Sabtu, 5 November 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Bantahan rakyat semakin memuncak

Posted:

Bantahan rakyat semakin memuncak

Bantahan rakyat semakin memuncak

Oleh SYUKRI SHAARI, MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN, AZMAN MD. NOOR dan MALINDA ABDUL MALIK
pengarang@utusan.com.my


SEKUMPULAN penduduk melancarkan demonstrasi aman sebagai membantah penganjuran program Seksualiti Merdeka di hadapan Masjid Jamek Kuala Ketil, Baling, Kedah, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Nov. – Bantahan terhadap program mempromosikan seks bebas, Seksualiti Merdeka 2011 semakin memuncak apabila pelbagai pihak di seluruh negara mengadakan demonstrasi membantah penganjuran acara itu.

Demonstrasi tersebut diadakan di kebanyakan masjid selepas selesai solat Jumaat, hari ini.

Di ibu negara, seramai 35 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Masjid Negara bagi menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan mahkamah terhadap penganjur program tersebut.

Perhimpunan yang berlangsung kira-kira 10 minit itu diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan oleh Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar kepada Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Abdul Rahman berkata, Perkasa menggesa Jawi mengambil tindakan tegas dengan membawa perkara itu ke mahkamah supaya pihak penganjur dikenakan hukuman dan program berkenaan tidak diteruskan.

"Kami percaya bahawa apa yang dilaungkan oleh penganjur program ini adalah bertentangan dengan ajaran dan tuntutan Islam. Jadi, Perkasa berharap, tindakan tegas diambil terhadap penganjur program ini dan ia mesti segera dihentikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Di SHAH ALAM, kira-kira 100 umat Islam berhimpun secara aman di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Jumaat bagi menyuarakan bantahan terhadap penganjuran program berkenaan.

Perhimpunan anjuran Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang menaungi sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut dihadiri beberapa umat Islam dari Afrika dan Asia Barat yang dipercayai pelajar di salah sebuah universiti di sini.

Menurut Timbalan Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, program tersebut mempunyai agenda tersirat untuk menggerakkan kempen berterusan bagi mengubah nilai dan landasan akhlak masyarakat di negara ini yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

"Kempen tersebut jelas bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Kanun Keseksaan dan jenayah syariah kerana ia menyeru orang ramai untuk menjalani kehidupan seks luar tabii yang merupakan suatu jenayah," katanya ketika berucap pada perhimpunan itu.

Di BALING pula, lebih 500 penduduk Kuala Ketil berpiket selama kira-kira 20 minit sambil memegang pelbagai sepanduk antaranya bertulis 'Jangan biarkan sejarah nasib kaum Nabi Luth berulang' dan 'Malaysia negara bermaruah' dan 'Haramkan kehadiran Elton John' di hadapan Masjid Jamek Kuala Ketil selepas solat Jumaat bagi membantah penganjuran program berkenaan.

Ahli Majlis Daerah Baling, Mohd. Aziz Shukri berkata, demonstrasi itu disertai semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik kerana program seperti itu dianggap sebagai cubaan mencabar agama Islam.

"Kita tidak boleh biarkan kesucian agama Islam dipermainkan. Yang salah tetap salah. Program ini ternyata akan memberikan kesan yang amat buruk kepada masyarakat terutama golongan remaja," ujarnya.

Sementara itu di PULAU PINANG, kira-kira 100 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam demonstrasi selama sejam bagi membantah penganjuran program mempromosikan seks bebas itu di pekarangan Masjid Kampung Rawa selepas solat Jumaat hari ini.

Salah sebuah NGO yang terlibat dalam demonstrasi itu, Badan Anti Liberalisme Agama (Badai) turut menggesa Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga yang terlibat dengan penganjuran program tersebut didakwa kerana telah banyak menimbulkan kekecohan.

Full content generated by Get Full RSS.

Pemansuhan PPSMI kekal

Posted:

Pemansuhan PPSMI kekal

Pemansuhan PPSMI kekal

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 Nov. - Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan murid-murid tahun dua tahun ini akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat tingkatan lima.

''Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).

''Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa manakala SJK Tamil pula boleh menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa.

''Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI di sini hari ini.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, keputusan pemansuhan PPSMI adalah kekal kerana kerajaan tidak bercadang melaksanakannya semula seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

''Pelajar yang baru masuk dalam sistem pelajaran kita mulai tahun ini, mereka akan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa Melayu.

''Tetapi kita yakin dengan keputusan itu pencapaian murid di bawah kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak akan terjejas," katanya.

Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.

Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Di bawah MBMMBI itu, beliau menambah, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

''Antara inisiatif itu adalah penambahan masa Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti.

''Sehubungan itu, kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan," katanya.

Muhyiddin menambah, kementerian itu juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan meningkatkan penguasaan lisan kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Full content generated by Get Full RSS.

PPSMI: PM telah dimaklumkan

Posted:

PPSMI: PM telah dimaklumkan

PPSMI: PM telah dimaklumkan

PUTRAJAYA 4 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimaklumkan mengenai keputusan berhubung proses pelaksanaan peralihan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum beliau berlepas ke Mekah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Pengerusi Jemaah Menteri, Perdana Menteri sememangnya telah dimaklumkan tentang isu tersebut.

''Kerajaan dalam isu ini bersama-sama. Ini bukan kuasa saya, keputusan ini bukan Kementerian Pelajaran sahaja yang buat, lebih-lebih lagi ia sudah menjadi polemik.

''Kita kena rujuk kepada Perdana Menteri dan beliau bersetuju pemansuhan PPSMI dikekalkan, cuma bagaimana nak melaksanakan dasar yang baru, inilah yang kita umumkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksi demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri masih boleh menghalang timbalannya daripada memansuhkan PPSMI kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati orang ramai.

Muhyiddin berkata, rakyat tidak seharusnya marah dengan keputusan pemansuhan tersebut termasuk Dr. Mahathir sendiri yang merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

''Apabila kita membuat keputusan, bukan kita suka-suka buat. Saya percaya rakyat boleh terima terutamanya para ibu bapa yang jumlahnya 10 juta orang berdasarkan pelajar dalam sistem sekarang seramai 5.3 juta orang.

''Ibu bapa yang ada anak di sekolah tahu anak mereka tidak terjejas dan boleh belajar seperti biasa, yang mereka marah kalau hari ini belajar bahasa Inggeris esok tukar bahasa Melayu, saya fikir selepas ini mereka puas hati," katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri turut memberi pandangan untuk meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris dengan kandungan sastera dalam bahasa Inggeris ditingkatkan.

''Kita kena tengok macam mana mahu olah balik sistem pendidikan kerana kebanyakan sekolah adalah dua sesi, jadi sukar untuk menambah masa belajar.

''Kalau satu sesi, kita tambah satu setengah jam masa belajar, mereka boleh balik lewat sikit, kalau dua sesi sampai maghrib tak boleh balik rumah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan belum membuat keputusan untuk mewajibkan pelajar wajib lulus dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

''Saya lihat banyak pihak kata bagus supaya pelajar akan tumpu lebih untuk lulus bahasa Inggeris bagi mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi dengan masalah tenaga pengajar, kita akan kaji dulu, belum sampai masanya untuk buat keputusan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved