaysia masih kukuh dan berdaya saing. Apa yang patut dilakukan ialah negara perlu terus bersifat responsif dengan mengambil setiap ruang dan peluang yang boleh menguntungkan negara. Selain itu, pemantauan yang konsisten terhadap perkembangan ekonomi global perlu supaya tindakan dan rangka kerja mengurus ekonomi negara benar-benar dapat memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved