Jumaat, 7 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tak pernah kata Anwar tak boleh bongkok - Pakar

Posted:

Tak pernah kata Anwar tak boleh bongkok - Pakar

Tak pernah kata Anwar tak boleh bongkok - Pakar

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seseorang yang mempunyai masalah atau penyakit berkaitan tulang belakang tetapi mampu membongkokkan badan untuk mengambil sesuatu dari lantai, bermakna individu terbabit mempunyai keupayaan mengawal otot bagi menghalang rasa sakit.

Pakar bedah ortopedik Jerman, Dr. Thomas Hoogland, 66, menyatakan demikian semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden pada perbicaraan kes liwat peringkat bela diri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saksi pembelaan ketujuh itu kemudian ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) salah sebuah lif di Kondominium Desa Damansara yang memaparkan Anwar memasuki lif tersebut dan kemudian membongkok ke kanan untuk meletakkan beg yang dipegangnya sebelum membongkok ke hadapan lalu mengambil kot sebelum menyarungnya ke badan.

Walaupun mendakwa tidak boleh memberikan jawapan yang tepat mengenai keadaan pesakitnya itu ekoran rakaman CCTV itu dimainkan dengan kadar yang laju, saksi itu memberitahu, berdasarkan rakaman tersebut, Anwar boleh membongkokkan badannya tetapi tidak dapat dipastikan sama ada tertuduh itu menahan sakit atau sebaliknya.

"Saya tidak pernah kata yang Anwar tidak boleh membongkok tetapi dia akan sakit sekiranya dia cuba melakukan pergerakan dengan pantas," ujarnya yang pernah melakukan pembedahan tulang belakang terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu pada 2004.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di Unit 11-51-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, pada peringkat awal perbicaraan, Hoogland menyatakan posisi melutut tidak akan menyebabkan kesakitan dan sekiranya ada rasa sakit ia bukan berpunca daripada bahagian belakang sebaliknya sebarang pergerakan yang dibuat selepas itu yang akan menimbulkan rasa sakit.

Sebagai pakar tulang belakang, beliau berpendapat bahawa untuk mengadakan hubungan seks dalam keadaan sedemikian adalah 'amat-amat sukar untuk berlaku'.

Selepas selesai soalan berhubung rakaman CCTV dikemukakan, soal balas oleh Mohd. Yusof terhadap saksi itu kemudian dilakukan secara tertutup selama hampir setengah jam.

Semalam, prosiding secara tertutup diadakan selama 10 minit bagi membolehkan peguam Sankara Nair menyoal pakar bedah tersebut berhubung keterangan mangsa mengenai dakwaan perbuatan liwat tersebut.

Bagaimanapun kira-kira pukul 12.35 tengah hari, pihak media dimaklumkan bahawa Hoogland telah selesai disoal semula oleh Sankara sebaik sahaja pemeriksaan balas Mohd. Yusof berakhir.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung pada 17 Oktober ini.

Sementara itu, Nair ketika ditemui pemberita kemudiannya memaklumkan, pihaknya akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof sebagai saksi-saksi pembelaan yang seterusnya.

Beliau turut memberitahu, pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil antara dua hingga tiga orang saksi (rebuttal witness) untuk menyangkal keterangan saksi-saksi pakar pembelaan.

Menjelaskan mengenai tindakan pihak pendakwaan itu, Nair menyatakan, ia merupakan perkara biasa dan walaupun tiada peruntukkan undang-undang yang spesifik mengenainya, terdapat beberapa nas undang-undang yang menyentuh mengenai perkara tersebut.

Tiga pegawai risik SPRM didakwa

Posted:

Tiga pegawai risik SPRM didakwa

Tiga pegawai risik SPRM didakwa

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

SEPANG 7 Okt. – Tiga pegawai risik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini didakwa atas sembilan tuduhan membabitkan kesalahan bersubahat melakukan rompakan berkumpulan, penipuan dan penyamaran serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warganegara Singapura melibatkan wang tunai mencecah RM1 juta.

Timbalan Penguasa, S. Vijayarao, 33, dan dua pegawai berpangkat Penolong Penguasa, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, serta Aziz Jaafar, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang dibacakan kepada mereka di Mahkamah Sesyen, di sini.

Ia melibatkan tiga tuduhan utama bersubahat melakukan rompakan berkumpulan, tiga tuduhan utama menipu dan tiga tuduhan pilihan menyamar serta tiga tuduhan utama menyembunyikan rancangan rompakan.

Perbuatan-perbuatan tersebut didakwa dilakukan di antara pukul 11 malam dan 11.25 malam, 15 September lalu di tandas lelaki bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 6 Disember ini untuk proses penyerahan dokumen.

Mahkamah turut mengenakan syarat-syarat tambahan iaitu tertuduh-tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa, diperintah melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan serta larangan memasuki Sabah dan Sarawak.

Mereka didakwa atas tiga tuduhan bersubahat melakukan rompakan berkumpulan bersama-sama dua lagi yang masih bebas iaitu T. Sritharan, 32, dan D. Nagarajan, 34.

Mangsa-mangsa terdiri daripada Hameed Saadik Batcha, Abd. Rahman Maricar dan Mohamed Zakkariya Mohamed Shatik dengan setiap seorang melibatkan wang tunai AS$100,000 (RM320,000).

Mereka turut didakwa bersubahat dengan Sritharan menipu ketiga-tiga mangsa dengan memperkenalkan lelaki itu sebagai pegawai SPRM di Bangunan Satelit KLIA pada waktu yang sama.

Pegawai-pegawai berkenaan yang kini ditahan kerja turut didakwa atas tuduhan pilihan bersubahat dengan Sritharan yang melakukan penyamaran sebagai pegawai agensi berkenaan.

Vijayarao, Wan Elfie Shafizy dan Aziz juga didakwa atas tuduhan menyembunyikan rancangan rompakan yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua lelaki berkenaan bertujuan memudahkan mereka melakukan jenayah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, Seksyen 419 bagi kesalahan menipu, Seksyen 170 dibaca bersama Seksyen 109 bagi kesalahan bersubahat melakukan penyamaran dan Seksyen 120 bagi kesalahan menyembunyikan rancangan rompakan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud agar ketiga-tiga tertuduh dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan ia melibatkan transaksi yang sama.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abas dan Najib Zakaria turut hadir bagi pihak pendakwaan.

Peguam T. Vijayasandran mewakili Wan Elfie Shafizy, Aziz diwakili oleh peguam, Mohd. Nazri Yahya manakala Vijayarao diwakili oleh M.M. Athimulan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved