Selasa, 13 Disember 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pembeli buat laporan polis

Posted:

Pembeli buat laporan polis

Pembeli buat laporan polis

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my


Mohamed Durrani Izam (kanan) bersama pembeli lain menunjukkan dokumen yang digunakan seorang lelaki untuk menipu mereka berhubung pembelian rumah kos rendah di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang, semalam.


KLANG 13 Dis. – Setelah tidak mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, lapan pembeli pangsapuri kos rendah Taman Botanic di sini yang didakwa ditipu oleh individu yang mengaku Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar tampil membuat laporan polis hari ini.

Laporan tersebut dibuat kira-kira pukul 1 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini bagi meminta pihak berkuasa itu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap individu berkenan yang dikenali sebagai Haji Mohd. Yatim Abu Bakar.

Pengerusi jawatankuasa bertindak pembeli berkenaan, Mohamed Durrani Izam berkata, laporan polis itu diharap dapat memberikan keadilan yang sewajarnya kepada pembeli berkenaan.

"Tidak ada cara lain lagi bagi pembeli mendapat keadilan mereka dalam soal ini. Kami mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan.

"Sebelum ini, kerajaan negeri ada menyatakan untuk membantu menyelesaikan masalah ini tetapi sampai ke hari ini tiada maklum balas," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di sini, hari ini.

Mohamed Durrani berkata, bulan lalu pihaknya mendapat jaminan daripada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin bahawa kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini kerajaan negeri belum melakukan apa-apa tindakan bagi membantu pembeli terlibat.

Pada 8 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 650 pembeli projek pangsapuri kos rendah di beberapa daerah di negeri ini terpaksa berputih mata apabila orang tengah bergelar Haji Mohd. Yatim yang menguruskan urusan jual beli kediaman itu menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sehingga kini.

Apa yang menyedihkan pembeli malang terlibat, pangsapuri kos rendah tersebut sudah siap, tetapi sehingga kini proses penyerahan kunci kediaman tersebut gagal dilakukan.

Berdasarkan surat tawaran yang diberikan kepada mereka, pembelian pangsapuri kos rendah itu melibatkan projek rumah kos rendah di Selayang Mulia di Selayang, Taman Botanic, Taman Harmoni di Balakong dan Taman Cheras Intan di Cheras, kesemuanya telah sah diperuntukkan kepada mereka.

Malah, kesemua pembeli turut membayar wang pendahuluan sebanyak RM2,100 kepada Haji Mohd. Yatim dan mereka tidak meragui kesahihan transaksi jual beli rumah tersebut kerana individu itu telah memberi resit bukti pembayaran dan surat-menyurat menggunakan kepala surat Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Full content generated by Get Full RSS.

Monopoli bahu jalan

Posted:

Monopoli bahu jalan

Monopoli bahu jalan

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


BERGINILAH keadaan tepi jalan di Taman Prima Ukay, Ulu Klang yang kebanyakannya telah 'ditempah' oleh pihak tertentu sebagai tempat letak kereta mereka. – UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN


ULU KLANG 13 Dis. – Penduduk Taman Ukay Prima, Kemensah di sini kesal dengan tindakan sesetengah individu yang bertindak memonopoli ruang tepi jalan di kawasan perumahan itu dengan menjadikannya sebagai 'tempat letak kereta persendirian'.

Individu berkenaan melakukannya dengan cara meletakkan kon sebagai menandakan sesuatu kawasan itu milik mereka dan kenderaan lain dilarang diletakkan di situ.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berdasarkan aduan yang diterima mendapati beberapa buah kenderaan persendirian diletakkan di bahu-bahu jalan di kawasan itu.

Difahamkan, perkara itu sudah berlarutan sejak dua tahun kebelakangan ini tanpa ada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Sikap tidak bertanggungjawab itu sedikit sebanyak telah menyusah dan membahayakan penduduk di situ.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 35, yang enggan dirakamkan gambarnya berkata, setiap kali melalui jalan tersebut dia terpaksa berhati-hati kerana bimbang melanggar kenderaan lain.

Katanya, mereka tidak berani untuk bersuara kerana enggan menimbulkan pergaduhan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad ketika diminta mengulas mengenai perkara itu mengakui pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas kenderaan terlibat kerana kawasan tepi jalan termasuk dalam kawasan hijau Majlis, dan mengikut peraturan kawasan itu tidak dibenarkan untuk diletakkan kenderaan.

"Adalah menjadi satu kesalahan meletakkan kenderaan persendirian, apatah lagi membina garaj ataupun meletakkan kon di tepi jalan kerana ia turut melibatkan keselamatan dan keselesaan orang ramai," ujarnya apabila dihubungi.

Selain daripada penduduk Taman Ukay Prima, katanya, pihaknya turut menerima aduan bahawa perkara berkenaan turut berlaku di sekitar Taman Permata dan Pandan Indah dan MPAJ akan mengambil tindakan.

Full content generated by Get Full RSS.

1,500 sertai program Permata Pintar Negara

Posted:

1,500 sertai program Permata Pintar Negara

1,500 sertai program Permata Pintar Negara

BANGI 13 Dis. - Program Permata Pintar Negara akan melibatkan lebih ramai pelajar-pelajar antarabangsa yang berusia antara sembilan hingga 15 tahun pada masa akan datang.

Pengarahnya, Prof. Dr. Noriah Mohd. Ishak berkata, sehingga kini lebih 1,500 pelajar telah menyertai program yang dikendalikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu sejak ia dilancarkan pada 2 Mac 2009.

"Daripada jumlah itu, kami telah menerima pelajar-pelajar dari India, Brunei, Singapura dan Oman yang telah lulus ujian kecerdasan mental yang ditetapkan di Kedutaan Malaysia di negara-negara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup dan penyampaian sijil Program Perkhemahan Cuti Sekolah-Permata Pintar Negara di sini, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sebanyak 450 pelajar dari seluruh negara dan dua daripadanya dari Brunei menyertai perkhemahan yang berlangsung selama tiga minggu sejak 21 November lalu.

Tambah beliau, memberi peluang kepada pelajar antarabangsa menyertai program tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tempatan mempelajari budaya luar.

"Di samping itu, mereka dapat bertukar-tukar pandangan serta idea dan memahami kebudayaan, agama dan cara hidup antara satu negara dengan negara yang lain," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved